Kursus Kepimpinan Kokurikulum Lahirkan Pemimpin Masa Hadapan
Labuan, 13 Mei (Jumaat) – Unit Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum kali ke-6 bagi tahun 2022. Program ini berlangsung secara bersemuka di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun.
Seramai 89 orang murid terlibat dalam program ini yang terdiri daripada AJK Tertinggi kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta persatuan badan beruniform.
Objektif program ini adalah untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada murid yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan untuk mengurus sesuatu organisasi yang mereka ceburi di sekolah.
Program yang bermula pada jam 2.00 petang, dibahagikan kepada dua slot iaitu Slot 1: Tugas-tugas dan Tanggungjawab AJK Induk yang disampaikan oleh Puan Rosenani Farera Michael selaku Setiausaha Kokurikulum SMKTPB.
Manakala Slot 2 : Program “Team Building” yang dikelolakan oleh Unit Kokurikulum. Program ini diharap dapat membantu guru penasihat dalam mengurus aktiviti kokurikulum di samping melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan sahaja semasa berada di sekolah bahkan dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri yang juga dalam ucapannya mengharapkan agar murid-murid yang telah dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya di dalam Kelab dan Persatuan.
Tegasnya, kecemerlangan diri seseorang murid dapat dilihat menerusi pelibatan dalam aktiviti kokurikulum yang akan menyumbang kepada aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan kecemerlangan akademik. Puan Pengetua turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan murid-murid yang telah diberikan kepercayaan untuk menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan.
Sejurus tamat ucapan Puan Pengetua, majlis penyampaian hadiah bagi aktiviti “Team Building” diadakan. Tempat pertama dimenangi oleh kumpulan H2O, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Psycho manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Ruby.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama dengan Puan Pengetua, Penolong Kanan Kokurikulum, AJK Induk Unit Kokurikulum dan murid-murid yang terlibat dengan kursus kepimpinan ini.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun