Amanat Pengurusan: Semarakkan Semangat Peserta MQSS WP Labuan ke peringkat kebangsaan

Labuan, 10 Julai 2025 – Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran menjalankan tugas Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Yahya Ahmad Puteh, telah menyampaikan amanat khas kepada 14 peserta Mahrajan Al Quran Sekolah-sekolah (MQSS) yang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke Peringkat Kebangsaan.



Majlis berkenaan telah diadakan di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) sempena persiapan akhir sebelum para peserta berlepas ke pertandingan yang akan berlangsung di Politeknik Merlimau, Melaka, bermula 11 hingga 13 Julai 2025.
Dalam ucapannya, Tuan Yahya menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap komitmen serta kesungguhan semua peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah. Beliau turut menekankan bahawa MQSS bukan sekadar suatu pertandingan, malah merupakan wadah penting dalam memperkasakan syiar Islam serta memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda.
Sebanyak enam kategori penyertaan daripada kontingen WP Labuan iaitu: • Tilawah Al-Quran (Sekolah Rendah dan Menengah), • Hafazan Al-Quran (Sekolah Rendah dan Menengah), • Qiraat Sab’i (Menengah Rendah dan Menengah Atas).



Majlis turut diserikan dengan penyerahan t-shirt rasmi kontinjen kepada semua peserta sebagai simbol sokongan dan kesatuan dalam membawa nama Labuan ke persada kebangsaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam (SPI) ustazah Kamariah Salim, Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai SPI ustaz Syahnon Othman, jurulatih guru pengiring dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membimbing serta memberi dorongan kepada para peserta.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan mengharapkan agar para peserta dapat menampilkan prestasi terbaik serta membawa pulang kejayaan yang membanggakan.





