Perhimpunan Guru 1Labuan dan Pelancaran Deklarasi 1B, Jabatan Pendidikan WP Labuan

Encik Raisin Saidin melancarkan Deklarasi 1Borneo, diiringi oleh Encik Jaafar (Kiri), Puan Maimoon, Encik Omar Baki dan Datuk Abd Rahman

Labuan – Majlis Perhimpunan Guru 1Labuan yang dihadiri oleh 500 guru di Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 5hb April 2018 bertempat di Dewan Utama, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

Dalam ucaptama, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa syukur kerana keputusan peperiksaan UPSR, SPM dan STPM mencatatkan momentum peningkatan dari tahun ke tahun.

Beliau berkata tiada sebab untuk murid di Labuan tidak berjaya menguasai tahap minimum dalam peperiksaan yang dihadapi dan pentadbir sekolah perlu sentiasa memberi galakkan kepada murid untuk sentiasa hadir ke sekolah setiap hari.

Pada tahun 2018, program ‘Guru Inspirasiku’ diperkenalkan di Labuan bagi meningkatkan motivasi kepada guru agar sentiasa menjadi inspirasi dan contoh tauladan kepada murid untuk berjaya.

Jadilah seorang guru di mana keberadaannya dirasai dan ketiadaannya dirindui, ujar Encik Raisin Saidin

Para guru perlu mengharungi cabaran mendatang terutama dalam Pembelajaran Abad ke 21 dan Revolusi Industri 4.0 bagi mempersiapkan anak-anak murid Labuan yang gemilang. Amalan baik murid merupakan saham terbesar guru dunia dan akhirat.

Pelbagai kejayaan yang dicapai oleh murid-murid Labuan pada tahun 2017 samada dari segi akademik, ko kurikulum mahupun dalam bidang sukan.

Pada masa yang sama Deklarasi 1B (1Borneo) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah dilancarkan dan ia adalah janji usaha warga pendidikan Labuan bagi mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Deklarasi 1B telah dibuat pada 21 Februari 2018 di 1Borneo, Kota Kinabalu yang lalu oleh barisan pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, mempunyai 19 deklarasi yang menjadi hala tuju warga pendidikan di Labuan ini untuk mencapai hasrat melangkah ke hadapan bagi mencemerlangkan Kualiti Sekolah dan Kemenjadian Murid.

Para Guru Besar WP Labuan bersama ‘bunting‘ deklarasi 1Borneo

“Antara salah satu deklarasi tersebut adalah menjadikan Jabatan Pendidikan WP Labuan berada antara lima terbaik dari kalangan 16 Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara yang mantap dari semua aspek pengurusan pendidikan”

“Kami juga komited memastikan sumber-sumber pendidikan digunakan secara optimum bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran juga merupakan salah satu deklarasi yang terkandung di dalam Deklarasi 1B,” ujarnya.

Encik Raisin Saidin komited dengan Program Pengarah Sayang Sekolah yang dijalankan mampu memberi impak bukan sahaja tahap pencapaian keputusan peperiksaan dapat dipertingkatkan malahan luahan hati warga pendidik Labuan dapat didengarinya melalui lawatannya ke sekolah-sekolah dengan berinteraksi sendiri dengan guru-guru dan murid-murid.

“Kerjasama yang erat juga oleh warga pendidikan Labuan dengan pemimpin-pemimpin tempatan seperti ketua-ketua kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) juga dapat merungkap segala solusi bagi memartabatkan pendidikan di Pulau Bebas Cukai ini” katanya.

image_pdfimage_print