“Program IMPAK 1.0 Cetus Semangat Murid Tingkatan 5 SMK Pantai”

SMK Pantai WP Labuan, 6 Februari 2026 – Program Inisiatif Menuju Puncak Kejayaan (IMPAK) 1.0 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan SMK Pantai. Program ini dianjurkan khusus untuk semua murid Tingkatan 5 sebagai usaha sekolah memperkukuh persediaan akademik dan sahsiah menjelang peperiksaan utama.
Program IMPAK 1.0 dijalankan dalam dua sesi, iaitu dari jam 8.30 hingga 10.00 pagi dan disusuli sesi kedua pada jam 10.30 hingga 11.30 pagi. Sepanjang program, murid diingatkan agar mempunyai motivasi diri untuk mencapai hala tuju kejayaan yang diharapkan oleh pihak sekolah.Unit Bimbingan dan Kaunseling bertindak sebagai penggerak utama program ini dengan kerjasama penuh daripada Tuan Pengetua, En. Ismail bin Abdullah. Dalam ucapan beliau, pengetua menekankan bahawa IMPAK 1.0 bukan sekadar program motivasi, tetapi satu inisiatif menyeluruh yang menyasarkan pencapaian akademik cemerlang serta pembentukan sahsiah unggul dalam kalangan murid.
Hasrat sekolah melalui program ini adalah untuk memastikan setiap murid Tingkatan 5 memiliki keyakinan diri, disiplin, dan strategi pembelajaran yang mantap. Pihak sekolah percaya bahawa dengan sokongan guru, kaunselor, dan pentadbir, murid akan lebih bersedia menghadapi cabaran peperiksaan serta melangkah ke arah kejayaan yang diimpikan.
Program IMPAK 1.0 telah meninggalkan kesan positif, dengan murid menunjukkan keterlibatan aktif sepanjang sesi. Semangat dan komitmen yang ditunjukkan menjadi bukti bahawa warga SMK Pantai bersatu hati dalam usaha menuju puncak kejayaan.
SUMBER BERITA : SMK Pantai, WP Labuan





