SMK Pantai WP Labuan, 5 Februari 2026 – Kejohanan Sukantara Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai telah berlangsung dengan penuh meriah selama dua hari, iaitu pada 4 dan 5 Februari 2026. Pertandingan bermula setiap petang dari jam 2.30 hingga 5.00, bertempat di padang sekolah dan gelanggang biru.
Selepas dua hari pertandingan yang sengit, Rumah Sukan Aqua berjaya muncul sebagai johan keseluruhan dengan pungutan mata sebanyak 515. Tempat naib johan disandang oleh Rumah Sukan Ignus dengan 392 mata, manakala kedudukan ketiga diraih oleh Rumah Sukan Ventus dengan 368 mata. Rumah Sukan Terra pula menamatkan kejohanan di tempat keempat dengan 327 mata.
Walaupun kejohanan berjalan lancar, terdapat sedikit cabaran apabila tapak lompat jauh menjadi becak akibat hujan sejak beberapa hari yang lepas. Semua acara lompat jauh terpaksa ditunda ke hari kedua. Namun begitu, semangat murid tetap berkobar-kobar. Mereka hadir dengan penuh komitmen dan gigih menyelesaikan setiap acara sukantara yang dipertandingkan.
Kejohanan Sukantara SMK Pantai 2026 bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi juga menonjolkan nilai disiplin, daya tahan, dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar. Kejayaan Rumah Aqua menjadi bukti latihan berterusan dan kerjasama erat antara ahli rumah sukan, sementara sokongan guru serta rakan sepasukan menambahkan lagi suasana meriah sepanjang kejohanan.
SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan














![]()

