Pencapaian Kontinjen Ppki SMK Lajau Di Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan 2018
LABUAN,13 September – Seramai 19 orang pelajar dari Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) SMK Lajau telah menyertai pertandingan bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Sekolah Kebangsaan Pantai. Mereka diiringi oleh 13 orang guru dan 3 orang Pembantu Pengurusan Murid yang juga bertindak sebagai pengelola pertandingan nasyid dalam majlis ini. Wakil dari SMK Lajau adalah kontijen terbesar yang pernah dihantar ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Labuan.
Majlis ini dianjurkan sebagai salah satu program kerohanian untuk murid-murid pendidikan khas Labuan sekaligus dapat mencungkil bakat dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan. Murid-murid yang menjadi pemenang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 16 hingga 19 Oktober 2018 di Kelantan.
Acara pertandingan tilawah, hafazan, bercerita dan syarahan agama bermula pada jam 8.00 pagi. Majlis berhenti rehat pada jam 10.00 pagi. Majlis diteruskan dengan pertandingan azan subuh dan nasyid.
Pada Majlis Tilawah Al-Quran tahun ini kontijen PPKI SMK Lajau telah berjaya menggondol kejuaraan bagi setiap acara yang disertai. Kontijen SMK Lajau telah menyertai 5 acara dalam kategori Masalah Pembelajaran Sekolah Menengah iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Azan Subuh, Syarahan Agama dan Nasyid dengan menghantar 2 peserta setiap acara dan 10 orang untuk acara nasyid.
Dalam acara Tilawah Al-Quran Sekolah Menengah, Muhammad Haziq Irfan telah berjaya mendapat tempat pertama kategori lelaki dan Siti Waniera Safiyyah telah memenangi kategori perempuan. Tempat kedua untuk acara tilawah kategori lelaki sekolah menengah juga dimenangi oleh wakil SMK Lajau iaitu Mohd Ramlan bin Yusof.
Acara hafazan lelaki sekolah menengah dimenangi oleh Akmal Nuruddin bin Aili manakala seorang lagi wakil PPKI SMK Lajau dalam acara tersebut iaitu Mohamad Daniel bin Hashim mendapat tempat ketiga. Wakil PPKI SMK Lajau dalam acara hafazan sekolah menengah perempuan iaitu Nurul Fatihah binti Saidin telah memenangi acara tersebut dan tempat kedua juga dimenangi wakil SMK Lajau,Siti Nuradilah Najeerah.
Pertandingan azan subuh juga menyaksikan wakil PPKI SMK Lajau mendapat tempat pertama dan kedua. MD. Zurin Zuraymi bin Phillip berjaya memenangi acara tersebut manakala Mohd Abri bin Mohd Salleh di tempat yang kedua. Pertandingan syarahan agama kategori lelaki dam perempuan kedua-duanya dimenangi oleh wakil PPKI SMK Lajau iaitu Mohd Al-Shahdie bin Mohd Salleh dan Nur Ashella Riduan. Tempat kedua juga dimenangi oleh wakil PPKI SMK Lajau iaitu Mohd Zulhilmi Hazim bin Sibidol dan Wardah Hidayah binti Yahud.
Acara paling popular adalah pertandingan nasyid yang menyaksikan penyertaaan penuh dari setiap kontijen. Enam kumpulan nasyid yang mewakili sekolah masing-masing adalah Sautul Kalam dari PPKI SK Bukit Kalam, Asy-Syakirin dan PPKI SK Pekan 1, Al-Mawaddah dari PPKI SK Rancha Rancha, Shoutul Bahri dari PPKI SK Pantai, Soutul Imtiyaz dari PPKI SMK Mutiara dan Al-Husaini dari PPKI SMK Lajau. Tempat pertama telah dimenangi oleh kumpulan Al-Husaini dari PPKI SMK Lajau yang dianggotai oleh 10 orang ahli termasuk 3 orang yang bertindak sebagai pemain muzik perkusi. Kumpulan ini diketuai oleh vokalisnya iaitu Md. Zurin Zuraymi bin Phillip. Adik Zurin juga telah dianugerahkan sebagai vokal solo terbaik oleh jemaah hakim pertandingan nasyid.
Kemuncak acara adalah majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah oleh Pn.Maimoon binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan wakil rasmi Tuan Pengarah, En.Raisin bin Saidin. Majlis yang berlangusung di Dewan Dato Hj.Isli, SK Pantai dimulakan pada jam 2.30 petang dengan kata-kata aluan dari Guru Besar SK Pantai Puan Mahani binti Hussin selaku tuan rumah. Turut hadir Guru Besar SK. Pekan Satu puan Anita Shamimi, Guru Besar SKK Rancha-Rancha puan Norinie Kassim, Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin Abd Latip.
Sebelum keputusan diumumkan ketua hakim pertandingan nasyid Ustazah Rohani binti Tali@Md Ali dijemput untuk memberikan sedikit komentar berkenaan mutu persembahan setiap kumpulan nasyid yang bertanding. Beliau berterima kasih kasih kepada penganjur kerana melibatkan guru perdana sebagai hakim dalam pertandingan nasyid peringkat pendidikan khas dan memberi beberapa cadangan untuk memperbaiki kualiti persembahan dan penganjuran untuk masa akan datang.
Hadiah telah disampaikan oleh Pn.Maimoon Matnoh dan berakhir pada jam 4.30 petang.