Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025

Labuan, 25 November 2025 – Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025 berlangsung dengan jayanya hari ini dan telah dirasmikan oleh Dr. Khalik Khassunah bin Muzir, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Program anjuran Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan WP Labuan ini diadakan bagi meraikan kecemerlangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), guru serta pembantu pengurusan murid (PPM) yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun.
 
Majlis turut menyaksikan penyampaian Tokoh Guru Pendidikan Khas dan pelbagai anugerah termasuk Cemerlang Akademik, Cemerlang Kokurikulum, Sahsiah Terpuji, Cemerlang Inovasi, Ikon Pendidikan Khas, serta anugerah kepada guru dan PPM atas komitmen mereka dalam memperkukuh pendidikan khas di Labuan.
 
Turut menyerikan majlis ialah persembahan murid pendidikan khas dan sesi fotografi bersama tetamu kehormat. Penganjuran program ini diharap dapat terus menyuntik semangat serta memperkasakan ekosistem pendidikan khas di Wilayah Persekutuan Labuan.



1,354 CALON MENDUDUKI SPM DI LABUAN, JPNWPL SIAP SIAGA TUBUH PUSAT GERAKAN OPERASI PAYUNG.

Labuan, 25 November 2025 – Seramai 1,354 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 di Labuan termasuklah calon sekolah swasta dan calon persendirian.
 
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berkata calon berkenaan menduduki peperiksaan di 14 buah pusat peperiksaan di seluruh wilayah ini.
Seramai 110 petugas peperiksaan terdiri daripada guru dan pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.
 
Yahya berkata KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit.
Beliau menjelaskan KPM siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dengan mengaktifkan Operasi Payung bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terkesan.
 
Ini melibatkan kerjasama dengan agensi NADMA, ATM, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan dan Kementerian Kesihatan (KKM).
 
“Jabatan Pendidikan Labuan juga telah menubuhkan pusat gerakan yang kita letakkan di Sektor Pentaksiran Dan Peperiksaan untuk kita bersiap siaga dan juga melihat dari semasa ke semasa berkenaan dengan perubahan angin khususnya hujan di Labuan”, katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan persiapan pelajar menduduki peperiksaan SPM di SMK Rancha-Rancha.
 
Sementara itu, calon peperiksaan dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dengan segera, sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan disebabkan oleh bencana.
 
KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
 
Sumber Berita : FB BES Labuan



Program Maitah Badudun Madani JPWPL Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 22 November 2025 – Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid selaku penganjur utama serta Pengerusi JKPP Kg Patau -Patau 1 dan JKK Kg Patau-Patau 1 sebagai rakan strategik atas penganjuran program berimpak tinggi ini yang menyasarkan 11 buah sekolah menengah di Wilayah Persekutuan.
 
Antara pengisian yg dilaksanakan adalah pengkongsian Dari hati seorang kawan yang disampaikan oleh Adik Nur Ain binti Aripin dari SMK Lajau. Manakala Pn Zaliha binti Mohd Salleh. Ketua Penolong Pengarah. Unit HEM, SPMu turut membentangkan slot Akta Pendidikan 550 Seksyen 29[A] Pendidikan Wajib.
 
Program Maitah Badudun Madani merupakan inisiatif kolaboratif antara JPWPL, Ketua-Ketua Kampung, PIBG, dan komuniti setempat bagi memastikan murid-murid di Labuan kekal hadir ke sekolah serta tidak tercicir daripada pendidikan. Program ini menekankan pendekatan berfokus komuniti, sokongan keluarga, dan intervensi menyeluruh bagi menangani isu keciciran murid.
 
YBrs En Yahya bin Ahmad Puteh Pengarah Pendidikan merasmikan dan memberikan amanat yang bermakna kepada warga yang hadir dalam program ini. Turut hadir barisan Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Jemputan khas melibatkan Pengetua,Pengerusi JKPP, YDP PIBG,ibu bapa dan murid-murid sekolah menengah.



Lawatan Kerja Pemantauan Perolehan Peralatan PPKI SMK Mutiara

Labuan, 22hb November 2025 – Pengarah Pendidikan Labuan, Yahya bin Ahmad Puteh hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke SMK Mutiara bagi memantau perolehan peralatan PPKi di sekolah terbabit.
 
Lawatan terbabit turut disertai oleh Ketua Penolong Pengarah SICT, Puan Hajah Murniza binti Mohanmad serta pegawai ICT, Magnoleo Masjunah dan Pegawai Perolehan En.Shaharedzuan Bin Mohd Salleh. Turut bersama ialah Pengetua SMK Mutiara, En.Awang Rozlan Hj Manan, dan Penolong-Penolong Kanan SMK Mutiara.
 
Dalam pemantauan tersebut, pengarah turut membuat ujilari peralatan bagi memastikan peralatan yang diterima berfungsi dengan baik dan boleh digunakan oleh murid-murid sekolah.
 
En.Yahya juga berhasrat untuk menjadikan PPKI SMK Mutiara sebagai model Sekolah PPKI yang dilengkapi dengan peralatan ICT dalam memastikan pengintegrasian teknologi dalam PdP di bilik darjah.
Lawatan tersebut juga turut melibatkan beberapa program PPKI seperti jahitan dan tanaman serta masakan untuk pelbagai kefungsian murid-murid di SMK Mutiara.



MAJLIS APRESIASI PUSAT SUMBER SEKOLAH W.P. LABUAN 2025

20 November 2025 | Dewan Timbalai, Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia WP Labuan
 
Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah melaksanakan Majlis Apresiasi Pusat Sumber Sekolah W.P. Labuan 2025, sebagai penghargaan kepada sekolah, guru, dan murid yang cemerlang dalam pengurusan pusat sumber, kepimpinan, serta pencapaian PSS & TVPSS sepanjang tahun 2025.
 
Majlis disempurnakan oleh
YBrs. Tn Hj, Sawal bin Salleh
Timbalan Pengarah,Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan
dengan kehadiran PGB, GPM, AJK PSS, rakan strategik dan para penerima anugerah.
 
Program turut menampilkan:
📘 Pelancaran Kompilasi Pengkarya Muda 2025
🎼 Persembahan “Lenggang Kangkung” & “Wau Bulan” (Genta Sakti Kencana-SM Sains Labuan)
🏆 Penyampaian pelbagai kategori anugerah apresiasi
________________________________________
🏆 Senarai Ringkas Penerima Anugerah 2025
Anugerah Video Terbaik TVPSS – Sinar Bestari 2025
Sekolah Rendah
🥇 SK Patau-Patau
🥈 SK Pekan Satu
🥉 SK Pantai
 
Sekolah Menengah
🥇 SMK Rancha-Rancha
🥈 SMK Mutiara
🥉 SMA MAIWPL
 
Penghargaan MV perayaan 2025
🥇 SK Sg Bedaun
 
Penghargaan Perekodan Jom Baca Bersama 10 Minit 2025
🥇 SK Lubok Temiang
🥇 SMK Pantai
 
Anugerah Pengawas Pusat Sumber Harapan
🥇 SK Layang-Layangan (MUHAMMAD HAUZAN HFIY BIN HAZAIMI)
🥇 SMK Rancha-Rancha (ISKANDAR DZULFIKAR BIN AZIZAN)
 
Anugerah Guru Pusat Sumber Cemerlang (AJK)
🥇 SK Patau-Patau (MUHAMAD FARIS BIN MOHD NASIR)
🥇 SMK Mutiara (MOHD NORHAFIDZ BIN MOHD JIMAS)
 
Anugerah GPM Cemerlang
🥇 SK Patau-Patau (ASANIZAN BINTI TASIM)
🥇 SM Sains Labuan (YAHYA BIN BURHANUDIN)
 
Anugerah Pusat Sumber Aktif & Cemerlang
Sekolah Rendah – SK Patau-Patau
Sekolah Menengah – SM Sains Labuan
Rakan Strategik Pengurusan Sumber Pendidikan
Perpustakaan Awam Labuan, Muzium Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan & Unit Sains Sosial Sektor Pembelajaran JPWPL.
________________________________________
Majlis ini menjadi platform apresiasi dan pemerkasaan peranan Pusat Sumber Sekolah, selari dengan usaha memperkukuh Dasar Pendidikan Digital, meningkatkan amalan literasi maklumat, dan menyuburkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah W.P. Labuan.
Tahniah kepada semua penerima anugerah!



SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN RAIKAN 98 GRADUAN TINGKATAN 5 TAHUN 2025

Labuan, 22 Nov 2025 – SMK Taman Perumahan Bedaun telah menganjurkan satu Majlis Graduasi Murid Tingkatan 5 bagi sesi 2025 dalam suasana penuh gemilang di Palm Beach Resort pada 22 November 2025.

Majlis yang bermula seawal jam 7.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari itu diadakan khusus sebagai pengiktirafan kepada usaha dan kejayaan para pelajar yang telah menamatkan sesi persekolahan menengah mereka. Seramai 98 orang graduan Tingkatan 5 telah diraikan dalam majlis penuh bermakna ini.

Acara tahunan yang gilang gemilang ini telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Unit Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia JPWPL, selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma. Dalam ucapannya, Encik Azeryn mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas pencapaian mereka dan menekankan kepentingan untuk terus berusaha dan menyesuaikan diri dengan cabaran pendidikan yang lebih tinggi dan alam pekerjaan.

“Graduasi ini bukanlah penamat, sebaliknya adalah permulaan kepada babak baharu dalam kehidupan anda. Tanamkan semangat ingin belajar sepanjang hayat dan jadikan ilmu sebagai panduan,” katanya.

Kehadiran seramai 98 orang ibu bapa menunjukkan sokongan padu komuniti terhadap kecemerlangan akademik pelajar. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang berterusan daripada ibu bapa dan Penjaga dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka. Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, IPD W.P Labuan merangkap Pegawai Perhubungan, ASP Ruslan Tarai, Naib Yang Dipertua PIBG sekolah, Encik Halmi Hussein, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San dan Penolong Kanan HEM, Puan Seri Kandi Muali.

Encik Azeryn Hj Mamma

Puan Norazita Md Nor

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri dalam ucapan alu-aluannya, mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk hadir ke majlis graduasi kali ini yang diadakan secara tahunan. Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian para pelajar dan berharap mereka akan terus mengharumkan nama sekolah di masa hadapan. Beliau turut mendorong murid-murid untuk terus berusaha dan merebut peluang yang terbentang luas di hadapan mereka.

Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan persembahan nyanyian solo pelajar dan sesi penyampaian sijil graduasi serta anugerah khas kepada pelajar cemerlang. Majlis ini diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan sesi bergambar.

 




Perkhemahan Unit Beruniform: “Semai Semangat Berpasukan dan Tanggungjawab”

LABUAN: Seramai 56 pelajar SMK Labuan telah melibatkan diri dalam Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SMK Labuan baru-baru ini.

Perkhemahan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu (14 hingga 16 Oktober 2025) diisi dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Larian Berhalangan, Malam Kesenian, Cuba Rasa,Ikatan dan Simpulan dan Orienteering. Aktiviti berasaskan kerjasama ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah memperkukuh nilai tanggungjawab dan semangat sepasukan.

Dalam ucapan wakil peserta, Penghulu Perkhemahan, adik Gabriel Lampas, menyatakan bahawa aktiviti yang dijalankan memberi pengalaman yang berharga kepada semua peserta. Beliau berkata,

Semua aktiviti yang kami lalui sepanjang perkhemahan ini benar-benar membantu memupuk semangat berpasukan. Kami belajar untuk saling bergantung, bertanggungjawab dalam kumpulan dan memahami peranan masing-masing. Pengalaman ini sangat bermakna dan akan kami terapkan dalam kehidupan kami.”

Ucapan Penghulu perkhemahan

Perasmian penutupan perkhemahan ini telah disempurnakan oleh pengetua SMK Labuan, Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim. Beliau sempat menyatakan ucapan syabas dan tahniah kepada pelajar yang sanggup berpisah daripada keselesaan di rumah selama 3 hari demi menimba pengalaman menerusi aktiviti perkhemahan ini. Tambahnya lagi, pelajar yang telah berjaya mengikuti perkhemahan ini secara tidak langsung telah melatih diri mereka untuk membentuk tidak mudah berputus asa dan mampu untuk menyelesaikan masalah pada masa akan datang.

 

Pengetua Tuan Haji Nizam ketika menyampaikan ucapan perasmian

Majlis penutupan menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah kepada pemenang pertandingan yang dijalankan. Perkhemahan ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai semangat berpasukan dan tanggungjawab dalam diri murid.

Berita oleh: SMK Labuan

Penyampaian sijil dan hadiah oleh Tuan Haji Nizam



Program Literasi AI: Transformasi Pendidikan Digital

Labuan, 19 November 2025 – Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan
 
Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan hari ini (19 November 2025) melaksanakan Program Literasi AI: Transformasi Pendidikan Digital di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan dengan penyertaan lebih 300 murid dari SK St. Anne sebagai sekolah rintis AI Powered Classroom serta tiga sekolah jemputan iaitu SJKC Chi Wen, SK Pekan 1 dan SK Pekan 2. Program ini bertujuan memberi pendedahan asas kepada murid mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), aplikasi digital dalam PdP dan keselamatan internet selaras dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD).
 
Program ini turut disokong oleh rakan strategik Sasbadi Sdn. Bhd. melalui sesi interaktif Sasbadi ACE IT serta MCMC Wilayah Persekutuan Labuan melalui Kempen Internet Selamat. Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, pihak Jabatan menyediakan 300 unit Chromebook sewaan, capaian WiFi, pengangkutan serta makan minum kepada semua peserta.
 
Perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, yang menekankan kepentingan literasi AI dalam membentuk generasi murid yang bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan. Jabatan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan akan terus komited mengukuhkan transformasi pendidikan digital di Labuan.



Majlis Anugerah Digital Utilisation & Technology Awards (DUTA) 2025

Labuan, 18 November 2025 | Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan

Majlis Anugerah DUTA 2025 pada hari ini telah disempurnakan dengan penuh rasa penghargaan dan kesyukuran, menampilkan barisan guru, murid serta rakan strategik yang menjadi pemacu utama transformasi pendidikan digital di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Encik Yahya Bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan WP Labuan, yang menekankan komitmen Labuan untuk terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD), memperluas budaya inovasi, serta memanfaatkan teknologi termasuk AI dalam PdP secara beretika, berkesan dan berimpak kepada murid.

Majlis ini turut menjadi platform pengiktirafan kepada:

🏆 Peneraju transformasi digital di sekolah – Pengetua, Guru Besar, Guru Perpustakaan & Media, Penyelaras ICT, DELIMa dan SPBT

🏆 Guru & murid inovatif yang aktif memperkasa PdP digital

🤝 Rakan strategik jabatan yang sentiasa mendokong ekosistem digital Labuan

Tahniah diucapkan kepada semua penerima Anugerah DUTA 2025. Semoga kejayaan hari ini menjadi pemangkin kepada budaya inovasi yang lebih kukuh, demi membina generasi murid yang berdaya saing, kreatif dan bersedia menghadapi masa depan.

“Kecil di peta, besar di arena pendidikan digital.”




KUNJUNG HORMAT YAPEIM KE JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Tarikh: 18 November 2025
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL
 
Delegasi YAPEIM:
1. Selabi bin Mohammad – Pengurus Wilayah Borneo
2. Mohd Shahrudin bin Karim – Pengurus Negeri
3. Muhammad Faisal bin Binting – Pegawai YAPEIM
4. Mohd Firdaus bin Mohd Yacob – Pegawai YAPEIM
 
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara YAPEIM dan JPWPL dalam bidang pendidikan. YAPEIM turut bekerjasama dalam penyediaan modul SPM bagi mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu.
 
Pelbagai aktiviti dan kerjasama akan dilaksanakan bersama sektor pendidikan di WP Labuan, khususnya bagi menyokong usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.