Rumah Neptune Juara Kejohanan Olahraga SMK Taman Perumahan Bedaun Kali Ke-21

Labuan, 26 Jun – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kejohanan Olahraga kali ke-21 tahun 2022 dengan jayanya. Kejohanan ini berlangsung secara bersemuka di Kolej Matrikulasi Labuan, selama satu hari dengan meriah. Acara ini telah disertai oleh empat buah rumah sukan iaitu rumah sukan Neptune, Marikh, Musytari dan Zuhal.

Menurut Puan Lau Chin Ying, Penolong Kanan Kokurikulum, sebanyak 11 acara sukan pelbagai kategori dipertandingkan dalam tempoh dua hari. Acara padang dilaksanakan di sekitar kawasan sekolah pada 22 Jun 2022 (Rabu) manakala acara balapan telah dianjurkan di Kolej Matrikulasi Labuan.

Acara perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh wakil Pengarah Pendidikan W.P Labuan iaitu Encik Awang Marten bin Haji Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah SSTP. Dalam ucapannya, beliau menyarankan semua atlet agar bersungguh-sungguh untuk meraih pingat dalam setiap acara yang diceburi dan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi semasa bersukan.

Terdahulu, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat untuk merasmikan kejohanan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran Encik Haider Hussein bin Mohammad Rashid, YDP PIBG, Encik Mohd Nazri bin Mustapa, Pegawai Angkat Sekolah dan murid-murid. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih atas komitmen guru-guru dalam memastikan kejohanan kali ini berjalan dengan lancar.

Rumah sukan Neptune telah berjaya muncul juara keseluruhan dengan kutipan 16 pingat emas, 10 perak dan 7 gangsa. Rumah Musytari pula berjaya menjadi naib johan keseluruhan dan johan bagi kategori pasukan sorak. Bagi acara hiasan rumah sukan pula, Rumah Zuhal mendapat tempat pertama.

Olahragawati bagi kategori perempuan bawah 15 tahun dimenangi oleh adik Nur Shaharah binti Joini @ Jaini dari rumah Zuhal yang memperoleh 2 emas, 2 perak dan 2 gangsa. Olahragawan bagi kategori lelaki bawah 15 tahun pula dimenangi oleh adik Muhammad Haikal Razwan Bin Herry. Adik Haikal berjaya memperoleh 2 emas, 1 perak dan berjaya memecahkan rekod dalam acara lompat jauh.

Olahragawati bagi kategori perempuan bawah 18 tahun pula berjaya dimenangi oleh adik Norsuhada Majeeda dari rumah Zuhal dan telah mendapat 2 pingat emas dan 2 pingat perak. Manakala olahragawan kategori lelaki bawah 18 tahun dimenangi oleh adik Mohd Ruhaifan bin Mahadi yang telah memperoleh 3 pingat emas dan 1 gangsa.

Acara penutupan telah menyaksikan kehebatan guru-guru dalam acara larian 4x50m. Unit kokurikulum telah dinobatkan sebagai johan dalam acara ini. Kejohanan kali ini telah melabuhkan tirainya pada jam 1.00 petang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Barisan pentadbir bersama perasmi Encik Awang Marten dan jemputan



SMK Labuan Laksana Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-24

Labuan, 27 Jun – SMK Labuan telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-24 dalam suasana harmoni dan sepakat pada Sabtu lalu.

Mesyuarat agung yang dihadiri oleh seramai lebih 300 ibubapa dan guru telah diadakan di Dewan Mutiara sekolah berkenaan.

Menurut Yang DiPertua (YDP) PIBG, Tuan Haji Yusof bin Haji Chu Chu, mesyuarat kali ini melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa baharu bagi mewakili ibubapa dalam persatuan berkenaan.

“Selain itu, mesyuarat ini juga akan menetapkan kadar sumbangan keluarga bagi murid-murid yang bersekolah di sini bagi membolehkan PIBG membantu pihak sekolah dalam apa jua aktiviti” ujar beliau lagi.

Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim telah hadir dan merasmikan mesyuarat agung PIBG kali ini.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar ibubapa terus memberi sokongan dan kerjasama padu dalam menjayakan agenda pendidikan negara.

“Disiplin tinggi seperti menepati masa dan akur peraturan sekolah perlu diterapkan ke dalam diri anak-anak kita supaya mereka membesar menjadi insan yang baik dan berguna”.

Selain itu beliau turut menyeru kepada ibubapa agar menaruh kepercayaan kepada sistem pendidikan negara sepenuhnya dalam memberi pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa kepada anak-anak.

Sesi dialog bersama ibu bapa, PIBG dan pihak sekolah

Dalam sesi pemilihan, Tuan Haji Yusup bin Haji Chu Chu telah terpilih sekali lagi menerajui kepimpinan PIBG bagi sesi 2022/2024.

Naib YDP pula disandang oleh Puan Susanna Koh yang berjaya menewaskan 3 calon lain.

Sementara itu, empat AJK dalam kalangan ibubapa turut terpilih menganggotai PIBG melalui undi majoriti.

Mereka ialah Dr. Emily Yapp Hon Thsin, Encik Junaidi Omar, Puan Rohayati binti Othman dan Encik Nordin Ahmad. Manakala semua AJK dalam kalangan guru dikekalkan untuk tempoh sepenggal lagi.

Pengetua bersama kepimpinan PIBG bagi sesi 2022/2024

Mesyuarat kali ini turut menyelit perkongsian ilmu tentang bahaya Scam yang telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Bank Rakyat, Cawangan Labuan, Encik Jasmin Amsyir.

Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada ibubapa dan guru yang hadir. Hadiah utama berupa sebuah televisyen LED yang disumbangkan oleh Asian Supply Base (ASB).

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Labuan
Sesi pemilihan berlangsung dengan suasana harmoni



Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha Impian Guru Perpustakaan Dan Media Seluruh Malaysia.

Program julung kali Pertubuhan Guru Perpustakaan Media Malaysia Cawangan Labuan dan Jabatan Pendidikan WP Labuan yang diurusetiakan oleh Sektor Sumber Teknologi dan Pendidikan bersama SMK Rancha-Rancha, menganjurkan Seminar Inovasi Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaaan berkaitan inovasi dalam pengurusan pusat sumber sekolah.

Pertandingan dan perkongsian yang diadakan mengabungkan semua elemen di atas dalam satu pertandingan besar dengan melibatkan para peserta daripada Guru Perpustakaan dan Media seluruh Malaysia. Seramai 60 peserta seminar telah berkampung di W.P Labuan sejak 8 hingga 10 Jun 2022.

Antara lain pengisian program Seminar Inovasi Pusat Sumber Sekolah peringkat kebangsaan adalah peserta program telah dibawa melawat ke Pusat Sumber DSDN  Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha.

Pengetua sekolah, Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berkata, program lawatan tersebut telah memberi peluang SMK Rancha-Rancha menjalin kerjasama dengan sekolah-sekolah dari selurun Malaysia khususnya dalam pengurusan Pusat Sumber Sekolah. Jarlngan itu adalah permulaan permuafakatan pendidikan berterusan bagi memartabatkan sistem pendidikan berkualiti.

“Menerusi jalingan  ini, lebih banyak ilmu, budaya dan amalan terbaik dapat dikongsi bersama pada masa akan datang,” katanya.

Pengetua sekolah , Ustaz Wan Azman bin Wan Awang     

Pentadbir serta pelajar SMK Rancha-Rancha amat teruja dengan kehadiran   peserta rombongan seawal 7 pagi ke SMK Rancha-Rancha. Sambil menikmati jamuan sarapan pagi, peserta rombongan telah dihiburkan dengan alunan muzik kulintangan.

Ahli rombongan lawatan peserta Seminar Inovasi PSS  Kebangsaan 2022

Selepas menikmati sarapan pagi, program lawatan telah diteruskan dengan majlis menandatangani sijil jaringan antara SMK Rancha-Rancha dengan sekolah-sekolah yang datang melawat. Sebanyak 32 buah sekolah dari seluruh Malaysia telah menandatangani sijil jaringan. Antara sekolah yang menandatangani sijil jaringan bersama SMK Rancha-Rancha ialah SMK Saujana Utama Persiaran Saujana 3, SMK Putrajaya Presint 9( 2) Putrajaya, SMK Bugaya Sempurna Sabah, SMK Pangiran Omar Sipitang Sabah, SMK Pendamaran Jaya Klang Selangor, SMK Kubong Limbang Sarawak, SM Sains Kuala Selangor, Kolej Vokasional Tawau Sabah dan SMK Permas Jaya Johor.

Sewaktu ucapan balas ketua rombongan iaitu Encik Prasad Ridwan yang juga Naib Pengerusi Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia berkata, objektif utama lawatan tersebut diadakan adalah untuk memberi peluang kepada guru perpustakan dan media melihat pengurusan contoh pusat sumber cemerlang dari aspek pengurusan bilik-bilik khas, pelaksanaan program, dan kemenjadian pengawas pusat sumber sekolah. “Saya juga berharap agar para guru memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi mereka pada hari ini dengan sewajarnya “.

Cikgu Prasad Ridhwan, Naib Pengerusi Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia

Peserta seminar inovasi PSS Kebangsaan 2022 telah dibawa melawat ke Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha. Pengawas PSS SMK Rancha-Rancha telah mengiringi ahli rombongan dengan memberi penerangan sepanjang lawatan ke bilik-bilik khas PSS DSDN SMK Rancha-Rancha.

Salah seorang ahli rombongan lawatan iaitu Cikgu Zamilah binti Abidin daripada SMK Bugaya Semporna Sabah berkata, beliau sangat kagum dengan PSS DSDN SMK Rancha-Rancha yang mempunyai pelbagai kemudahan yang lengkap untuk kemenjadian pelajarnya.  Bilik-Bilik khas telah dilengkapi dengan peralatan  teknologi yang canggih dan ditadbir urus dengan cemerlang. Kami amat mengimpikan pusat sumber sekolah seperti ini.

Cikgu Sapri bin Idris  merupakan Guru Perpusatakan dan Media SMK Rancha-Rancha berkata, penganjuran aktiviti lawatan itu bertepatan dengan saranan Kementerian Pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 -2025 yang memfokuskan pemanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia di samping menjalin kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

Dari kiri Cikgu Zamilah binti Abidin , Cikgu Sapri Idris dan Cikgu Rina binti Sarabun



Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival C-HAT

Labuan, 25 Jun  2022 – Jabatan Kesihatan Negeri W.P. Labuan dengan kerjasama Jurulatih Utama C-HAT dan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan  telah mengadakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival C-HAT bagi tahun 2022. Kehadiran dalam lingkungan seramai 350 orang yang terdiri daripada pegawai JKN, pegawai JPWPL, JU C-HAT, pentadbir sekolah, guru-guru, wakil PIBG, ibu bapa dan pelajar-pelajar. Hadir bersama YBrs, Dr. Ismuni bin Bohari, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri dan YBrs. Tn. Yusup bin Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan W.P. Labuan. Majlis diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Zalma binti Abdul Razak, Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, seterusnya merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampian Hadiah Karnival C-HAT, Gaya Hidup Anda Terbaik peringkat W.P. Labuan bagi tahun 2022.

Karnival C-HAT ini telah bermula seawal bulan Mac lalu dan telah dirasmikan oleh Dr.Ismuni pada 11 Mac 2022 secara maya. Pelbagai pertandingan telah diadakan dan  boleh disertai oleh pelajar bermula daripada peringkat Prasekolah sehinggalah peringkat menengah. Selain daripada itu 10 sesi Webinar mengenai kesihatan juga telah diadakan secara dalam talian, yang mana e-sijil turut disediakan. 

En. Yusup bersama Dr. Ismuni dan Pn. Zalma

Selain itu, antara aktivitinya termasuklah :

  1. Cabaran Tik Tok
  2. Mencipta Alat Bantu Mengajar.
  3. Pertandingan kantin bersih & ceria.
  4. Pertandingan mewarna (5-6 Tahun)
  5. Pertandingan bercerita (7-9 Tahun).
  6. Pertandingan Demo Masakan Berpantun. (10-12 Tahun)
  7. Pertandingan Melukis (13-15 Tahun).
  8. Pertandingan Berpidato (16-17 Tahun).
  9. Pertandingan Public Speaking (16-17 tahun)
  10. Pertandingan Aerodance.
  11. Kuiz Mingguan/bulanan.

Pengusaha kantin sekolah SK Pekan Dua, SK Patau-Patau & SMK Mutiara  diberikan Anugerah Khas Juri bagi Kategori Kantin Bersih dan Ceria peringkat W.P Labuan.

Pn. Zalma bersama pengusaha kantin sekolah yang hadir

Turut menyampaikan ucapan ialah Tn. Yusup bin Hj. Mohammad dan Dr. Ismuni Bohari.  Majlis ini telah diadakan di Dewan Sri Kedayan, SK Sungai Lada W.P. Labuan. Majlis diakhiri dengan para jemputan utama melawat booth-booth pameran yang diadakan di dalam dewan tersebut.




Mesyuarat Agung PIBG SMK Taman Perumahan Bedaun Kali Ke-22 berjalan lancar

Labuan, 20 Jun – SMK Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG tahun 2022 pada sabtu lalu ( 18 Jun ).

Mesyuarat yang dijalankan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut dihadiri oleh Pegawai Angkat Sekolah, Encik Mohd Nazri bin Mustapa, pegawai JPWPL, ibu bapa, guru-guru dan staf sekolah.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YDP PIBG SMK TPB iaitu En. Peter Wong. Seramai 100 orang ibu bapa dan 34 orang guru-guru termasuk staf SMK TPB telah menghadiri mesyuarat ini.

Pengetua SMK TPB, Puan Norazita Mohd Nor @ Shamsuri dalam ucapannya berkata reputasi sekolah daripada tahun 2021 ke tahun 2022 masih menunjukkan prestasi yang baik dari aspek kurikulum dan kokurikulum.

YDP PIBG, Encik Peter Wong pula berkata mesyuarat agung PIBG merupakan platform terbaik untuk semua ibu bapa bertemu muka dan berkongsi idea untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah murid.

Setiausaha PIBG, Encik Abdul Kadir Bin Ali telah membentangkan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2021. Bendahari PIBG, Puan Yvonne Simpanan telah membentangkan laporan prestasi kewangan PIBG bagi
tahun 2021.

YDP PIBG, Encik Peter Wong telah mengesahkan Pembubaran AJK PIBG tahun 2021 dan Pengetua SMK TPB, Puan Norazita Mohd Nor @ Shamsuri telah menjadi pengerusi sementara semasa pelantikan AJK PIBG tahun 2022 dijalankan.

Terima kasih atas sumbangan YDP PIBG 2021, Encik Peter Wong (kiri)
Pengetua dan Encik Nazri bersama AJK PIBG Tahun 2021 SMK Taman Perumahan Bedaun

Pembentukan PIBG sesi 2022/2023 telah dijalankan dengan lancarnya dengan cadangan serta sokongan pemilihan AJK baharu daripada ibu bapa dan guru-guru yang hadir dalam majlis ini.  

AJK baharu terbentuk diketuai oleh Encik Haider Hussein bin Mohammad Rashid yang telah terpilih sebagai YDP baharu mengetuai AJK PIBG bagi sesi 2022/2023.

 AJK PIBG lain yang telah dilantik terdiri daripada timbalan YDP PIBG, Encik Rosley bin Dahlan,  Setiausaha PIBG Puan Viviana Ayu Saidin, Timbalan Setiausaha, Cik Syazwani binti Patik dan Bendahari PIBG, Puan Yvonne Simpanan. AJK ibu bapa terdiri daripada Encik Arisin bin Ariffin, Encik Rerry Indra bin Lanrang, Puan Noryati binti Naim, Puan Jerina Sapina, Puan Nur Hazimah Sulaiman, Puan Sarifah binti Miga dan En. Zoufily bin Ahmad.

AJK guru dilantik oleh pihak sekolah SMK TPB iaitu Puan Melisa @ Abby Jemut, Encik Muhammad Ali bin Tai
dan Cik Mastura bin Nurillah.

Encik Haider Hussien berharap jalinan baik antara guru-guru dan ibu bapa terus terjalin dan beliau menyeru ibu bapa agar terus memberikan komitmen serta kerjasama dalam program-program yang dijalankan oleh PIBG di masa-masa akan datang.

125 cabutan bertuah dimenangi oleh guru-guru, staf, dan ibu bapa yang hadir dan disampaikan oleh Encik Peter dan Puan Norazita Mohd Nor @ Shamsuri, pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : Cikgu Viviana Ayu Saidin, SMK Taman Perumahan Bedaun




SMK Pantai Catat Keputusan Terbaik Dalam Tempoh 6 Tahun

Labuan, 17 Jun – SMK Pantai telah mencapai keputusan terbaik dalam tempoh 6 tahun setelah mencapai peratus lulus 96.55% berbanding 92.66% tahun 2020 yang telah diumumkan kelmarin.

Lonjakan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 4.44 tahun 2021 berbanding 5.34 pada tahun sebelumnya.

Begitu juga dengan pencapaian murid yang mendapat keputusan 6A menunjukkan peningkatan ketara kepada 18 orang berbanding 5 orang pada tahun 2020.

Setelah 3 tahun tiada calon yang mendapat semua A, Evania Liew Hui Chen telah dinobatkan sebagai murid terbaik SPM tahun 2021 SMK Pantai dengan mendapat keputusan cemerlang 9A+.

Pengetua SMK Pantai Encik Ismail bin Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada mantan pengetua SMK Pantai Encik Sahar bin Misron dan Puan Norazita Md Nor yang telah memimpin guru, murid dan staf SMK Pantai dengan cemerlang.

Menurut Encik Ismail, beliau hanya sempat 2 bulan bersama calon-calon SPM 2021 sejak memulakan tugas pada 7 Februari 2022. Beliau cuma sempat menyumbang semangat, motivasi saat akhir, sentuhan psikologi dan doa yang berterusan.

Pengetua menerima keputusan SPM 2021 daripada Encik Yusup bin Haji Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Ucapan tahniah juga kepada semua guru, PIBG, ibu bapa dan warga SMK Pantai sehingga mencapai keputusan cemerlang ini.

Encik Ismail berazam bersama guru-guru dan warga SMK Pantai  meneruskan usaha untuk memastikan kecemerlangan ini berterusan.

Murid cemerlang SPM 2021 SMK Pantai iaitu Evania Liew Hui Chen merupakan seorang murid yang cemerlang dan seimbang dalam pencapaian kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.

Selama  bersekolah di SMK Pantai (2017-2022) pelbagai kejayaan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa telah dicapai berkat disiplin, komitmen dan ketekunan yang sangat tinggi.

Beliau pernah mendapat Johan Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah peringkat Negeri dan Kebangsaan pada tahun 2017. Beliau juga pernah menyertai program pengantarabangsaan Kulinari di Sekolah Tinggi Pariwisata, Bandung Indonesia tahun 2017.

Dalam pertandingan Bicara Buku Kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah tahun 2021, beliau telah mendapat tempat pertama di peringkat negeri dan meraih tempat keempat di peringkat kebangsaan pada tahun yang sama.

Antara pencapaian-pencapaian beliau yang lain adalah seperti Johan Pertandingan Perbarisan MSSM WPL 2018, Johan Pertandingan Aktiviti Pendidikan Luar Secara Rakaman Video Acara Masakan Rimba Peringkat Negeri 2021, Tempat ketiga Pertandingan Tokoh Nilam Bahasa Melayu Sekolah Menengah Peringkat Negeri 2021, Tempat Pertama Anugerah TEKNOPEN 2021 : Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah Menengah Peringkat Negeri W.P Labuan 2021, Tempat Pertama Pertandingan First Aid Challenge Peringkat Negeri W.P Labuan 2021 dan menyertai Pertandingan Grow Rimba Anjuran Kelab Duta Rimba Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan.

Berita Oleh : SMK Pantai

Pengetua bersama murid cemerlang SPM 2021 Evania Liew Hui Chen



SMK Rancha-Rancha Mengekalkan Keputusan Cemerlang SPM 2021 Dengan Pencapaian 100% Lulus.

Labuan, Khamis 16 JUN 2022 – Merupakan majlis  penyerahan slip keputusan SPM bagi pelajar-pelajar SPM 2021 yang dikelolakan oleh Unit Kurikulum dan diselaraskan oleh bidang kemanusiaan. Semua pelajar menerima keputusan pada hari tersebut seperti mana yang telah diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha, telah tersenarai dalam kelopok 3 sekolah yang berjaya lulus 100% di Labuan bersama dengan Sekolah Menengah Sains Labuan dan Sekolah Menengah St Anne Labuan. Keputusan ini  merupakan kejayaan yang cukup membanggakan bagi seluruh warga SMKRR terutama sekali pengetua Ustaz Wan Azman sebagai peneraju utama kepimpinan SMKRR.

Pengetua SMK Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang Ketika membuat pengumuman SPM 2021

Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar SPM 2021 kerana telah menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh walapun terlalu banyak dugaan dan cabaran sepanjang tahun lalu akibat kekangan waktu pembelajaran bersama guru secara bersemuka sangatlah hebat kerana masalah covid 19 masih aktif di seluruh negara. Cabaran dan dugaan ini bukanlah sesuatu yang kecil malah ada di antara pelajar sudah mula merasa tertekan dan hilang semangat, namun berkat kerjasama dan usaha keras guru-guru serta ibu bapa akhirnya SMKRR dapat mencapai kejayaan cemerlang SPM pada kali ini. Beliau berharap semangat dan momentum kejayaan ini dapat diteruskan di masa akan datang dan SMKRR terus mencapai kecemerlangan serta mengekalkan peratus lulus 100%.

Selain pencapaian 100% SMK Rancha-Rancha juga telah menunjukkan peningkatan Gred Purata daripada 4.62 pada SPM tahun 2020 meningkat menjadi 4.52 untuk SPM tahun 2021. Antara subjek – subjek yang lulus 100% pula adalah Bahasa Melayu , Sejarah, Sains, Geografi, Pendidikan Seni Visual , Fizik, Kimia dan Biologi.

Mata pelajaran Bahasa Inggeris, Geografi, Pendidikan seni  menunjukan peingkatan. Manakala subjek Bahasa inggeris  mencapai “Lonjakan Saujana”  iaitu Gred purata dari 6.28 untuk SPM 2020 meningkat menjadi 4.52 bagi SPM 2021 ini merupakan  pencapaian tertinggi sebanyak 1.76 sejak SPM tahun 2019.

Penerima subjek lonjakan saujana Cikgu Nor Hasina binti Hassan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris

Pengetua Ustaz Wan Azman bin Wan Awang, mengucapkan setinggi –tinggi penghargaan kepada semua guru SMK Rancha-Ranca serta AKP yang sama-sama membantu dalam kesepakatan untuk menjadikan kejayaan ini satu realiti . Penghargaan dan terima kasih khusus buat  guru-guru tingkatan 5 yang menjadi pemangkin kejayaan  keputusan SPM tahun ini, kerana semangat yang ditunjukkan sangatlah luar biasa untuk membawa pelajar ini lulus dengan cemerlang. Walaupun ramai di kalangan guru-guru ini telah berjaya berpindah ke sekolah baharu ketika SPM sedang berlangsung, namun ada di antara mereka masih meneruskan tugas membimbing pelajar-pelajar ini  hingga ke saat-saat akhir melalui talian secara maya, meskipun sudah berada di sekolah baharu, tanggungjawab untuk memastikan pelajar SMKRR lulus di teruskan tanpa rasa lelah dan jemu.  Semangat dan kesungguhan guru ini yang seharusnya di beri pujian dan penghargaan yang besar atas kentalnya keazaman yang mereka pamerkan.

SPM kali ini berjaya melahirkan 11 pelajar cemerlang iaitu suatu peningkatan yang cukup memberangsangkan . Dua orang pelajar telah memperlehi “Straight A’ untuk semua subjek. Pelajar tersebut adalah Norsuhaila Binti Omar Ali mendapat 10A iaitu 4A+,4A dan 2A– bagi kelas aliran sains. Manakala Nurul Syaqila Binti Yusaili mendapat 9A iaitu 1A+, 6A dan 2A- bagi kelas Sains Kemanusiaan.

Norsuhaila Binti Omar Ali mendapat 10A iaitu 4A+,4A dan 2A- bagi kelas aliran sains

Manakala antara pelajar cemerlang lain pula ialah Putri Nor Atiqah Syakirah Binti Awang Said ( 8A ) , Aliya Aliyanna Binti Alihan ( 7A), Nur Anatashya Nabilah Binti Yunos ( 6A), Farhan Naqiuddin Nt Erma Sazali ( 7A) Nurul Anisa Bt Sifian ( 6A ) , Mohammad Zaial Ariffin Bin Zainuddin (6A) Nur Shamimie Shazwanie Binti Muhammad Hatta ( 6A) Muhammad Ramadhan Bin Abdul Saad ( 6A ) dan Nur Qyairul Syifaa Bin Ryzisyaini (6A).

Sesungguhnya kejayaan sekolah ini adalah kejayaan bersama antara pentadbir, guru, murid, AKP serta Ibu bapa. Kerjasama dan kesepakatan inilah yang telah membawa kepada kejayaan sekolah. Tanpa kerjasama yang baik sesuatu kejayaan tdak akan dicapai. Usaha gigih guru dan murid juga telah membuahkan hasil yang baik , cogan kata SMKRR smart, SMKRR sepakat dan SMKRR the best perlulah selalu dijadikan sebagai satu dorongan semangat demi pencapaian yang terbaik setiap masa. Semoga kerjasama, semangat dan kesungguhan ini terus kekal dijiwa warga SMKRR the best.




Ziarah Cakna Sejahtera Manifestasi Kenang Jasa Guru

Labuan, 27 Mei – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan program Ziarah Cakna Sejahtera sebagai sebahagian daripada acara sambutan Hari Guru peringkat negeri tahun ini.

Program bagi mengenang jasa guru-guru yang telah bersara daripada perkhidmatan ini telah dikelolakan oleh SMK Labuan pada khamis lalu.

Menurut penyelaras program, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Ziarah Cakna Sejahtera melibatkan lawatan kepada enam pesara guru di sekitar Labuan.

“Seramai lapan daripada 20 peserta yang terlibat dalam sesi lawatan ini ialah ahli pengurusan tertinggi jabatan yang ketuai oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Mohamad”

“Turut terlibat ialah Pengetua dan Guru Besar daripada sekolah-sekolah Zon Pengelola Sambutan Hari Guru tahun ini” ujar beliau lagi.

Selain itu 4 wakil daripada Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (5P) Cawangan Labuan turut serta dalam ziarah ini yang diketuai oleh pengerusinya, Datin Hajjah Dayang Pungut binti Abdul Jalil.

Antara pesara guru telah diziarah ialah Tuan Haji Othman bin Mahali. Cik Shim Ching Teo dan Encik Faris Kasa.

Selain itu, turut diziarah ialah Encik Nordin Mokhtar, Puan Siyon binti Abdul Hamid dan Encik Nasir bin Ahmad.

Encik Nordin Mokhtar melahirkan rasa terima kasih atas kunjungan warga pendidikan dan ini menunjukkan semangat kekitaan yang kuat dalam kalangan guru walaupun telah bersara.

Sementara itu, Haji Othman Mahali yang juga mantan Pegawai Pendidikan Daerah menganggap inisiatif ini sebagai satu manifestasi kebersamaan dalam satu keluarga guru yang besar.

Dalam ziarah tersebut, Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Mohamad berbesar hati menyampaikan cenderahati berbentuk buah-buahan dan wang tunai hasil sumbangan warga guru seluruh Labuan.

“Saya berharap agar inisiatif ini diteruskan pada masa-masa akan datang demi menghargai jasa para guru sama ada yang telah bersara ataupun yang telah bersara” katanya lagi.

Turut menyertai ziarah ialah Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Encik Fadzil bin Mohd Jamil, Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri.




Pemimpin Muda SMK Labuan Tonggak Sekolah Berkualiti

Labuan, 26 Mei – Seramai 102 pengawas, 55 Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan 31 Pengawas Pusat Sumber (PSS) SMK Labuan telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam satu majlis ringkas di Dewan Mutiara sekolah berkenaan pada Selasa lalu.

Menurut penyelaras majlis, Puan Jamaliah Razali majlis tersebut bertujuan untuk mengiktiraf pelantikan mereka sebagai pemimpin muda di sekolah.

“Mereka akan membantu pihak sekolah dalam memberi maklumbalas terutamanya dalam memastikan suasana pembelajaran di kawasan sekolah berada dalam keadaan yang terkawal dan berkualiti” kata beliau lagi yang juga merupakan Penolong Kanan HEM.

Majlis penyampaian watikah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan. Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa murid-murid yang dilantik berpeluang untuk melatih diri sebagai pemimpin muda dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan sekolah.

“Saya yakin dan percaya bahawa mereka yang terpilih dan dilantik mempunyai keupayaan dan kewibawaan dalam melaksanakan tugas” ujarnya.

Di akhir majlis, ketua pengawas, Adik Muhammad Nabil Nuruddin bin Ramlee telah memimpin acara lafaz ikrar dan janji melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan kualiti sekolah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Encik Cheah Teong Aik, Penolong Kanan Kokurikulum dan Encik Abdul Ghafar Salleh, Penolong Kanan Petang.

Berita Oleh : SMK Labuan




Meriahnya Kejohanan Merentas Desa Kali Ke-17 SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2022

Labuan, 20 Mei – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah Kali ke-17. Acara ini telah dimulakan seawal jam 7 pagi.

Satu taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Encik Ahmad Yusri bin Che Daud, Setiausaha Sukan, kepada semua peserta sebelum acara dimulakan. Acara ini telah disertai oleh empat buah rumah sukan iaitu Musytari, Marikh, Zuhal dan juga Neptune.

Tepat jam 7.30 pagi, acara merentas desa bagi kategori lelaki bawah 18 tahun dimulakan. Jarak larian bagi kategori lelaki bawah 18 tahun ialah 8 km, manakala kategori perempuan bawah 18 tahun, lelaki bawah 15 tahun dan perempuan bawah 15 tahun ialah 6 km.

Kejohanan tahun ini berjalan dengan lancar seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mendapat bantuan keselamatan daripada anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Taklimat keselamatan oleh Encik Ahmad Yusri

Puan Lau Chin Ying, Penolong Kanan Kokurikulum berkata, “Kejohanan Merentas Desa ini dapat memberi pendedahan kepada murid serta mencungkil bakat murid. Dalam masa yang sama, kejohanan ini juga bertujuan untuk menyemarakkan semangat persaingan yang sihat dalam kalangan murid serta dapat menggilap bakat murid dalam bidang sukan untuk diserlahkan ke peringkat yang lebih tinggi.”

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh En. Peter Wong,YPD PIBG SMKTPB.

Juara bagi kategori bawah 18 tahun, kategori lelaki dimenangi oleh Al-Muhmin Bin Minjamin dengan masa larian 40.10 minit manakala juara bagi kategori perempuan dimenangi oleh Dayang Siti Fatmah Binti Majumin dengan masa larian 34.57 minit.

Bagi kategori bawah 15 tahun pula, juara kategori lelaki dimenangi oleh Mohammad Riduan Amin Mulia bin Majumin dengan catatan masa larian 29.15 minit, manakala kategori perempuan dimenangi oleh Nur Shaharah bt Joini dengan masa larian 36.41 minit.

Juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa pada tahun ini telah dimenangi oleh Rumah Zuhal, Naib johan Rumah Marikh, tempat ketiga Rumah Musytari dan diikuti dengan rumah Neptune di tempat keempat.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Barisan pentadbir bersama pegawai angkat dan para jemputan