Fakulti Sains Dan Sumber Alam UMS Kongsi Ilmu Dengan Murid SK Pekan Satu

Gambar kenang-kenangan rombongan mahasiswa Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS bersama murid-murid tahun 6 serta guru-guru tahun 6 SKPS.

Labuan, 19 November 2019- Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi telah menerima rombongan lawatan dari pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu, Selasa lalu. Rombongan seramai 24 orang yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Dr Chee Fuei Pien itu berada di SKPS bermula jam 9 pagi sehingga 11.30 pagi.

Menurut Dr Chee Fuei Pien, lawatan ini merupakan lawatan bersifat muhibah untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan dalam kalangan pelajar UMS dan guru-guru SKPS di samping dapat meningkatkan lagi ilmu khususnya mengenai ilmu pendidikan dalam kalangan mahasiswa.

Ketibaan rombongan lawatan ini disambut meriah oleh Guru Besar SKPS, Anita Syhamini A/P S. Azman bersama Pegawai Perhubungan Sekolah ASP Amy Dasni Danial. Turut menyambut mahasiswa UMS itu ialah Penolong-penolong Kanan SKPS, Zailiana Zainol (PK Pentadbiran), Normah Rahimi (PK HEM), Esmit Amat (PK Kokurikulum) dan 23 guru tahun 6 sebagai tanda sambutan kasih muhibah yang tidak terhingga kepada rombongan pelawat.

Dalam berkongsi kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dan sinonim dengan dunia pendidikan yang bersifat global, rombongan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) juga disajikan dengan beberapa aktiviti seperti melawat kawasan sekolah SKPS dan galeri seni yang dinamakan sebagai The Re-Born Of SKPS Art Gallery.

Mereka turut menyaksikan pameran seni seperti hasil cantingan batik MBK (Murid Berkeperluan Khas) dan kertas lukisan serta hasil kreativiti MBK SK Pekan Satu yang dilaksanakna bersama guru serta corak yang menarik pada baju dan kasut dan pelbagai lagi yang ada di galeri seni SKPS.

Di samping itu, mahasiswa bukan sahaja berkesempatan beramah mesra dengan murid-murid SK Pekan Satu malah sempat menyajikan motivasi kepada 150 murid-murid tahun 6 yang diadakan di Dewan C.U.N SK Pekan Satu. Jelajah muhibah ini dapat membantu percambahan dan kolaborasi ilmu pengetahuan dalam kalangan guru-guru serta mahasiswa khususnya yang berteraskan kepada pengajaran dan pembelajaran.

Wakil murid bersemangat bersoal jawab dengan pelajar UMS semasa sesi motivasi dijalankan

Anita Shyamini A/P S. Azman berharap agar lawatan muhibah seperti ini dapat memupuk ikatan silaturrahim akan terus terjalin dan berkesinambungan sebagai salah satu wadah kemenjadian murid pada masa hadapan sesuai dengan kelestarian akademik yang lebih berkualiti. Beliau juga berharap agar guru-guru di sekolah ini dapat menelusuri dan mengaplikasikan kaedah baru dalam usaha mendidik murid-murid serta mampu mengharmonikan sikap positif agar sebati dalam kehidupan seharian dalam arus dunia pendidikan yang semakin mencabar.

Akhir sekali, penyelaras program Nor Atirah Ahmad mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SKPS kerana sudi menerima jelajah muhibah ini. “Kami amat teruja kerana diberi peluang untuk membantu guru-guru menyusun atur bilik Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang kini dalam proses dinaiktaraf,” tambah beliau lagi.

Alumni SKPS Muhammad Aqif Bashah Mohd Zalfa (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada wakil murid bagi menghias bilik PSS sambil diperhatikan oleh Nor Atirah Ahmad (kanan) dan Dr Chee Fuei Pien (dua kiri).
Puan Anita Shyamini A/P S. Azman (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Chee Fuei Pien sambil diperhatikan oleh Zailiana (kiri), ASP Amy Dasni dan Nor Atirah Ahmad (kanan).

Loading

image_pdfimage_print