Kolokium Kajian Tindakan Junior 2024: Pemenang-Pemenang Yang Menginspirasikan

Labuan, 24 November 2024 – Kolokium Kajian Tindakan Junior Peringkat Negeri 2024 yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan WP Labuan pada 23 dan 24 November 2024 telah berlangsung dengan penuh meriah. Program yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) bersama Jabatan Pendidikan WP Labuan ini bertujuan melahirkan murid sebagai agen perubahan dalam pembelajaran mereka, dengan tema “Transformasi Pembelajaran Melalui Kajian Tindakan: Murid Sebagai Peneraju Perubahan, Kemiskinan Bukan Penghalang Kejayaan.”

Sebanyak 150 murid dari pelbagai sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil bahagian dalam kolokium ini. Mereka menggunakan teknik kajian tindakan 12 langkah yang dibangunkan oleh Puan Suriani Oxley, SISC+ dari Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan. Dalam kolokium ini, murid-murid tidak hanya didedahkan dengan proses kajian tindakan, tetapi juga diberi peluang untuk mempamerkan hasil kajian mereka melalui pembentangan dan pameran.

Berikut adalah senarai pemenang bagi Kolokium Kajian Tindakan Junior 2024:

Kajian Tindakan Terbaik Sekolah Rendah:

LUboq JR – SK Lubok Temiang

Bedaun Starz – SK Sungai Bedaun

Sunan Lumya – SK Pantai

Kajian Tindakan Terbaik Sekolah Menengah:

Sinar – SMK Rancha-Rancha

Cendekia Hope – SM Sains Labuan

Atlas Pincanator – SMK Pantai

Pembentang Kajian Tindakan Terbaik Sekolah Rendah:

My Lever 321 – SK Pekan Dua

Pembentang Kajian Tindakan Terbaik Sekolah Menengah:

Al-Insyirah – SMA MAIWP Labuan

Slaid Pembentangan Kajian Tindakan Terbaik Sekolah Rendah:

The Sparkling Diamonds – SK Sungai Lada

Slaid Pembentangan Kajian Tindakan Terbaik Sekolah Menengah:

Alchemy Pioneers – SM Sains Labuan

Intervensi Kajian Tindakan Luwes Sekolah Rendah:

Bedaun Genius (WDW Card) – SK Sungai Bedaun

Intervensi Kajian Tindakan Luwes Sekolah Menengah:

Jeqaima – SM St Anne

Kolokium ini bukan sahaja menyediakan platform untuk murid berkongsi hasil kajian mereka tetapi juga memberi mereka peluang untuk membina kemahiran dalam pembentangan, penyelesaian masalah, dan pemikiran kritis. Hadiah dan penghargaan kepada para pemenang disampaikan oleh YBhg Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAWIP, yang turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas pencapaian mereka.

Dengan sokongan berterusan dari MAWIP dan pelbagai pihak, kolokium ini memberi peluang kepada murid untuk mengatasi cabaran pembelajaran dan memperkukuh keyakinan diri, menjadikan mereka bukan sahaja pelajar cemerlang, tetapi juga pemimpin masa depan yang berdaya saing.