KEM FITRAH KASIH SEKOLAH RENDAH 2025: Menyemai Nilai Ibadah dan Jati Diri Murid

Labuan, 4 Oktober 2025 – Kem Fitrah Kasih Sekolah Rendah telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Masjid Jamek An Nur, WP Labuan, melibatkan penyertaan seramai 62 murid Tahun Enam dari tiga buah sekolah bantuan kerajaan: SK St Anne, SJKC Chi Wen, dan SJKC Chung Hwa.
 
Program ini dikelolakan oleh SK St Anne dengan kerjasama jawatankuasa dari sekolah-sekolah terlibat serta sokongan tiga jurulatih dakwah negeri iaitu ustazah Nur Salma Syafikah Sahaluddin dan ustazah Nur Nazihah Hanapi daripada SMK Lajau manakala Ustazah Norlinda Suhut daripada SK Sungai Bedaun.
 
Antara pengisian utama Kem Fitrah Kasih SR ialah slot pemantapan solat yang dikendalikan oleh Ustaz Syahnon Othman serta latihan tasmik bacaan solat secara berkumpulan yang memberi ruang kepada murid untuk memperbaiki bacaan dan memahami maksud solat dengan lebih mendalam.
 
Kem turut menampilkan slot kesedaran Salah Laku Gangguan Seksual yang disampaikan oleh ASP Dzulkiflee Emmanuel Abdullah dari Ibu Pejabat Polis WP Labuan yang bertujuan meningkatkan kefahaman murid terhadap isu keselamatan diri dan hak sebagai kanak-kanak.
 
Salah satu aktiviti yang mencuri perhatian ialah Flip Bottle Quiz di mana peserta diuji dengan soalan kuiz berkaitan solat secara interaktif sambil mengasah kemahiran berfikir dan semangat berpasukan. Aktiviti ini berjaya mencetuskan keterujaan dan suasana ceria sepanjang kem berlangsung.
 
Sebagai penghargaan, seramai 15 orang peserta terbaik telah dipilih menerima anugerah atas penglibatan aktif dan pencapaian cemerlang sepanjang program.
 
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim dan turut dihadiri oleh Guru Besar SK St Anne, Mr Julius Voon yang menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
 
Secara keseluruhannya, kem ini berjaya memupuk nilai sahsiah, memperkukuh amalan ibadah serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan murid pelbagai latar belakang selaras dengan aspirasi pendidikan berteraskan nilai Malaysia Madani.

Loading

image_pdfimage_print