Labuan, 20 Januari 2026 – Suasana sekolah sepanjang minggu lalu hingga hari ini cukup meriah dengan pelaksanaan Program Orientasi dan Suai Mesra yang melibatkan murid Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Program ini bertujuan membantu murid menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta membina keyakinan diri untuk menghadapi sesi persekolahan.
Bagi murid Tingkatan 1, program yang berlangsung dari 12 hingga 15 Januari diselaraskan oleh kaunselor Cikgu Suriati dengan sokongan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Sepanjang empat hari, murid diberi taklimat oleh ketua-ketua unit berkenaan seperti Unit Disiplin, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Unit Kesihatan dan Unit Kebajikan. Mereka turut mengikuti aktiviti pengukuhan diri seperti Ayat Berangkai, Jom Kenali Diri Saya dan Aku Serba Boleh, di samping lawatan ke bilik-bilik khas. Pertandingan melukis poster yang dijalankan menyerlahkan bakat seni murid, manakala slot motivasi oleh kaunselor Cikgu Aman memberi dorongan untuk lebih bersemangat menghadapi cabaran baharu.
Sementara itu, Program Orientasi Tingkatan 4 yang berlangsung pada 20 Januari dikendalikan oleh kaunselor Cikgu Dayang Nur Syamira dengan bantuan PRS. Murid Tingkatan 4 diberi taklimat oleh ketua-ketua unit seperti Unit Disiplin, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Pusat Sumber Sekolah (PSS), Psikometrik dan Baitulmal. Mereka turut menjalani aktiviti team-building “Teka dan Terokai Dunia Kerjaya” yang bertujuan membina semangat kerjasama serta memberi pendedahan awal tentang pilihan kerjaya.
Majlis penutupan bagi kedua-dua program ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pentadbir sekolah iaitu Pengetua En Ismail bin Abdullah, PK Pentadbiran Pn Wan Azmona binti Wan Mohamed, PK HEM En Wilter Jonathan Ebang dan PK Kokurikulum En Samsul bin Mandisin. Dalam ucapan penutup, para pentadbir menekankan kepentingan disiplin, semangat belajar serta penglibatan aktif dalam aktiviti sekolah sebagai asas kejayaan murid.
Dengan sokongan kaunselor, PRS dan pentadbir, program orientasi ini berjaya menyemarakkan semangat baharu dalam kalangan murid Tingkatan 1 dan Tingkatan 4, sekali gus memastikan mereka lebih bersedia untuk menempuh sesi persekolahan dengan penuh keyakinan.
SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan






![]()

