Fakulti Sains Dan Sumber Alam UMS Kongsi Ilmu Dengan Murid SK Pekan Satu
Labuan, 19 November
2019- Sekolah Kebangsaan Pekan
Satu (SKPS) Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi telah menerima rombongan
lawatan dari pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu, Selasa
lalu. Rombongan seramai 24 orang yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti
Sains dan Sumber Alam, Dr Chee Fuei Pien itu berada di SKPS bermula jam 9 pagi
sehingga 11.30 pagi.
Menurut Dr Chee Fuei Pien, lawatan ini
merupakan lawatan bersifat muhibah untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan
dalam kalangan pelajar UMS dan guru-guru SKPS di samping dapat meningkatkan
lagi ilmu khususnya mengenai ilmu pendidikan dalam kalangan mahasiswa.
Ketibaan rombongan lawatan ini disambut meriah
oleh Guru Besar SKPS, Anita Syhamini A/P S. Azman bersama Pegawai Perhubungan
Sekolah ASP Amy Dasni Danial. Turut menyambut mahasiswa UMS itu ialah
Penolong-penolong Kanan SKPS, Zailiana Zainol (PK Pentadbiran), Normah Rahimi
(PK HEM), Esmit Amat (PK Kokurikulum) dan 23 guru tahun 6 sebagai tanda
sambutan kasih muhibah yang tidak terhingga kepada rombongan pelawat.
Dalam berkongsi kaedah serta teknik pengajaran
dan pembelajaran yang lebih efektif dan sinonim dengan dunia pendidikan yang
bersifat global, rombongan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) juga disajikan
dengan beberapa aktiviti seperti melawat kawasan sekolah SKPS dan galeri seni
yang dinamakan sebagai The Re-Born Of SKPS Art Gallery.
Mereka turut menyaksikan pameran seni seperti
hasil cantingan batik MBK (Murid Berkeperluan Khas) dan kertas lukisan serta
hasil kreativiti MBK SK Pekan Satu yang dilaksanakna bersama guru serta corak
yang menarik pada baju dan kasut dan pelbagai lagi yang ada di galeri seni
SKPS.
Di samping itu, mahasiswa bukan sahaja berkesempatan beramah mesra dengan murid-murid SK Pekan Satu malah sempat menyajikan motivasi kepada 150 murid-murid tahun 6 yang diadakan di Dewan C.U.N SK Pekan Satu. Jelajah muhibah ini dapat membantu percambahan dan kolaborasi ilmu pengetahuan dalam kalangan guru-guru serta mahasiswa khususnya yang berteraskan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Anita Shyamini A/P S. Azman berharap agar
lawatan muhibah seperti ini dapat memupuk ikatan silaturrahim akan terus
terjalin dan berkesinambungan sebagai salah satu wadah kemenjadian murid pada
masa hadapan sesuai dengan kelestarian akademik yang lebih berkualiti. Beliau
juga berharap agar guru-guru di sekolah ini dapat menelusuri dan
mengaplikasikan kaedah baru dalam usaha mendidik murid-murid serta mampu
mengharmonikan sikap positif agar sebati dalam kehidupan seharian dalam arus
dunia pendidikan yang semakin mencabar.
Akhir sekali, penyelaras program Nor Atirah Ahmad mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SKPS kerana sudi menerima jelajah muhibah ini. “Kami amat teruja kerana diberi peluang untuk membantu guru-guru menyusun atur bilik Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang kini dalam proses dinaiktaraf,” tambah beliau lagi.