Murid-Murid SK Rancha-Rancha Ceria, Program Transisi Tahun Satu
Labuan, 17 Januari 2020 – Sekolah Kluster Kecemerlangan, Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Majlis Penutupan Program Transisi Tahun Satu bagi Tahun 2020 yang telah dirasmikan oleh Puan Noraini Hj Sabudin, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPWPL.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zulkornain bin Ahmad.
Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Noraini Hj Sabudin.
Dalam ucapannya, beliau berkata, Program Transisi Prasekolah Ke Tahun Satu merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid menghadapi perubahan daripada pendidikan tidak formal di rumah atau tadika kepada pendidikan lebih formal di Tahun Satu sekolah rendah.
Program ini juga dapat memastikan agar semua murid Tahun Satu yang datangnya dari latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza akan dapat memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu pada tahap pencapaian yang hampir sama.
Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata, dengan program ini murid-murid dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran guru-guru dan kawan baru dalam masa yang singkat.
Guru-guru juga dapat menyelaraskan keperluan kognitif, emosi, kerohanian dan jasmani murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran secara formal di Tahun 1.
Majlis diteruskan dengan tayangan video ringkas perjalanan minggu transisi, penyampaian hadiah dan diakhiri dengan sesi fotografi.
Semoga program transisi ini dapat meningkatkan minat dan semangat murid untuk hadir ke sekolah setiap hari.
Berita Oleh : SK Rancha-Rancha