Pengetua-pengetua Labuan Hadiri Persidangan Kebangsaan
Labuan, 3 Nov – Seramai 10 Pengetua sekolah di Labuan telah menghadiri Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia kali-60 yang diadakan di salah sebuah hotel di Langkawi dari 31 Oktober hingga 3 November 2022.
Persidangan tahunan anjuran Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Kebangsaan dengan kerjasama MPSM Kedah kali ini telah berjaya menghimpunkan kira-kira seramai 680 peserta dari seluruh negara.
Menurut YDP MPSM Labuan, Encik Ismail Abdullah, persidangan ini bertujuan untuk menyalurkan informasi terkini berkaitan dasar-dasar pendidikan negara selain berkongsi amalan-amalan terbaik dari seluruh negara.
“Para peserta juga berpeluang untuk menjalinkan kerjasama antara sekolah-sekolah seluruh negara bagi meningkatkan kualiti sekolah dan kemenjadian murid”. katanya lagi yang juga merupakan Pengetua SMK Pantai.
Perasmian persidangan yang bertemakan “Kepimpinan Pendidikan Mendepani Normal Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Pkharuddin bin Ghazali.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar pemimpin-pemimpin sekolah sentiasa meningkatkan kemahiran dalam menangani dunia pendidikan yang dinamik.
“Kita perlu mengubah paradigma ‘Command and Control’ kepada paradigma ‘Trust and Inspire’ dengan menyentuh hati guru-guru dan murid-murid”
Beliau turut menekankan kepentingan semua guru kembali kepada tunjang pembelajaran iaitu membina adab dan nilai yang baik dalam kalangan murid.
“Apabila anak-anak kita baik barulah mudah bagi kita mendidik mereka menjadi cerdik dengan penerapan elemen-elemen intelektual” tambahnya lagi.
Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim menyifatkan penyertaan kali pertamanya di dalam persidangan ini adalah sangat berguna untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sebagai seorang pemimpin di sekolah.
“Saya berpeluang mendengar secara langsung perkongsian hala tuju dan prinsip kerja oleh KPPM, berkongsi pandangan, idea dan pengalaman bersama Pengetua-pengetua lain dalam membangunkan potensi sekolah ke arah yang lebih cemerlang” tambahnya lagi.
Turut serta dalam persidangan tersebut ialah NYDP MPSM Labuan, Puan Hajjah Siti Muslihah binti Leeudin dan Setiausaha MPSM Labuan, Puan Mary Anita Abah.