SPI Anjur Bengkel Pembangunan Program ADNI :
Inisiatif Program Murid Secara Dalam Talian

Labuan, 06 Ogos – Bengkel Pembangunan Program Adab dan Nilai (ADNI) anjuran Sektor Pendidikan Islam (SPI) berlangsung dengan jayanya petang tadi di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri (SSTP).

Bengkel ini dikendalikan oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, JPWPL dihadiri oleh 26 orang penyelaras ADNI sekolah rendah dan menengah di wilayah ini. 

Menurutnya, pada tahun ini semua Pertandingan di bawah Pembangunan Program  Adab dan Nilai tetap dilaksanakan seperti biasa namun dalam suasana yang berbeza iaitu secara dalam talian untuk mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“SPI telah melaksanakan Pertandingan Daie Cilik dan e-Hafazan secara dalam talian semasa Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam bulan Ramadan yang lalu sempena Program Gempak Ramadan. Peserta begitu bersemangat menunjukkan bakat dan kreativiti mereka ketika membuat persembahan.”

“e-pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah merupakan saluran yang memberi ruang kepada murid-murid untuk mengasah bakat dalam meningkatkan potensi dan sahsiah mereka bagi memenuhi tuntutan rohani melalui acara-acara yang disertai”. Katanya lagi.

Ustaz Sahrum Samlan sedang menyampaikan taklimat berkaitan e-Pertandingan Program ADNI.

Antara pertandingan yang akan dilaksanakan untuk sekolah rendah ialah Tarannum Siber, Khat Siber, e-Daie Cilik, e-Kalam ‘Arabiy’, e-Hafazan Al-Quran, e-Nyanyian Solo Lagu Kerohanian.

Manakala pertandingan di peringkat sekolah menengah pula ialah Tarannum Siber, Khat Siber, Daie Siber, e-Kalimatus Sobah, e-Hafazan Al-Quran, e-Nyanyian Solo Lagu Kerohanian, e-Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan dan Syair Bertemakan Adab & Nilai (Kategori Murid).dan e-Pertandingan Qiraatus Sab’ie Bit Tarannum.

Terdapat 3 pertandingan yang dilaksanakan secara sidang video (video conference) iaitu e-Hafazan Al-Quran, e-Pertandingan Qiraatus Sab’ie Bit Tarannum dan e-Pertandingan Tahfiz Al-Quran.

Sesi perbincangan dalam kumpulan untuk membincangkan pelaksanaan e-pertandingan

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Binti Salim mengharapkan agar pertandingan secara atas talian ini mendapat sambutan daripada peserta.

“Meskipun kita berada dalam Fasa Pemulihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP), namun pertandingan program ADNI masih diteruskan dalam suasana normal baharu yang memberi ruang kepada lebih ramai peserta untuk menyertainya dan melayakkan mereka menerima sijil penyertaan sama ada di peringkat sekolah mahupun negeri”. katanya semasa menyampaikan ucapan dalam bengkel tersebut.

Beliau berkata, melalui e- pertandingan yang akan dilaksanakan ini, ibu bapa boleh menghantar rakaman video terbaik melalui acara yang disertai oleh anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Penghantaran rakaman video kepada pihak sekolah boleh dilakukan sehingga 20 Ogos ini bagi memberi ruang masa yang cukup untuk murid membuat rakaman dan persiapan bagi acara yang disertai.

“Kita faham bahawa tidak semua ibu bapa dapat menyediakan rakaman video untuk acara yang disertai oleh anak-anak mereka. Justeru, pihak sekolah melalui guru penyelaras bestari bolehlah membantu dalam proses rakaman tersebut”. Katanya lagi.

Ustazah Kamariah Salim menyampaikan ucapan dalam bengkel ADNI.

Penjurian juga berbeza daripada tahun lalu kerana peserta akan diberikan gred pencapaian bagi menggambarkan prestasi peserta iaitu platinum (90 – 100%), Emas (80- 89%), Perak (65-79%) dan Gangsa (50-64%).

Bagi e-pertandingan di peringkat negeri akan diadakan mulai 21 Ogos hingga 11 September. Pihak sekolah perlu menghantar penyertaan melalui google form beserta pautan video terbaik bagi setiap acara yang dipertandingkan. Manakala pertandingan di peringkat kebangsaan pula akan diadakan pada 12 hingga 30 September.

Dalam bengkel tersebut turut diadakan latihan membina google form bagi menggantikan borang pendaftaran pertandingan, cara penghantaran video dan simulasi e-pertandingan hafazan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Sebahagian daripada ustazah yang hadir sedang membuat praktikal melalui telefon bimbit pelaksanaan e-Pertandingan
Peserta bengkel begitu khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ustaz Sahrum.



PEKDIS Labuan Anjurkan Korban Berkelompok Di SKSB

KORBAN Berkelompok Anjuran Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (PEKDIS) Cawangan Labuan telah disempurnakan dengan jayanya pada 1 Ogos lalu di Lapangan Korban Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB).

Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ibadah korban pada tahun ini berbeza dengan tahun lalu kerana mengikut SOP dan tiada aktiviti masak-memasak seperti kebiasaan dilakukan.

Program ini dilakukan seawal jam 7.00 pagi yang diketuai oleh Imam Masjid Sungai Bedaun,  Tuan Hj Sahrum bin Samlan dengan dibantu oleh Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff yang juga merupakan Penolong Pengarah di Sektor Pendidikan Islam, ahli PEKDIS dan warga pendidikan di Labuan.

Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian.

Peserta dan petugas korban bergambar kenangan bersama Puan Dg Sarifah (lima dari kiri) dan Puan Kamariah (empat dari kiri)

Menurut Yang Dipertua PEKDIS Cawangan Labuan Puan Kamariah binti Salim, PEKDIS sentiasa prihatin terhadap golongan yang memerlukan dan sangat menekankan aspek perkongsian manfaat kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Beliau berkata, inisiatif ini merupakan platform utama bagi menjalankan aktiviti yang memberi impak dalam kehidupan masyarakat di samping memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga pendidikan bersama masyarakat setempat.

“Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, PEKDIS mengambil keberkatan dengan melaksanakan Program Ibadah Korban Berkelompok bersama-sama warga SKSB dengan menjalankan aktiviti gotong-royong penyembelihan dan agihan daging korban kepada anak-anak asnaf di sini” katanya.

Sementara itu Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Mohd Syahir berkata, bagi memastikan kelancaran program pihak urus setia sentiasa menitik beratkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban sebagaimana yang disarankan kerajaan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Pihak  penganjur turut menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan 60 orang petugas, memastikan pemakaian pelitup separuh muka serta merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau mencatat nama secara manual.” ujarnya.

Petugas sibuk menghiris, menimbang dan membungkus daging korban untuk diagih-agihkan kepada asnaf, peserta dan petugas korban.
Sebahagian daripada peserta dan petugas bergambar bersama Encik Yusup (tiga dari kanan), Puan Dg.Sarifah (tengah) dan Puan Kamariah (empat dari kiri)

Aktiviti Ibadah Korban dibenarkan di semua masjid, surau dan kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan sebagaimana yang telah diumumkan oleh  Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada 24 Jun lalu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Turut hadir di dalam program ini Guru Besar SKSB Puan Dg. Sarifah binti A.Mahmod, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad dan pegawai-pegawai daripada JPWPL.

Pengagihan daging korban selesai disampaikan kepada 75 orang asnaf dan anak yatim jam 1.00 tengah hari di dewan sekolah.

PEKDIS Labuan menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah atas kebenaran melaksanakan ibadah korban di SKSB serta jalinan kerjasama yang sangat baik sepanjang program ini berlangsung. Semoga program ini dapat diteruskan di masa hadapan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Pendaftaran asnaf untuk pengagihan daging korban.
Puan Kamariah menyampaikan daging korban kepada penerima.
Puan Kamariah (tengah), Puan Dg. Sarifah (kiri) dan Ustaz Sahrum (kanan) menunjukkan daging korban yang diagihkan kepada asnaf secara ‘agih lalu’ di dewan sekolah
Pegawai-pegawai daripada Sektor Pendidikan Islam, JPWPL bergambar bersama Puan Dg. Sarifah (tiga dari kiri) dan Tn Hj Abdul Rahman (dua dari kiri).



SMK Mutiara ‘Tumbangkan’ Dua Lembu

Labuan, 1 Ogos – Guru-guru SMK Mutiara dengan kerjasama Persatuan Anak Negeri Terengganu Cawangan WP Labuan (PANTAS) telah berjaya ‘menumbangkan’ dua ekor lembu korban sempena sambutan aidiladha tahun ini.

Proses penyembelihan telah dilaksanakan pada jam 9.30pagi di Rumah Sembelihan Ruminan di Kampung Patau-Patau. Lembu korban seterusnya dibawa ke SMK Mutiara untuk proses pemotongan dan pengagihan.

Seramai 39 guru dan ibubapa telah datang meluangkan masa bergotong royong memotong dan mengagihkan daging korban yang bermula jam 10.30 pagi. Kerja kerja ibadat korban pada tahun ini diketuai oleh Ustaz Zainal bin Abdul Wahab.

Menurut beliau, seekor lembu telah disumbangkan oleh Syarikat Marsa Collection yang beroperasi di Labuan manakala seekor lagi adalah sumbangan para peserta korban yang terdiri daripada guru dan ibubapa murid seramai 7 orang.

Mereka yang menyertai ibadah korban kali ini ialah Ustaz Zainal Abdul Wahab dan Ustaz Mohd Saifullizan Yasim dari SMK Mutiara, Haji Mohd Nasrudin Haji Nawawi dan Mohd Rasyidin Siron dari Syarikat Eastro Ventures Sdn Bhd, Cikgu Suhaimi dan Cikgu Mizlan dari SMKTaman Perumahan Bedaun dan Salahuddin Mohamad dari PTTEP Malaysia serta Mohd Zam Omar dari Syarikat Petra Resources Sdn Bhd.

“Ibadat korban pada tahun ini agak berbeza kerana kita masih lagi dalam tempoh PKPP dan perlu patuh kepada semua SOP yang telah diwartakan. Kita perlu mengehadkan kepada 40 orang sahaja yang datang membantu kerja-kerja memotong dan mengagihkan daging korban kali ini. Namun begitu suasana tetap meriah dan lebih penting lagi ialah penghayatan kepada ibadah korban itu sendiri ” katanya lagi.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut hadir menyaksikan gotong royong yang telah diadakan di ruang kantin sekolah.

” Acara ini adalah sebahagian daripada tradisi di sekolah ini. Para guru dan kakitangan telah bekerja bersama-sama sejak seminggu lalu bagi memastikan acara tahun ini berjalan lancar dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh MKN” ujar beliau lagi.

Pengetua menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang murid sambil diperhatikan oleh Ustaz Zainal dan Encik Salahudin.

Seramai 30 murid terpilih untuk menerima agihan daging korban kali ini. Mereka terdiri daripada murid-murid SMK Mutiara telah dipilih berdasarkan kriteria-kriteria yang digariskan dalam syariat Islam.

Salah seorang penerima, adik Ain Haziqah Mohd Rasyidin melahirkan rasa syukur atas rezeki yang diterima dan berharap agar Allah mengunugerahkan pahala kepada para peserta korban.

Daging korban turut diagih-agihkan kepada mereka yang layak termasuk kepada pekerja pekerja keselamatan dan kebersihan di sekolah.

Turut hadir dalam gotong royong ialah Encik Salahuddin Bin Mohamad, pengurus syarikat Marsa Collection dan Puan Mizan Adlia binti Mohd Shoib, Pengerusi Kelab Keluarga SMK Mutiara.

Daging korban sedang dipotong untuk diagihkan kepada mereka yang layak
Guru dan ibubapa bekerjasama untuk membahagi-bahagikan daging korban.
Pengetua menyampaikan agihan daging korban kepada Encik Karim, pekerja pembersihan di SMK Mutiara.



Dua Guru SMK Mutiara Naik Pangkat

Labuan, 27 Julai – Warga SMK Mutiara mengucapkan tahniah atas kejayaan dua guru SMK Mutiara maju setapak lagi dalam kerjaya sebagai guru. Puan Teo Geok Lin dan Puan Mary Bong menerima surat kenaikan pangkat masing-masing daripada Pengarah Pendidikan W. P. Labuan, Puan Khaziyati binti Osman pada Isnin.

Puan Teo Geok Lin yang juga merupakan Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) Sains Kemanusiaan di sekolah ini menerima surat kenaikan pangkat daripada gred DG44 ke Gred DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP) . Manakala Puan Mary Bong pula menerima surat kenaikan pangkat daripada gred DG41 ke Gred DG44(KUP). Kedua-dua guru telah layak dinaikkan pangkat secara Time-based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK).

Ketika mengulas penerimaan surat kenaikan pangkat tersebut, Puan Teo Geok Lin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya warga SMK Mutiara yang telah banyak memberi kerjasama dan sokongan sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini selama 25 tahun.

Puan Teo Geok Lin menerima surat kenaikan pangkat daripada Puan Khaziyati

Cik Mary Bong pula menyifatkan kenaikan pangkat ini merupakan satu suntikan semangat untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang pada masa akan datang. Beliau juga telah menyumbang bakti di SMK Mutiara selama 18 tahun.

Surat kenaikan pangkat telah diserahkan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Puan Khaziyati Osman dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Terbuka, Pusat Kokurikulum Negeri di Merinding. Seramai 68 guru dan Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) penerima terlibat dalam kenaikan pangkat tahun ini.

Dalam ucapannya, Puan Khaziyati Osman yang baru dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P Labuan ke-7 berharap agar kenaikan pangkat akan menjadi inspirasi ke arah perkhidmatan yang lebih cemerlang.

“Semakin tinggi pangkat, semakin besar tanggungjawab kita. Kita mesti mampu menterjemah dan melaksana semua dasar KPM untuk meningkatkan kualiti sekolah dan kemenjadian murid. Berilah contoh terbaik kepada rakan sekerja melalui kepimpinan melalui teladan” tambah beliau lagi.

Puan Khaziyati menyampaiakn surat kenaikan pangkat kepada Cik Mary Bong

Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan guru-guru berkenaan. Beliau menyifatkan kedua-dua guru sangat komited dan telah memberi khidmat terbaik sepanjang berkhidmat di SMK Mutiara.

“Kedua-dua guru adalah sangat layak untuk kenaikan pangkat ini. Semoga mereka terus memberi perkhidmatan cemerlang dan menjadi contoh kepada guru-guru yang lain” tambah beliau.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Mat Noh.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Warga SMK Mutiara Hargai Jasa Guru Berpindah

Labuan, 24 Julai – Seramai 52 warga SMK Mutiara telah hadir dan meluangkan masa untuk bersama-sama menghargai jasa dan sumbangan empat guru yang berpindah tempat bertugas di salah sebuah hotel di pusat bandar pada jumaat lalu. Mereka terlibat dalam proses penempatan semula guru (redeployment) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mulai Jun 2020.

Majlis yang bermula jam 2.30 petang tersebut telah dianjurkan oleh Kelab Keluarga SMK Mutiara yang diterajui oleh Puan Mizan Adlia binti Mohd Shoib. Menurut beliau, majlis ini diadakan khusus untuk merai dan menghargai jasa guru-guru berkenaan yang telah menabur bakti dan khidmat sekian lama di SMK Mutiara.

“Warga Mutiara amat merasai kehilangan kempat-empat guru ini kerana kami telah bersama-sama mengajar di SMK Mutiara sejak sekian lama. Berbagai-bagai kenangan pahit manis yang telah diharungi bersama. Majlis seperti ini adalah salah satu tradisi yang telah lama bertapak di SMK Mutiara” ujar beliau lagi

Guru-guru yang terlibat ialah Tuan Haji Minggu bin Amat, Ustazah Roshidah binti Saad, Puan Naidatul Idura binti Idris dan Puan Fadhilah binti Awang.

Warga sMK Mutiara yang meraikan guru-guru yang berpindah

Tuan Haji Minggu yang juga merupakan jurulatih sepenuh masa bagi permainan sepak takraw telah ditempatkan sebagai Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid di Jabatan Pendidikan W.P. Labuan mulai 24 Julai 2020. Beliau telah berkhidmat selama 15 tahun di SMK Mutiara.

Ustazah Roshidah pula ditempatkan di SMK Lajau atas keperluan perkhidmatan. Beliau yang pernah menerajui panitia Pendidikan Islam telah menabur bakti selama 15 tahun di SMK Mutiara.

Manakala dua lagi guru iaitu Puan Naidatul Idura dan Puan Fadhilah masing-masing telah ditempatkan di SMK Taman Perumahan Bedaun dan SMK Pantai juga atas keperluan perkhidmatan. Mereka telah bersama-sama menyumbang bakti di SMK Mutiara selama 8 tahun.

Pengetua SMK Mutiara turut hadir meraikan dan menghargai jasa-jasa mereka. Dalam ucapannya beliau berharap agar guru-guru yang berpindah tempat bertugas agar dapat meneruskan kecemerlangan di tempat baharu. Selain itu beliau juga mengalu-alukan kehadiran 3 guru baharu yang mula ditempatkan SMK Mutiara mulai Jun 2020. Mereka ialah Encik Jumardi, Puan Azhana dan Cik June Ann.

“Walau di mana kita bertugas, laksanakan tanggungjawab kita dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Dengan cara ini kita akan dapat membantu meningkatkan kemenjadian murid-murid di pulau bertuah ini secara komprehensif ” tambahnya lagi.

Turut menyampaikan ucapan ialah Tuan Haji Minggu bin Amat yang mewakili guru-guru yang berpindah. Beliau memberi kata-kata semangat agar semua warga SMK Mutiara terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk meningkatkan kualiti sekolah.

Tuan Haji Minggu berucap mewakili guru-guru yang terlibat dalam penempatan semula

Di akhir majlis, Kelab Keluarga SMK Mutiara telah menyampaikan cenderamata kenangan kepada semua guru yang berpindah sebagai tanda ingatan dan penghargaan. Panitia-panitia, koperasi sekokah dan kelas juga tidak ketinggalan menyampaikan hadiah kepada guru-guru berkenaan. Penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh pengetua sekolah.

Selepas jamuan ringan yang disediakan oleh pihak hotel, semua warga SMK Mutiara mengambil peluang merakamkan gambar kenangan bersama-sama guru-guru yang telah berpindah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Puan Siti Aminah Binti Zakaria, Penolong Kanan Pentadbiran dan Encik Jostelen Lamibai, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Teruskan Kecemerlangan !, ucapan Pengetua SMK Mutiara Encik Mohd Nizam



SMK Mutiara Terokai Projek Madu Kelulut Di Sekolah

Labuan, 21 Julai – Madu lebah kelulut adalah antara produk pertanian yang mendapat permintaan ramai dewasa ini. Selain daripada khasiat madunya, pemeliharaan kelulut mampu menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pengusahanya kerana harganya yang mahal.

Menyedari hal ini, SMK Mutiara mengorak langkah memulakan projek pemeliharaan lebah kelulut di kawasan sekolah dengan tiga sarang permulaan. Sarang-sarang diperolehi daripada tanah besar Sabah dengan bantuan seorang pengusaha lebah kelulut yang telah berjaya, Encik Jumat Latip yang juga merupakan seorang pesara guru.

Menurut Encik Jumat, pemeliharaan lebah kelulut memerlukan usaha dan kos yang sangat minima kerana kelulut tidak perlu diberi makan seperti peliharaan yang lain. Lebah kelulut akan terbang dalam lingkungan 2 kilometer dari sarangnya untuk mengutip madu daripada pokok-pokok yang berbunga.

“Lebah kelulut ini dari jenis trigona itama mempunyai jangka hayat selama 21 hari untuk hidup. Lebah ini akan terbang untuk mengumpul madu dan kembali semula ke sarang setiap hari sebelum mati. Lebah kelulut yang baharu akan dihasilkan oleh permaisuri di dalam sarang tersebut” katanya lagi.

Warga SMK Mutiara bekerjasama dalam menyiapkan tapak sarang kelulut

Idea untuk memelihara lebah kelulut terhasil apabila pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim melihat banyak pokok-pokok yang berbunga yang ditanam dalam kawasan sekolah. Selain itu, projek ini mampu memberi satu bentuk pendidikan keusahawanan kepada guru dan murid sekolah ini selaras dengan hasrat Kemahiran Melalui Rekabentuk (KMR) dalam program Transformasi Sekolah (TS25).

“Pihak sekolah telah membuka peluang pelaburan kepada guru-guru SMK Mutiara yang ingin mencuba memelihara kelulut. Kita menawarkan harga setiap sarang sebanyak RM280 dan setakat ini ketiga-tiga sarang yang ditempah telah dibeli oleh 3 orang guru SMK Mutiara” tambah beliau lagi.

Salah seorang pelabur dalam pembelian sarang kelulut ini, Ustazah Siti Sarah berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam mengendalikan pemiliharaan kelulut tetapi sangat berminat dengan keistimewaan dan kelazatan madunya.

Selain itu, Cikgu Nurul Hidayah dan Cikgu Nurul Shazwani juga tidak mahu ketinggalan membuat pelaburan ke atas sarang-sarang kelulut. Mereka turut berharap agar kelulut ini akan dapat mengeluarkan hasil terbaik suatu masa nanti untuk dinikmati bersama.

Pengarah Projek, Encik Ramlan (kiri) dibantu oleh Encik Aspan (kanan)

Pengarah projek, Encik Ramlan Matusin berkata beliau dan rakan-rakan telah membantu membuat pemilihan lokasi-lokasi yang sesuai untuk peletakan sarang-sarang induk kelulut. Selain aspek keselamatan, aspek-aspek cuaca dan sumber makanan turut dipertimbangkan.

“Kami berusaha untuk menjadikan projek ini sebagai projek permulaan yang berjaya. Jika berjaya kami akan menyarankan agar lebih banyak sarang akan ditempatkan di kawasan sekolah. Warga sekolah tidak perlu risau kerana kelulut adalah sejenis lebah yang tidak berbisa dan tidak menyengat sesuka hati” ujarnya lagi.

Peletakan sarang-sarang lebah kelulut telah disempurnakan oleh ketiga-tiga guru berkenaan tepat jam 7.55 malam tadi. Acara bersejarah ini turut disaksikan oleh Encik Mohd Nizam Yasim, Ustaz Mohd Farihi Ab. Halim, Encik Roslan Ajak, Encik Aspan Ngadi dan Encik Samad bin Tokiran.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Kerjasama Ibu Bapa dan Guru Ceriakan SMK Mutiara

Sekolah yang ceria mampu meningkatkan rasa kepunyaan dan kebersamaan dalam kalangan ibu bapa, guru dan murid. Menyedari kepentingannya, PIBG dan guru-guru SMK Mutiara telah mengadakan 3 siri gotong royong untuk membersih dan menceriakan laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan perhentian bas dan pintu masuk ke SMK Mutiara.

Laluan sepanjang kira-kira 300 meter ini merupakan laluan utama murid-murid SMK Mutiara berulang alik ke sekolah. Sejak PKP mulai 18 Mac lalu, laluan ini sunyi dan tidak digunakan oleh murid-murid dan telah dipenuhi oleh rumput rampai.

Melalui inisiatif PIBG yang diilhamkan oleh YDP PIBG, Encik Ahmad Adha, ibu bapa dan guru telah bersama-sama menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit bagi membersih dan menceriakan laluan tersebut.

Antara inisiatif yang telah dibuat ialah membersih persekitaran dan mengecat pagar sepanjang laluan tersebut.

Laluan masuk kawasan sekolah SMK Mutiara bertambah ceria

Menurut Encik Jostelen Lamibai, ketua projek yang juga PK Kokurikulum SMK Mutiara, program gotong royong ini telah melibatkan seramai 20 guru dan ibubapa yang prihatin terhadap keperluan murid-murid di sekolah ini.

“Sepanjang 3 siri gotong royong yang bermula pada 20 Jun hingga 11 Julai, kami telah bersama-sama berusaha untuk memastikan keselamatan dan keselesaan murid apabila operasi sekolah dibuka sepenuhnya secara berperingkat”, katanya.

“Kami juga telah bersetuju untuk memilih warna-warna bendera Wilayah untuk pagar tersebut bagi meningkatkan kesedaran murid-murid terhadap warna-warna yang menjadi lambang negeri ini” tambahnya lagi.

Saling bekerjasama menceriakan sekolah

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang turut serta dalam program gotong royong ini berasa sangat gembira dengan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh ibubapa dan guru-guru.

“Kita faham kekangan masa yang dihadapi oleh ibubapa untuk menyertai program gotong royong terutamanya yang melibatkan hujung minggu. Saya berharap agar lebih ramai lagi ibu bapa dan guru dapat menyumbang masa dan tenaga untuk kepentingan murid-murid” ujar beliau.

Selain itu, PIBG SMK Mutiara turut merancang 3 siri gotong royong lagi untuk tahun ini melibatkan aktiviti membina arca MUTIARA, menebang pokok-pokok tua dalam kawasan sekolah dan mengecat pemegang tangga. Beliau juga berharap agar lebih ramai ibubapa dapat turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang seterusnya.

Menurut beliau lagi, kerjasama yang diharapkan adalah mengikut kesediaan dan keupayaan ibu bapa. Konsep kesukarelaan adalah teras kepada semua aktiviti PIBG yang ajan dianjurkan dari semasa ke semasa.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Terima kasih atas sokongan yang menjayakan program gotong-royong SMK Mutiara



Program Solidariti Jurulatih Pusat Kokurikulum W.P. Labuan

Labuan – 10 hingga 12 julai 2020 yang lepas, seramai 17 orang jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri W.P. Labuan yang diketuai oleh Encik Samsul bin Mandisin dan Encik Roziman bin Sabtu selaku Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid ( Pusat Kokurikulum ) telah mengadakan satu program yang dinamakan Program Solidariti Jurulatih ke Pusat Kokurikulum Negeri Sabah yang terletak di Kg Malangang, Kiulu, Tamparuli.

Program solidariti ini adalah bertujuan untuk membantu Pusat Kokurikulum Negeri Sabah yang telah dilanda banjir besar pada 27 jun 2020. Selain itu, program ini juga adalah merupakan program untuk menunjukkan semangat persaudaraan dalam kalangan jurulatih Pusat Kokurikulum seluruh malaysia khususnya semangat bantu-membantu yang telah diterapkan kepada semua jurulatih Pusat Kokurikulum. Sempena program ini, aktiviti gotong-royong telah dilaksanakan untuk membersihkan beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat banjir tersebut.

Jurulatih telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan telah diberikan tugas yang berkaitan untuk diselesaikan. Aktiviti gotong-royong dimulakan pada 11 julai 2020 bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi sesi pertama dan disambung pada sesi kedua bermula pada pukul 2.00 petang dan selesai pada pukul 4.30 petang.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri W.P. Labuan yang menyertai program pada kali ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua Pengetua dan Guru Besar yang memberikan pelepasan kepada jurulatih yang terlibat. Tidak lupa juga kepada pihak Jabatan Pendidikan W.P. Labuan yang telah memberikan kebenaran sehingga program solidariti ini telah dapat dilaksanakan. Semoga jasa baik semua akan mendapat balasan dari yang maha esa.

Secara keseluruhannya, program solidariti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan secara tidak langsung telah meningkatkan imej Jabatan Pendidikan W.P. Labuan ke seluruh negara khususnya dalam kalangan keluarga Pusat Kokurikulum.




SMK Mutiara Hasilkan Jalur Gemilang Guna Bahan Kitar Semula

Labuan, 13 Julai 2020 – Sempena menyambut bulan kemerdekaan yang bakal menjelang, SMK Mutiara telah menghasilkan projek Jalur Gemilang daripada bahan kitar semula yang berukuran 16 kaki panjang dan 8 kaki lebar. Bendera tersebut telah dipamerkan di foyer Blok B SMK Mutiara bermula 14 Julai.

Menurut pengarah projek, Cikgu Nurazimah binti Anuar, projek ini mengambil masa empat hari untuk disiapkan dengan menggunakan 4 jenis bahan kitar semula. Bahan-bahan yang digunakan termasuklah penutup botol, sarang telur, botol plastik dan ranting kayu.

“Kami telah menggunakan kira-kira 3000 penutup botol, 100 sarang telur dan 150 botol plastik dalam menyiapkan projek ini. Seramai 50 guru dan ibubapa turut serta dalam projek ini. Semua bahan kitar semula ini adalah sumbangan daripada guru-guru dan ibubapa” Cikgu Nurazimah

Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim telah melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh guru guru dan PIBG SMK Mutiara dalam menzahirkan rasa kecintaan dan keprihatinan kepada lambang negara ini selaras dengan slogan bulan kemerdekaan kali ke-63 iaitu Malaysia Prihatin.

“Penghasilan bendera dari bahan kitar semula ini bukan hanya dari aspek fizikalnya sahaja tetapi ia perlu dilihat sebagai sebuah karya seni. Bermula dari aspek perancangan sehingga pelaksanaan, semuanya telah memberi gambaran dan menifestasi daya kreativiti, kesungguhan, keazaman dan keprihatinan guru-guru SMK Mutiara dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Saya telah dapat melihat guru-guru dan ibubapa memberi kerjasama yang sangat padu dalam menjayakan projek ini”. Encik Mohd Nizam

Guru dan Ibu Bapa berganding bahu menyiapkan projek Jalur Gemilang SMK Mutiara

Salah seorang bapa murid yang terlibat dalam penghasilan bendera kebangsaan ini, Encik Alias bin Asri berkata ini adalah pengalaman pertama beliau menghasilkan sesuatu karya seni dalam saiz yang besar. Pengalaman yang diperolehi banyak mengajar beliau erti kesabaran, ketekunan dan kesungguhan dalam setiap pekerjaan.

Seorang lagi bapa yang terlibat, Encik Rajab menyifatkan projek seperti ini telah memberi peluang kepada beliau untuk memberi sumbangan kepada sekolah.

“Pihak sekolah telah mendidik anak saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dan inilah ketikanya saya pula menyumbangkan kepada sekolah” katanya.

Kepingan terakhir projek ini telah disempurnakan oleh Cikgu Nurazimah Anuar selaku pengarah projek tepat jam 7.16 malam, 13 Julai 2020. Turut menyaksikan peletakan kepingan terakhir tersebut ialah Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Cikgu Siti Khadijah binti Razali dan Cikgu Lim Sok Ing.

Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang diketuai oleh Encik Asbola Amit telah datang untuk mendokumen Jalur Gemilang tersebut pagi tadi sebagai sebahagian daripada program sambutan kemerdekaan tahun ini dengan tema Malaysiaku Prihatin.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Dari Kiri : Encik Azman, Encik Roslan, Encik Asbola, Encik Mohd Nizam dan Encik Roziman membuat lawatan dokumentasi sempena sambutan bulan kemerdekaan
Ibu bapa yang hadir bangga dan gembira dengan sumbangan yang diberikan kepada pihak sekolah



PPKI SMK Mutiara Bakal Miliki Bangunan Sendiri

Labuan – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Mutiara bakal memiliki bangunan sendiri tidak lama lagi. Demikian seperti yang dimaklumkan hasil lawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Yasmin binti Hussain pada 30 Jun yang lalu.

Lawatan tapak bangunan baharu tersebut turut disertai oleh Jurutera Kanan JKR Labuan, Encik Henry Liew. Beliau turut memberi taklimat pelan lantai pelaksanaan projek yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak JKR.

Bangunan tersebut dijangka akan memiliki 10 bilik darjah serta kemudahan-kemudahan lain termasuk bilik dobi, ruang memasak dan tempat letak kereta.

Hasil daripada maklumbalas taklimat tersebut, beberapa cadangan penambahbaikan terhadap pelan sedia ada dibuat dengan mengambilkira keperluan murid-murid PPKI. Selain itu laluan berbumbung dari bangunan baharu ke kantin sekolah turut diusulkan untuk memberi keselesaan kepada murid-murid PPKI kelak.

“Pelan lantai bangunan akan dimuktamadkan secepat mungkin bagi membolehkan projek dapat dilaksanakan secepat mungkin” kata Encik Henry.

Encik Henry Liew sedang memberi penerangan kepada Datuk Dr. Yasmin

Dalam sesi lawatan itu juga, Datuk Dr. Yasmin turut meninjau kemudahan sedia ada di bangunan yang menempatkan murid-murid PPKI. Ini termasuklah satu unit kuaters guru yang digunakan sebagai bilik PdP bagi kemahiran memasak dan mendobi.

“Kita akan berusaha untuk mempercepatkan pembinaan bangunan baharu namun perancangan mesti teliti. Pihak kami telah mengenalpasti beberapa aspek yang perlu di nilai semula berdasarkan pengalaman-pengalaman di negeri lain. Kita yakin bangunan baharu nanti akan memberi lebih banyak kemudahan dan keselesaan murid-murid PPKI pada masa akan datang” ujar Dr. Yasmin.

Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim berkata pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas kunjungan Bahagian Pendidikan Khas yang telah diketuai sendiri oleh pengarah bahagian.

“Saya berharap agar bangunan baharu ini akan menjadi kenyataan dalam jangkamasa terdekat. Ini adalah kerana keadaan bilik-bilik PdP sekarang ini kurang kondusif kerana menumpang di lokasi-lokasi mengikut kekosongan. Hal ini telah memberi impak yang kurang baik kepada 55 orang murid PPKI dari aspek kemenjadian murid” katanya lagi.

Tandatangan lawatan Kerja Rasmi oleh Datuk Dr Yasmin ke PPKI SMK Mutiara, diperhatikan oleh Encik Mohd Nizam

Pihak sekolah turut menyampaikan empat biji buah naga sebagai cenderamata kenangan kepada Datuk Dr. Yasmin. Buah naga tersebut adalah hasil daripada program perkebunan murid-murid PPKI sejak sekian lama. Terdapat kira-kira 105 pokok buah naga di persekitaran sekolah.

Turut serta dalam sesi lawatan tersebut ialah Pemangku Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Encik Yusup bin Mohamad dan KPP Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, Puan Noraini binti Sabudin.

Berita Oleh : SMK Mutiara