Bengkel Pembentangan Draf Pelan Strategik Pendidikan W.P. Labuan 2025-2030

KOTA KINABALU, 1 Hingga 3 Oktober 2025 — Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (W.P.) Labuan telah berjaya menganjurkan Bengkel Pembentangan Draf Pelan Strategik Jabatan Pendidikan W.P Labuan 2025-2030 yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 01 hingga 03 Oktober 2025. Bengkel penting ini diadakan di The Klagan Hotel, Kota Kinabalu, Sabah sebagai platform utama untuk memuktamadkan rangka kerja strategik pendidikan wilayah tersebut untuk tempoh lima tahun akan datang.

Bengkel ini dipengerusikan oleh Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan menandakan komitmen jabatan dalam menetapkan hala tuju yang jelas dan berkesan bagi pembangunan pendidikan di Labuan. Kehadiran beliau membuktikan keseriusan pihak pengurusan tertinggi dalam memastikan pelan strategik yang dirangka adalah holistik, relevan, dan dapat memberi impak positif kepada seluruh warga pendidikan W.P. Labuan.

Pelan Strategik 2025-2030 ini dijangka akan menjadi dokumen panduan utama dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif pendidikan selaras dengan visi dan aspirasi pendidikan kebangsaan, khususnya dalam konteks W.P. Labuan. Ia merangkumi aspek-aspek kritikal seperti peningkatan pencapaian murid, pembangunan profesionalisme guru, pemerkasaan infrastruktur digital dan fizikal, serta pengukuhan jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan.

Sesi pembentangan draf pelan strategik telah memberi ruang kepada perbincangan mendalam mengenai pelan tindakan, petunjuk prestasi utama (KPI), dan peruntukan sumber yang diperlukan. Peranan Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan W.P Labuan sebagai Urusetia bengkel amatlah penting dalam memastikan kelancaran sesi dan pengumpulan maklum balas secara tersusun.

Loading

image_pdfimage_print