KARNIVAL BAKAT SUKAN GABUNGAN TADIKA SWASTA LABUAN 2025

Labuan, 25 Oktober 2025 – Karnival Bakat Sukan Gabungan Tadika Swasta Labuan 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah bermula seawal jam 7.00 pagi bertempat di Dewan Tadika Chung Hwa, Wilayah Persekutuan Labuan. Program tahunan ini menghimpunkan 15 buah tadika swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai platform mencungkil bakat dan potensi sukan dalam kalangan kanak-kanak tadika.

Dengan mengetengahkan tema “Bakat Cilik, Semangat Besar”,bertepatan dengan roh dan matlamat karnival ini. Tema ini turut mencerminkan bahawa walaupun anak-anak ini masih kecil tetapi semangat yang dipamerkan begitu luar biasa. Peserta cilik ini menunjukkan keberanian untuk mencuba, keyakinan untuk bersaing dan kesungguhan untuk  berjuang. Semua ini mencerminkan jiwa besar yang wajar kita banggakan.

Penganjuran karnival ini bertujuan memupuk semangat kesukanan, membina jati diri serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak tadika. Selain itu, program ini turut menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.

Acara pada tahun ini menampilkan dua  sukan utama iaitu Futsal dan Bola Jaring, yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada semua tadika yang mengambil bahagian. Suasana karnival diserikan dengan sorakan penuh semangat serta penyertaan aktif para peserta cilik yang menunjukkan kesungguhan dan bakat luar biasa.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pn. Noraini binti Sabudin, Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, yang hadir mewakili Pengarah Pendidikan W.P. Labuan. Dalam ucapan perasmian beliau, Pn. Noraini menegaskan bahawa penyertaan awal kanak-kanak dalam aktiviti kesukanan mampu membentuk generasi muda yang cergas, berdisiplin dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi pendidikan holistik yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jabatan Pendidikan W.P.Labuan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih  kepada pihak MAIWP atas Kerjasama erat serta sumbangan  yang diberikan dalam menjayakan penganjuran karnival ini.

Turut hadir memeriahkan karnival ialah Tn. Haji Sawal bin Haji Salleh, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan; En. Mohd. Radzaleih bin Matusin, Timbalan Pengurus Operasi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan (MAIWP); Pn. Noriha binti Yakub, Pengerusi Gabungan Tadika Swasta Labuan; Pn. Zaliha binti Mohd. Salleh, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan; serta Mr. Tan Tze Chuan, Pengerusi Tadika Chung Hwa.

Kehadiran ibu bapa dan penjaga murid-murid tadika turut menyerikan lagi suasana karnival, dengan sokongan padu dan sorakan semangat kepada anak-anak yang bertanding. Penglibatan mereka membuktikan komitmen tinggi komuniti terhadap usaha melahirkan generasi muda yang sihat, berkeyakinan dan berdaya saing.

 Keputusan Pertandingan

Pertandingan Futsal
🥇Tempat Pertama: Tadika Chi Hwa
🥈 Tempat Kedua: Tadika St. Anne
🥉 Tempat Ketiga: Tadika Chung Hwa

Pertandingan Bola Jaring
🥇 Tempat Pertama: Tadika Chung Hwa
🥈 Tempat Kedua: Tadika Manja Ria
🥉 Tempat Ketiga: Tadika St.Anne

Karnival ini dikendalikan oleh Pn. Zaleha binti Hassan, Penolong Pengarah, Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, dengan kerjasama erat daripada Guru Besar  Gabungan Tadika Swasta yang menjadi tulang belakang kejayaan karnival ini.

Kejayaan penganjuran Karnival Bakat Sukan  bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi wadah membina jati diri, menanam nilai hormat, dan memupuk semangat kesatuan dalam kalangan anak-anak. Apabila nilai-nilai ini disemai sejak usia muda, kita sebenarnya sedang membentuk generasi yang cergas tubuhnya, cerdas mindanya dan tinggi budi pekertinya.

Loading

image_pdfimage_print