Kem Pemantapan Adab dan Nilai WP Labuan: Bina Sahsiah Generasi Rabbani

LABUAN, 25 Oktober 2025 – Kem Pemantapan Adab dan Nilai Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melabuhkan tirainya petang tadi.
 
Program selama dua hari yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Negeri, Ganggarak ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan seperti Slot Ta’aruf dan Ice Breaking, Slot Kerohanian dan Tazkirah, Slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Slot Ceramah Kepimpinan Rabbani, Slot Riadah, serta Slot Khidmat Diri dan Gotong-Royong.
 
Seramai 189 orang peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah seluruh Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai kem berkenaan.
 
Program ini telah dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Lubuk Temiang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun, dengan bimbingan Ustaz Syahnon bin Othman, Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Seramai lapan orang jurulatih dakwah turut terlibat sebagai fasilitator dan pengendali slot aktiviti sepanjang kem ini berlangsung bagi memastikan setiap peserta mendapat pengalaman pembelajaran yang bermakna, menyeronokkan dan membina keperibadian unggul.
 
Penganjuran kem ini bertujuan membentuk karakter murid yang berakhlak mulia, berdisiplin tinggi serta beradab dalam setiap tindakan, selaras dengan matlamat melahirkan generasi rabbani yang berjiwa pemimpin serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
 
Majlis penutupan rasmi kem ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim. Turut hadir ialah Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Guru Besar SK Lubuk Temiang, Puan Faridah binti Abdul Rahman, serta Ketua Unit Pembangunan Asnaf MAIWP Labuan, Encik Mohd Syukur bin Norfini.
 
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAIWP atas kerjasama erat serta sumbangan yang diberikan dalam menjayakan penganjuran kem ini.
 
Kem ini diharap menjadi wadah terbaik dalam memperkukuh nilai-nilai murni, jati diri dan semangat kepimpinan dalam kalangan murid, seiring dengan aspirasi pendidikan Islam dalam membentuk insan berakhlak, beradab dan berperibadi unggul.

Loading

image_pdfimage_print