
Labuan, 28 Februari 2025 – Dewan SMK Pantai menjadi saksi majlis penuh emosi dan kenangan manis bagi meraikan persaraan Puan Edora Binti Ellias dalam majlis bertemakan ‘Sanjungan Budi Lambaian Kasih’. Acara yang berlangsung dari pukul 7:00 hingga 9:00 pagi ini disusun dengan rapi bagi menghargai jasa besar beliau sepanjang hampir 32 tahun mencurahkan bakti sebagai seorang pendidik.
31 Tahun, 10 Bulan Cemerlang dalam Dunia Pendidikan Puan Edora memulakan kerjaya sebagai guru di sekolah menengah dan menamatkan perkhidmatannya yang gemilang di SMK Pantai. Sepanjang tempoh perkhidmatan selama 31 tahun 10 bulan, beliau telah berkhidmat di tiga buah sekolah menengah. Peranan penting yang pernah disandang oleh beliau termasuk Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Penyelaras Middle Years Programme (IB), dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).
Dalam ucapan penghargaan oleh guru-guru dan pelajar, ramai yang menzahirkan rasa kagum terhadap dedikasi Puan Edora serta kesungguhan beliau dalam memastikan kualiti pendidikan terus terpelihara. Pengalaman dan sumbangannya kepada bidang pendidikan disifatkan sebagai ‘permata’ yang sukar dicari ganti.
Pesanan Terakhir yang Menyentuh Hati Sebelum mengakhiri tugasnya sebagai seorang pendidik, Puan Edora sempat menitipkan kata-kata pesanan yang penuh makna kepada warga SMK Pantai. Beliau menasihati agar sentiasa menghormati ibu bapa, menjaga adab di rumah dan di sekolah, serta menggalakkan guru-guru muda agar terus cekal dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa. “Kejayaan murid adalah kejayaan seorang guru,” ujar beliau dengan nada penuh rasa sayang dan harapan.
Majlis berakhir dengan persembahan multimedia yang memaparkan perjalanan karier Puan Edora, disusuli ucapan perpisahan yang menggugah jiwa daripada rakan-rakan seperjuangan. Suasana penuh syahdu menyelubungi dewan ketika deklamasi sajak daripada tuan pengetua ditayangkan.
Semoga persaraan ini membawa kebahagiaan dan ketenangan buat Puan Edora Binti Ellias. Jasa dan bakti beliau kepada dunia pendidikan akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi pendidik masa hadapan.
Selamat bersara, guru tercinta,
Moga bahagia sepanjang masa,
Bersama keluarga tenang dan damai,
Ingatan mesra sentiasa disemai,
Selamat bersara, Puan Edora!



