APC 2017, Hargai Sumbangan Warga JPWPL
LABUAN – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan pada 24 April 2018 bertempat di salah sebuah hotel di Labuan bagi menghargai sumbangan warga JPWPL yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2017.
Seramai 121 orang warga Jabatan Pendidikan telah terpilih untuk menerima penghargaan di atas kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang tahun lepas, tahun 2017.
APC merupakan satu pengiktirafan kepada anggota yang telah berusaha secara berterusan melaksanakan kerja dengan cekap dan produktif, beriltizam tinggi serta mensyukuri nikmat seperti yang terkandung dalam Teras Perkhidmatan Awam.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga pendidikan yang telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang mencapai tahap yang terbaik sehingga terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada kali ini.
Pencapaian cemerlang ini merupakan pemangkin kepada usaha-usaha kerajaan dan Kementerian untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara, sesuai dengan tema Majlis APC kita pada tahun ini, “Warga Cemerlang Pemangkin Transformasi Pendidikan”.