BENGKEL PBL PERKASA GURU PENDIDIKAN ISLAM: MENYOKONG KEMENJADIAN MURID

Labuan, 2 April 2026 – Bengkel Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) bagi subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab telah dilaksanakan dengan jayanya di Bilik Benua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Negeri petang tadi.

Bengkel ini melibatkan seramai 40 orang guru Pendidikan Islam sekolah rendah yang memberi pendedahan kepada guru tentang konsep, fasa pelaksanaan dan instrumen pentaksiran PBL di samping memperkasa Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui penilaian autentik berasaskan proses dan produk projek.

Sepanjang bengkel ini guru-guru telah mengikuti sesi penerangan oleh Ustazah Sanisah dari Sektor Pendidikan Islam (SPI), perkongsian pengalaman PBL Bahasa Arab oleh Ustazah Aqilah dari Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) serta perkongsian PBL oleh Ustazah Syamsilawati dari Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS).

Peserta turut melaksanakan aktiviti hands-on secara berkumpulan sebelum membentangkan hasil kerja masing-masing.

Antara bahan yang berjaya dihasilkan termasuk projek Bahasa Arab bertema al-hayawanat, syuhur miladiah, al-anshitoh al-lasofiyah dan usrati.

Bagi bidang Jawi projek yang dihasilkan ialah pembinaan rangkai kata dan menyambung huruf.

Manakala bagi kemahiran Al-Quran, para peserta berjaya menghasilkan projek berkaitan hukum tajwid. Bagi bidang Ibadah pula merangkumi solat jenazah dan konsep air mutlak.

Penganjuran bengkel ini bukan sahaja memperkasa guru pendidikan islam dan bahasa arab dalam melaksanakan PBL malah menjadi wahana penting dalam menyokong tujuh aspek kemenjadian murid yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM 2026 – 2035).

Melalui pendekatan ini, murid dibentuk secara menyeluruh merangkumi pencapaian akademik, penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi, pembangunan kemahiran insaniah, penghayatan nilai dan adab, pengukuhan kerohanian, penerapan kreativiti dan inovasi serta kesejahteraan diri.

Dengan pelaksanaan bengkel ini, guru bukan sekadar memperoleh ilmu baharu tetapi turut diperkasa sebagai agen perubahan yang memastikan murid berkembang sebagai insan seimbang, berilmu, berkemahiran dan beradab selaras dengan matlamat pendidikan negara.
#merentasdesa
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia
#tahuninitahunkita

 

 

Loading

image_pdfimage_print