LABUAN: Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan telah menganjurkan Program Perkongsian Amalan Terbaik Bagi Inisiatif #62: Peluasan Pelaksanaan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti Dalam Ekosistem Sekolah (PIBK) 2018 di Auditorium Anjung Budaya Layang-Layangan Labuan.
Program itu yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 1 petang telah dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada pengetua, guru besar, yang dipertua PIBG dan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan/Negeri dan Pegawai Perhubungan (Polis) Sekolah serta pelajar sekolah rendah dan menengah Wilayah Persekutuan Labuan.
Program diadakan untuk memberi pendekatan dengan penglibatan positif dalam kalangan ibu bapa, guru, komuniti setempat dan pihak swasta yang diusahakan secara berpasukan bagi aspirasi murid, aspirasi sistem pendidikan dan aspirasi PIBG itu sendiri direalisasikan.
Melakar satu lagi sejarah bila mana buat pertama kalinya, Pegawai Perhubungan Sekolah dari kalangan anggota polis dengan warga Jabatan Pendidikan Labuan untuk hadir bersama dalam program itu.
Usaha itu membuktikan permuafakatan, kerjasama, sikap kebersamaan dan kesepunyaan antara pihak JPNWPL dengan jabatan lain menunjukkan bahawa pendidikan di negara kita adalah milik masyarakat.
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapannya berkata, dalam masa dua tahun ini, PIBK dan PIBG menggembleng kerjasama dan permuafakatan daripada ahli KPIBK kebangsaan dan negeri, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) sekolah serta sektor korporat dan syarikat swasta bagi membuktikan kemenjadian anak-anak di wilayah ini.
Katanya hal itu jelas menggambarkan keprihatinan dan kepedulian masyarakat umum terutamanya terhadap program-program yang melibatkan para ibu bapa dan komuniti tetap diberi keutamaan.
Dengan adanya program seperti gerakan bersepadu itu jelasnya, pihak Jabatan Pendidikan Labuan telah mengambil intenvensi dan dibuktikan di sekolah, kecemerlangan sesebuah organisasi atau persatuan amat bergantung kepada beberapa elemen yang perlu digerakkan secara bersama dan seiring.
“Program ini juga diadakan untuk mengatasi permasalahan sosial pada hari ini cukup membimbangkan kita semua. Gejala sosial dan keruntuhan moral yang melibatkan remaja dan murid sekolah sangat mencemaskan hati kita.
“Banyak faktor yang menyumbang berlakunya gejala tidak sihat ini. Maka dengan adanya Pegawai Perhubungan Sekolah yang telah dilantik juga, dapat membantu menangani isu ponteng sekolah dan masalah disiplin di peringkat akar umbi,” katanya.
Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Labuan dan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan dan Negeri kerana berjaya mengadakan Program Perkongsian Amalan Terbaik Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti itu.
“Semoga dengan penerimaan hadiah PIBG Aktif sepanjang Januari-Jun yang diterima oleh PIBG SMK Labuan, PIBG SMK Rancha-Rancha, PIBG SMK Lajau dan SK Layang-Layangan ini dapat merangsangkan lagi pelibatan ibu bapa dan komuniti dalam persekitaran sekolah,” katanya.
Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Maimoon Haji Matnoh, Pengerusi KPPIBKK Encik Omar Baki Matusin, Puan Norismah Haji Moin dan Penyelaras Program Puan Zaliha Mohd Salleh.