SK Rancha-Rancha Dedah Guru Kemahiran Pertolongan Cemas
Labuan, 20 Januari 2020 – Sebagai langkah persediaan menghadapi kejadian tidak diingini dalam persekitaran sekolah, seramai 42 guru dan pegawai kumpulan pelaksana (PKP) dari Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha diberikan kursus mempelajari asas-asas pertolongan cemas dan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR)
Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata kemahiran ini perlu terutamanya untuk guru supaya mereka dapat menghadapi sebarang kemungkinan di sekolah sebelum murid dihantar ke hospital. Beliau juga yakin kemahiran yang dipelajari oleh guru dapat didedahkan kepada murid-murid.
Latihan pertolongan kecemasan itu dikendalikan oleh tujuh kakitangan dari Hospital Nukleus W.P Labuan yang diketuai oleh Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah, pakar perubatan kecemasan hospital tersebut.
Peserta kursus dibahagikan kepada 5 kumpulan untuk sesi amali tentang teknik dan cara yang betul bagi membantu individu tercekik dan bantuan pernafasan bagi orang dewasa dan bayi. Setiap kumpulan dapat mempelajari cara yang betul untuk melakukan CPR.
Peserta didedahkan
dengan teknik CPR untuk menyelamatkan nyawa ketika nadi dan nafas mangsa
terhenti. Semasa bengkel, teknik dilatih ialah melibatkan tekanan dada dan
hembusan mulut ke mulut, dan ini terbukti berkesan untuk menyelamatkan nyawa.
Dr Mohamad Hamim
berkata dengan ilmu yang didedahkan oleh kakitangan hospital dapat dimanfaatkan
oleh guru untuk memberi rawatan awal jika sesuatu kejadian tidak diingini berlaku
di sekolah sebelum pihak hospital tiba.
Peserta program juga teruja dan kursus ini sangat bermanfaat dalam kehidupan, di samping memberi peluang untuk membantu insan lain yang berada dalam kesakitan dan kecemasan.
Berita Oleh : SK Rancha-Rancha