Program Israk dan Mikraj Semarakkan Rohani Warga SMK Pantai

Labuan, 23 Januari 2026 – Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai hari ini dipenuhi dengan suasana penuh penghayatan apabila Panitia Pendidikan Islam menganjurkan Program Israk dan Mikraj peringkat sekolah. Program yang berlangsung pada hari Jumaat ini dihadiri oleh semua warga sekolah beragama Islam dengan tujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan terhadap peristiwa agung dalam sejarah Islam.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Kahfi dan surah Yaasin yang dipimpin bersama oleh murid dan guru, sebelum diteruskan dengan ceramah utama yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Lukman Arif. Dalam ceramahnya, beliau mengupas secara mendalam hikmah dan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj, serta mengaitkannya dengan kehidupan seharian pelajar agar lebih berdisiplin dan berakhlak mulia.

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Ustaz Lukman, memberi peluang kepada murid untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan lanjut. Murid yang berani tampil bertanya turut menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan.

Sebagai tanda terima kasih, Pengetua En Ismail bin Abdullah menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah. Majlis kemudian diteruskan dengan sesi fotografi bersama guru, murid dan penceramah sebagai kenangan manis.

Program Israk dan Mikraj ini bukan sahaja memberi ilmu dan penghayatan kepada warga sekolah, malah turut menyemarakkan semangat rohani dalam kalangan murid untuk terus istiqamah dalam menuntut ilmu dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan

Loading

image_pdfimage_print