
LABUAN – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan program sekolah bitara SPM 2025 ‘Selangkah ke Menara Gading’ dengan sasaran kepada calon SPM 2025 seramai 99 orang. Program ini telah diadakan selama 4 hari iaitu bermula 29 Julai sehingga 01 Ogos 2025 bertempat di Dewan Sri Timbalai,Pusat Koreksional WP Labuan dan Bilik Mesyuarat, SMK Taman Perumahan Bedaun.
Terdapat beberapa objektif program ini dijalankan selama dua tahun berturut-turut. Antaranya ialah membantu murid dalam kaedah dan teknik menjawab soalan SPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Kimia.
Seterusnya,program ini diadakan agar dapat membina keyakinan diri kepada murid SPM 2025 bahawa mereka boleh mencapai kejayaan jika berusaha tanpa mengenal erti jemu dengan cara menanamkan sikap positif, meningkatkan keyakinan diri, bekerjasama dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran serta berwawasan. Di samping itu, objektif utama program ini dilaksanakan agar murid mampu mencapai keputusan yang lebih baik dalam SPM 2025 yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan membantu meningkatkan prestasi serta penarafan sekolah khususnya dalam Standard Kualiti pendidikan Malaysia (SKPM). Malah,program ini juga dirangka untuk meningkatkan motivasi murid SPM 2025 agar sentiasa bersemangat tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.
Terdapat pelbagai slot ataupun bengkel teknik menjawab telah dilaksanakan sepanjang 4 hari program tersebut berlangsung.Sepanjang program ini berlangsung, banyak perkongsian teknik menjawab soalan yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah jemputan bagi mata pelajaran yang terlibat. Perkongsian Teknik menjawab SPM yang telah diberikan oleh para penceramah telah membantu murid untuk menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan permasalahan yang berlegar di minda murid untuk mengetahui isi dan markah yang mencukupi dalam peperiksaan nanti. Teknik yang dikongsi ini juga akan membuka mata serta menggalakkan murid untuk memberikan isi dan jawapan yang cukup serta relevan dengan skema pemarkahan Setiap slot bengkel teknik menjawab ini juga telah diisi dengan memberikan sijil penghargaan kepada peserta yang paling aktif dalam bengkel tersebut. Selain itu, unit bimbingan kaunseling sekolah juga telah mengambil peluang dengan mengadakan slot motivasi sebagai penyuntik semangat kepada smua calon SPM 2025 dengan menjemput penceramah dari Kota Kinabalu iaitu En Suif Sainan.
Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan selaku Penolong Pengarah Unit Sains Sosial, Sektor Pembelajaran, Encik Mohd Reno bin Mohd Idris, turut hadir Penolong Komisioner Penjara Pusat Koreksional Labuan, tuan Tajudin bin Tunggal, dan Naib Yang Dipertua PIBG sekolah, encik Halmi bin Hussien. Setelah berakhirnya program ini,pihak sekolah khususnya akan terus membantu calon SPM 2025 tanpa henti untuk sama-sama memperolehi keputusan yang cemerlang sekali gus meningkatkan pencapaian SPM sekolah.
Sumber Berita : SMK Taman Perumahan Bedaun








