KEPUTUSAN SPM 2025 DI LABUAN, MEMBERANGSANGKAN

LABUAN, 31 Mac 2026 – Labuan merekodkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memberangsangkan.
 
Seramai 1,189 calon iaitu 97.70 peratus layak dianugerahkan sijil SPM 2025 sekaligus melepasi pencapaian peringkat kebangsaan.
 
Pensijilan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang diduduki sembilan calon juga 100 peratus layak menerima sijil SPM berbanding lima calon CBPK pada SPM 2024.
 
Ia mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal bermutu dan inklusif kepada semua calon.
 
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Putih berkata,”syukur kerana dari segi layak mendapat sijil, Labuan telah berjaya mengatasi pencapaian di peringkat kebangsaan sebanyak 97.70 peratus. Ia merupakan pencapaian yang baik untuk Labuan”.
 
Tambahnya, peningkatan 0.01 peratus juga dicapai apabila 34 calon berjaya memperoleh keputusan A penuh semua mata pelajaran pada kali ini berbanding 30 calon pada tahun 2024.
 
Beliau ditemui pemberita RTM pada majlis pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 di Dewan Muhibbah, Sekolah Menengah ST Anne, Labuan.
 
Sementara itu, rasa gembira dan syukur terus dizahirkan oleh para calon SPM 2025.
Bagi Kimberly Knightingale Vivian Takom, zahir rasa syukur apabila memperoleh keputusan SPM 6A, “saya rasa sangat gembira dan puas hati. Semua usaha saya berbalio dan lebih daripada apa yang saya jangka selama ini. Kejayaan didorong oleh sokongan ibu bapa saya”, katanya yang turut ditemani ibunya Audry Bertran Lauge.
 
Nur Sarah Azman yang peroleh SPM 9A, menangis gembira dengan keputusan cemerlang, “gembira, bersyukur…tadi masa saya tengok “online” dalam kereta pun saya menangis dengan bapa saya di sebelah….berbaloi, dari tingkatan empat saya belajar sungguh-sungguh, saya rasa kerja keras membuahkan hasil.
 
Sokongan ibu bapa menjadi pendorong kejayaan buat Nur Harisya Husna Mohd Nizam yang memperoleh SPM 9A, “ibu bapa, guru-guru dan kawan-kawan saya sentiasa tolong saya. Belajar dalam kumpulan dan melalui pembelajaran dalam talian membantu mengingat kembali apa yang kami belajar”.
Seramai 1,344 calon termasuk calon swasta dan persendirian menduduki peperiksaan itu di pulau ini.
 
SUMBER BERITA : FB BES LABUAN

Loading

image_pdfimage_print