MAJLIS SOLAT HAJAT PERDANA DOAKAN MISI GLOBAL SUMUD FROTILA SUBURKAN KASIH SAYANG PENGHUNI ASRAMA Di DARUL KIFAYAH WP LABUAN

Labuan, 5 Oktober 2025 – Majlis Solat Hajat Perdana sempena misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di Gaza bersama Aspura dan Aspuri SMA MAIWPL telah diadakan di Surau Kompleks Darul Kifayah, WP Labuan.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat khusus untuk para sukarelawan misi dan diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin secara beramai-ramai.

Pengarah Pendidikan JPWPL En Yahya Ahmad Puteh hadir menyantuni majlis dan menyampaikan amanat berkaitan budaya hormat menghormati serta kasih sayang dalam kalangan penghuni asrama. Beliau juga menyentuh tentang gejala buli yang dianggap sebagai pelanggaran nilai kasih sayang dan hormat yang sepatutnya diamalkan dalam kalangan warga asrama.

Tuan Pengarah bersama pegawai JPN turut dibawa melawat asrama putera dan puteri, menyaksikan sendiri suasana dan aktiviti harian penghuni.

Ustazah Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam turut menyampaikan amanat kepada penghuni aspuri agar sentiasa berdisiplin, menjaga kebersihan, keselamatan dan keceriaan asrama. Beliau menyeru agar murid fokus terhadap hala tuju akademik dengan sentiasa mengulangkaji pelajaran.

Penghuni asrama Darul Kifayah merupakan antara yang bertuah kerana menerima pelbagai kemudahan daripada Majlis Agama Islam WP Labuan, termasuk yuran asrama dan pengangkutan ulang-alik ke sekolah secara percuma wserta bantuan bulanan sebanyak RM100.

Tuan Pengarah turut mengadakan pertemuan bersama warden asrama. Beliau menekankan kepentingan mematuhi garis panduan sedia ada dan memastikan pelaporan asrama sentiasa dikemas kini dan tersedia apabila diperlukan.

Majlis turut dihadiri oleh Pengetua Darul Kifayah Ustaz Abdul Fatah, Penolong Kanan HEM Ustaz Shaiful Amri, Penolong Kanan Kokurikulum En Firli Firzuan Ler Abdullah, pegawai dari Sektor Pendidikan Islam (SPI), guru-guru serta warden SMA.

Majlis ini bukan sahaja menjadi medan doa dan keinsafan, malah menyuburkan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan tanggungjawab bersama dalam kalangan warga asrama, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.




“Semangat Sepasukan” Pupuk Keseronokan Bekerja Warga JPWP Labuan

Labuan, 24 September 2025 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Labuan terus komited dalam memperkasa kesejahteraan warga kerjanya melalui pelaksanaan slot ‘Semangat Sepasukan’ yang diadakan secara berkala setiap bulan di lokasi masing-masing.

Slot kali ini yang berlangsung pada 24 September 2025 telah dikendalikan oleh penyelaras program, En. Arif Rahman Hakim bin Hj. Tamri, selaku Kaunselor Pendidikan Negeri di JPWP Labuan. Aktiviti tersebut berjaya menarik penyertaan penuh daripada semua warga jabatan yang sama-sama terlibat dalam sesi santai berkonsepkan pengukuhan motivasi dan kerjasama.

Semangat Sepasukan bukan sahaja menjadi medium untuk menceriakan suasana kerja, malah berfungsi sebagai ruang untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, emosi serta semangat berpasukan.

Pelaksanaan program ini selaras dengan agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui inisiatif Pembudayaan Keseronokan Bekerja, yang menekankan keseimbangan antara produktiviti kerja dan kesejahteraan psikologi warga pendidik serta kakitangan.

 

 




JPWP Labuan Raih Anugerah Pementoran Terbaik Peringkat KPM 2025

Putrajaya, 25 September 2025 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Labuan terus mengukir kecemerlangan apabila berjaya meraih dua anugerah berprestij dalam Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta Anugerah AKRAB dan Pementoran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium JAKIM, Putrajaya.

JPWP Labuan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pasangan Mentor dan Menti Terbaik menerusi pasangan Pn. Norazimah bt Yaacob dan Pn. Zulaiha binti Khalid. Kejayaan ini mengiktiraf kecemerlangan hubungan bimbingan dan perkongsian ilmu antara kedua-duanya yang menjadi model pementoran cemerlang di peringkat nasional.

Selain itu, JPWP Labuan turut mengharumkan nama organisasi apabila Pn. Salihah Yusoff, selaku penyelaras Program Pementoran, menerima Anugerah Organisasi Pementoran Terbaik Peringkat KPM Tahun 2025. Pengiktirafan ini sekaligus menzahirkan komitmen tinggi JPWP Labuan dalam memperkasakan budaya pementoran yang berkesan di kalangan warga pendidik dan kakitangan.

Majlis penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua penerima anugerah atas sumbangan besar mereka dalam membudayakan pementoran sebagai tonggak kecemerlangan perkhidmatan pendidikan.

Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha berterusan JPWP Labuan dalam memperkukuh amalan bimbingan dan pementoran bukan sahaja memberi impak positif kepada warga kerja, malah mampu menjadi contoh teladan di peringkat Kementerian.




DIALOG PRESTASI PENDIDIKAN ISLAM, ELEKTIF DAN DINI PERINGKAT LABUAN

Labuan, 30 September 2025 – Dialog Prestasi Pendidikan Islam, Elektif dan Dini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Botanikal bermula jam 2.30 petang. Dialog ini menghimpunkan pengetua sekolah-sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan serta Ketua Panitia Pendidikan Islam.
 
Perbincangan memberi tumpuan kepada pencapaian murid dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Percubaan SPM. Selain itu, ia turut menjadi platform perkongsian intervensi serta amalan terbaik yang telah dilaksanakan di sekolah masing-masing.
 
Tahniah dan penghargaan diucapkan kepada semua ustaz dan ustazah yang komited dalam mengenal pasti tahap pencapaian murid serta berusaha mencari solusi terbaik bagi membantu mereka mencapai kejayaan, sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Sasaran pencapaian subjek ini bagi tahun 2025 ialah 95%.
 
Dialog ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, En. Yahya Ahmad Puteh. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Pn. Noraini Sahbudin, serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Pn. Kamariah Salim.
 
Urus setia dialog pada kali ini telah dilaksanakan oleh Ustaz Mohd Fadzli bin Sheikh Abdul Rahim, Pegawai Sektor Pendidikan Islam.
 
Adalah diharapkan agar semua calon SPM tahun ini terus meningkatkan usaha, memanfaatkan bimbingan guru serta tidak berputus asa dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan sebenar. Semoga pencapaian Pendidikan Islam, Elektif dan Dini di W.P. Labuan tahun ini mencapai sasaran dan menjadi kebanggaan bersama.




Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Lensa Kreatif Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Peringkat WP Labuan

Labuan, 30 September 2025 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dibawah kelolaan Sektor Pentaksiran & Peperiksaan (SPP) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Lensa Kreatif Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Peringkat WP Labuan bagi menghargai bakat dan kreativiti murid dalam bidang video & fotografi.
 
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Tahniah kepada semua pemenang dan peserta atas usaha serta karya kreatif yang dihasilkan. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus berkarya dan menyerlahkan potensi diri.
 
#jpwpl
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia