Kem Mumtaz Lughawi 2025 Perkasa Penguasaan Bahasa Arab dalam Kalangan Murid KAA SSN SMK Mutiara

Labuan, 12 Julai 2025 – SSN SMK Mutiara sekali lagi mencatat sejarah dengan penganjuran Kem Mumtaz Lughawi 2025, sebuah program intensif yang dirangka khas untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan 188 murid Kelas Aliran Agama (KAA) dari Tingkatan 1 hingga 5.

Bertempat di 11 tempat sekitar SSN SMK Mutiara antaranya ialah Dewan Semarak, Surau Al-Marjan, Makmal Komputer, Bilik Sains Sukan, Bilik Kemahiran al-Quran, Makmal APD, Makmal Bahasa, Dewan Arena dan Kantin Sekolah , program yang berlangsung selama sehari ini menggabungkan pendekatan interaktif, rohani dan akademik dalam membina kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Arab. Di samping itu, program ini turut menekankan aspek pembentukan sahsiah, kepimpinan dan kecintaan terhadap ilmu agama dalam kalangan murid.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua PIBG SMK Mutiara, Encik Kifli Ag Anak. Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa bertuah kerana diberi kepercayaan untuk merasmikan majlis yang penuh berkat ini. Beliau turut menasihati para murid agar mengamalkan segala ilmu dan nilai yang diperoleh sepanjang program ini, serta menjadikan Bahasa Arab sebagai alat pemerkasaan diri dan keimanan.

 
Pelbagai pengisian menarik telah dijalankan sepanjang program, antaranya Mahattoh Zakiyyah yang memberi suntikan motivasi dan nilai kerohanian, serta perkongsian Inovasi MUJUSHI, Kit Fifgure dan BILAL yang menampilkan kreativiti dan penguasaan Bahasa Arab murid secara kompetitif. Program ini turut menyelitkan aktiviti berkumpulan, solat berjemaah, makan beramai-ramai, dan majlis penghargaan.

Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Roziah Abdul Rahman, dalam ucapan alu-aluan semasa majlis penutupan, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Penyelaras Kelas Aliran Agama serta semua guru Panitia Bahasa Arab atas penganjuran program yang berjaya ini. Beliau menzahirkan harapan agar program seumpama ini terus dilaksanakan bagi membina generasi pelajar yang bukan sahaja mahir berbahasa, tetapi juga berperibadi mulia dan berakhlak tinggi.

Turut hadir menyerikan majlis penutupan ialah Ustaz Mohd Fazli Syeikh Abdul Rahim, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Beliau menzahirkan rasa berpuas hati terhadap pelaksanaan program, khususnya apabila melihat kesungguhan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program berlangsung.

Sebahagian peserta program bergambar kenangan bersama bahan inovasi Kit Figure.