Program bulanan “Semangat Sepasukan” anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 21 Januari 2026 – Program bulanan “Semangat Sepasukan” anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah dilaksanakan dengan penglibatan seluruh warga jabatan di lokasi masing-masing.
 
Aktiviti senaman ringan dan kata-kata motivasi telah dijalankan bagi menyuntik semangat positif, mengeratkan hubungan kerja serta mewujudkan suasana tempat kerja yang ceria dan menyeronokkan, selari dengan inisiatif Pembudayaan Keseronokan Bekerja oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).



Kunjungan Hormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia WP Labuan ke JPWP Labuan




PROGRAM PEMENTORAN MELAHIRKAN PEGAWAI BERPRESTASI TINGGI DAN AMALAN BEKERJA KELAS PERTAMA

Labuan, 22 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) melalui Sektor Psikologi dan Kaunseling telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program Pementoran dan Penyampaian Watikah Pelantikan Mentor dan Menti Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Benua, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), JPWP Labuan.
 
Majlis yang diadakan bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan seramai 24 orang mentor dan 35 orang menti yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari pelbagai sektor di JPWPL.
 
Program ini juga bertujuan membimbing pegawai dalam peningkatan kerjaya dan kesejahteraan psikososial serta meningkatkan kemahiran pegawai dari aspek profesional, budaya kerja, personal dan sosial.
 
Program dimulakan dengan taklimat Program Pementoran yang menerangkan konsep, peranan mentor dan menti serta pelaksanaan program bagi tahun 2026 diikuti dengan perkongsian amalan baik oleh pemenang Anugerah Pasangan Mentor dan Menti Terbaik Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2025, yang turut berkongsi pengalaman serta strategi kejayaan dalam pelaksanaan pementoran berkesan.
 
Program ini dirasmikan oleh En. Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan JP WPLabuan. Sesi bacaan ikrar mentor dan menti menjadi kemuncak majlis sebagai simbol komitmen bersama dalam menjayakan program pementoran secara profesional, beretika dan berfokuskan pembangunan holistik pegawai.



LABUAN KOMITED LANCARKAN KEJOHANAN MERENTAS DESA KEBANGSAAN 2026

Labuan, 22 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengukuhkan komitmen bagi memastikan kelancaran Pengelolaan Merentas Desa Kebangsaan 2026, dengan Labuan bertindak sebagai tuan rumah pada 25 April 2026.
 
Komitmen ini dizahirkan dalam Mesyuarat Pengurusan Sukan Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan, YBrs. Yahya bin Ahmad Puteh. Mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan agenda utama persiapan kejohanan peringkat kebangsaan itu turut dihadiri oleh Majlis Pengurusan Tertinggi jabatan serta Pengetua dan Guru Besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
YBrs. Yahya Ahmad Puteh dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak pengurusan amat komited dalam memastikan kejayaan program ini dan sentiasa menyokong penuh perkembangan serta program sukan di bawah seliaan Sektor Pembangunan Murid.
 
Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan Takwim MSSWPL 2026 oleh semua sekolah agar tidak mengganggu kelancaran keseluruhan program dan takwim jabatan. Pengarah selaku pengerusi mesyuarat berharap agar perancangan yang telah diatur dapat berjalan dengan lancar.
 
Sebagai rekod, persiapan awal bagi kejohanan di Labuan ini termasuklah Mesyuarat Induk Kejohanan Merentas Desa MSSWPL Bil 1/2026 yang telah membincangkan maklumat kejohanan peringkat wilayah.
 
Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2026 peringkat wilayah dijangka akan diadakan pada 10 Februari 2026 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, dengan pengelola bersama oleh SM St. Anthony dan SK Lubok Temiang.



Dialog Prestasi Berfokus Bilangan 1 Tahun 2026

Labuan, 22 Januari 2026 – Dialog Prestasi Berfokus ini adalah mekanisme penting memastikan pelaksanaan Dasar dan Aspirasi Rancangan Pendidikan Negara diterjemahkan di peringkat negeri dan sekolah.
 
Dialog Prestasi Berfokus menyokong agenda utama Rancangan Pendidikan Negara khususnya:
– Peningkatan Kualiti dan Ekuiti Pendidikan,
– Pengurangan Jurang Pencapaian Murid,
– Pemerkasaan Sekolah Sebagai Unit Pelaksana Utama.
 
Kluster Kemenjadian Murid merupakan teras utama dalam Rancangan Pendidikan Negara. Dua fokus utama dialog:
– Pencapaian Murid Calon SPM 2026 sebagai indikator keberhasilan pendidikan menengah.
– Pencapaian Murid Pemulihan sebagai komitmen terhadap prinsip keadilan dan keterangkuman pendidikan.
 
Urusetia DTP
Sektor Perancangan
Jabatan Pendidikan W. P Labuan
 



𝗚𝘂𝗿𝘂 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗶𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗪𝗣 𝗟𝗮𝗯𝘂𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗸𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗲𝗻𝘂𝗹𝗶𝘀𝗮𝗻 𝗲𝗥𝗣𝗛 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗦𝗜𝗦𝗖+

Labuan, 22 januari 2026 – Seramai 46 orang guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Bengkel Pemerkasaan eRPH yang berlangsung di Bilik Benua pada petang ini.
 
Bengkel ini dianjurkan bagi memperkasa kemahiran guru dalam penyediaan Rancangan Pengajaran Harian secara elektronik (eRPH) di samping memastikan kelestarian pengurusan rekod pengajaran secara digital selaras dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara.
 
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley, Pegawai School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) Jabatan Pendidikan. Fokus utama pengisian bengkel adalah pendedahan terhadap kriteria di bawah Standard 4, iaitu Pembelajaran dan Pemudahcaraan.
 
Para peserta dibimbing untuk memahami elemen-elemen penting yang dinilai dalam kualiti pengajaran serta kaedah menterjemahkan elemen tersebut ke dalam penulisan eRPH yang lebih bermakna dan berkualiti.
 
Sektor Pendidikan Islam berharap agar semua guru yang terlibat dapat memanfaatkan ilmu dan input yang diperoleh bagi menghasilkan eRPH yang lebih kemas, terancang dan selari dengan standard yang ditetapkan. Usaha ini diyakini mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, di samping memudahkan urusan pemantauan dan penyeliaan di peringkat sekolah.



Program Motivasi Pagi Calon STPM PTE, SMK Labuan Bersama Pengarah Pendidikan WP Labuan

Labuan, 19 Januari 2026 – Seramai 362 calon STPM Pusat Tingkatan Enam, SMK Labuan akan menduduki STPM bermula 20 Januari 2026 sehingga 28 Januari bagi Semester 3, 21 Januari sehingga 28 Januari bagi Semester 1 dan 3 Februari 2026 sehingga 10 Februari 2026 bagi Ulangan Semester 2.
 
Tuan Pengarah Pendidikan, En. Yahya Bin Ahmad Puteh berbesar hati turun ke sekolah memberikan semangat dan motivasi kepada 362 orang calon STPM anak-anak WP Labuan.
 
Beliau menekankan kepentingan pendidikan dalam kehidupan demi masa hadapan yang lebih cerah. Sehubungan dengan itu, bagi mendapatkan pendidikan yang cemerlang banyak pengorbanan perlu dilakukan pengorbanan masa, hiburan, tenaga dan perlunya menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru-guru yang banyak berkorban, membantu persediaan anak-anak sebelum menduduki STPM.
 
Tuan Pengarah juga mengingatkan anak-anak untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan, jangan lupa solat dan mengulangkaji mengikut jadual belajar yang telah disusun. Jawab semua soalan dengan baik dan berhati hati.
 
Tuan Pengarah menekankan kepentingan ruang masa yang berbaki untuk terus meningkatkan keupayaan menjawab soalan dengan baik agar dapat membantu pelajar memperolehi keputusan yang lebih cemerlang nanti.
 
Elakkan anak-anak stress dan tertekan, insya-Allah kejayaan pasti menjadi milik anak-anak.
Di kesempatan ini, Tuan Pengarah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada barisan tenaga pengajar Pusat Tingkatan Enam, SMK Labuan yang menganjurkan majlis pagi ini dan juga usaha yang terusun dalam membantu anak-anak bersedia menduduki STPM 2026.
 
Jabatan Pendidikan WP Labuan sentiasa mengambil berat keperluan PTE sama ada dari segi infrastruktur, keperluan anak-anak dan juga tenaga pengajar.
 
Jumlah calon STPM PTE, SMK Labuan
Semester 3 : 157 calon
Semester 1 : 205



Kunjungan Hormat APM ke JPWP Labuan

Labuan, 19 Januari 2026 – Satu kunjungan hormat telah berlangsung antara pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara agensi serta membincangkan inisiatif bersama dalam aspek kesiapsiagaan dan pengurusan bencana di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Pihak JPWP Labuan amat menghargai komitmen APM dalam memperkukuh jaringan strategik demi kesejahteraan komuniti setempat.




Semangat Sukan Berkobar di Padang Majal, Aqua Juara Merentas Desa 2026

Labuan, 16 Januari 2026 – Kejohanan Merentas Desa kali ke-24 Tahun 2026 SMK Pantai telah berlangsung dengan penuh meriah pada 16 Januari 2026 di Padang Majal, Pancur Hitam, Wilayah Persekutuan Labuan. Acara tahunan ini berjaya menghimpunkan murid-murid daripada semua rumah sukan yang hadir dengan semangat kesukanan yang tinggi. Kehadiran yang ramai membuktikan sokongan padu warga sekolah terhadap aktiviti kokurikulum yang menjadi tradisi penting dalam membina sahsiah dan daya saing murid.Sepanjang acara berlangsung, cuaca mendung tidak menghalang semangat para peserta untuk menamatkan larian dengan penuh kesungguhan. Walaupun hujan turun ketika majlis penyampaian hadiah di penghujung program, suasana tetap meriah dan penuh keterujaan. Murid-murid, guru-guru serta AKP yang hadir menunjukkan komitmen tinggi untuk menjayakan kejohanan ini, menjadikannya satu pengalaman bermakna buat semua.

Dalam keputusan keseluruhan, rumah sukan Aqua muncul sebagai juara dengan pencapaian cemerlang, diikuti oleh rumah sukan Terra yang meraih kedudukan naib johan. Rumah sukan Ignus pula menduduki tempat ketiga, manakala rumah sukan Ventus berada di tempat keempat. Persaingan yang sengit antara rumah sukan jelas memperlihatkan semangat juang dan usaha gigih setiap peserta sepanjang kejohanan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengetua SMK Pantai, En. Ismail bin Abdullah, serta Penolong Kanan Kokurikulum, En. Samsul bin Mandisin, yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Kejohanan ini sekali lagi membuktikan komitmen sekolah dalam melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya saing dan bersemangat tinggi dalam bidang sukan.

Pengetua SMK Pantai, En. Ismail bin Abdullah, turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa kejohanan atas kejayaan penganjuran Kejohanan Merentas Desa SMK Pantai 2026. Beliau menegaskan bahawa kejayaan acara ini adalah hasil kerjasama dan komitmen padu daripada seluruh warga sekolah secara langsung. Ucapan beliau menjadi simbol penghargaan terhadap usaha gigih yang telah dicurahkan, sekali gus menyuntik semangat untuk terus menjayakan program kokurikulum pada masa akan datang.

SUMBER BERITA : SMK PANTAI, WP LABUAN




SMK Pantai Hidupkan Semangat Baharu, Minggu Pertama Persekolahan Penuh Warna

SMK Pantai sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan Aktiviti Minggu Pertama Sesi Persekolahan 2026 dengan penuh semangat dan keterlibatan menyeluruh daripada warga sekolah. Program ini yang berlandaskan Manual Aktiviti Minggu Pertama merupakan tahun kedua penganjurannya, bertujuan menyatukan seluruh murid dan guru melalui aktiviti yang menyeronokkan, bermanfaat serta berorientasikan pembelajaran sepanjang hayat.

Perangkaan manual aktiviti ini telah dirancang dengan teliti oleh Penyelaras Unit iaitu En. Kasnan, Puan Haslindah, En. Christie dan Puan Norlia. Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, guru-guru dibahagikan kepada beberapa unit utama. Antaranya ialah Unit Bahasa, Komunikasi dan Bacaan yang diketuai oleh Cikgu Athirah dan Cikgu Nur Fajrina; Unit Seni, Sukan dan Lestari yang diketuai oleh Cikgu Jasrin, Cikgu Jasiman dan Cikgu Fildaus; Unit TVET yang diketuai oleh Cikgu Norazlina; serta Unit STEM yang diketuai oleh Cikgu Nur Syazwani dan Cikgu Claire. Pembahagian ini membolehkan aktiviti dijalankan secara lebih tersusun dan berfokus.

Sepanjang empat hari berlangsung, murid-murid telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi nilai tambah kepada pembelajaran mereka. Guru-guru memainkan peranan penting dalam membimbing serta memastikan setiap aktiviti berjalan dengan lancar. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak menjadikan minggu pertama persekolahan ini sebagai pengalaman bermakna yang mampu meningkatkan motivasi murid untuk menghadapi sesi persekolahan baharu.

SUMBER BERITA :  SMK PANTAI, WP LABUAN