WAKIL NEGARA KE 7th ASIA PACIFIC SCHOOL LEADERSHIP ACADEMY & GCED CONFERENCE

SMK LABUAN
7th ASIA PACIFIC SCHOOL LEADERSHIP ACADEMY & GCED CONFERENCE KOREA SELATAN, 20-25 OKTOBER 2016
NAMA GURU:
ISMAIL BIN ABDULLAH

Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mewakili Malaysia menyertai 7th Asia- Pacific School Leadership Academy di Seoul, Republik Korea pada 20-25 Oktober lepas.

Program itu dianjurkan oleh Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding ( APCEIU) dan UNESCO, disertai oleh seorang pengetua dan seorang guru besar bagi setiap negara peserta iaitu Malaysia, Filipina, Thailand, Kemboja, Bhutan, Indonesia, India, Jepun dan Kazakhstan serta 12 pengetua dan guru besar terpilih dari sekolah-sekolah di Korea Selatan.

Menurut Ismail program itu bertujuan membolehkan pemimpin sekolah lebih memahami konsep Pendidikan Kewarganegaraan Sejagat ( GCED) dalam mempromosikan budaya keamanan sejagat.

Selain itu, katanya, perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan idea dalam pertukaran sekolah silang budaya untuk meningkatkan persefahaman merentasi sempadan rantau Asia Pasifik.

“Program membantu itu juga peserta mengenalpasti strategi berkesan untuk membangun dan melaksanakan program pertukaran murid dan guru antara sekolah-sekolah yang terlibat.

“Membentuk gabungan sekolah angkat antara sekolah-sekolah di Seoul, Korea dengan sekolah-sekolah yang terlibat di Asia Pasifik,” katanya.

Aktiviti sepanjang program itu ialah perkongsian ilmu tentang GCED, lawatan ke sekolah gabungan/ sekolah angkat, pameran sekolahsekolah terlibat, membentuk Pelan Tindakan untuk gabungan sekolah angkat dan menyertai Seminar Antarabangsa GCED.

Ismail berkata SMK Labuan menghasilkan persefahaman dengan Gwanak Middle School, Seoul dan beberapa sekolah lain.

Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah mewujudkan perhubungan menggunakan medium atas talian seperti emel, portal, Facebook dan sidang video untuk membolehkan muridmurid SMK Labuan serta sekolah- sekolah di Korea dan negara- negara Asia Pasifik berkongsi maklumat tentang pelaksanaan aktiviti di sekolah masing-masing yang berkaitan GCED.

Ia diikuti dengan lawatan SMK Labuan ke Korea dan negara-negara Asia Pasifik yang terlibat, serta menerima lawatan dari sekolah-sekolah negara yang terlibat ke SMK Labuan pada tahun 2017 dan 2018.

Ismail berkata pemilihan SMK Labuan dalam program itu merupakan satu penghormatan yang sangat besar dan juga satu tanggungjawab yang akan melambangkan komitmen Malaysia dalam menjayakan hasrat UNESCO untuk mempromosikan dan melaksanakan GCED dalam pendidikan ke arah melestarikan keamanan sejagat.

Beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Raisin Saidin kepada SMK Labuan untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil Malaysia dalam program itu.

“Saya yakin nama SMK Labuan akan turut melonjak di persada pendidikan antarabangsa dan nasional. Namun semua warga sekolah harus bertekad untuk meraih lebih banyak kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum agar selaras dengan pemilihan ke persidangan itu,”katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.