Labuan, 6 Feb 2020 – Program RIMUP : Sambutan Tahun Baru Cina SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS merupakan cerminan ikatan ukhuwah yang padu dijalinkan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
Ianya bersesuaian dengan matlamat RIMUP “melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, bersemangat muhibah, memiliki jiwa dan peribadi unggul serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu demi kesejahteraan negara.”
Majlis Perasmian disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dan 85 orang guru.
SK Pekan Satu telah mengundang khas kumpulan Tarian Singa Labuan International School untuk membuat persembahan kepada warga sekolah.
Dalam ucapannya, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada kumpulan Tarian Singa Labuan International School kerana dapat menyajikan persembahan yang amat memukau para hadirin terutamanya murid-murid.
“Program sebegini bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid-murid bangsa lain tentang suasana dan sambutan Tahun Baru Cina malah ianya dapat merapatkan lagi hubungan sillaturahim tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan bangsa”.
Konklusinya, Program RIMUP yang dilaksanakan di SKPS mencapai objektif perpaduan antara kaum. Program silang budaya seperti ini sangat digalakkan di Malaysia kerana kepelbagaian kaum, agama dan bangsa yang mempunyai pelbagai keunikan dan tersendiri menyuntik semangat perpaduan dalam keharmonian globalisasi negara Malaysia pada hari dan masa hadapan.
Sikap saling menerima dan memahami perbezaan inilah yang akan merapatkan jurang perbezaan dan membentuk kekuatan kepelbagaian etnik, sekali gus akan menjadi satu kekuatan dan kebanggaan buat negara yang tercinta.
Penyelaras program, Puan Nor Irdawati melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua terutama kepada guru-guru yang mengawal keadaan murid bagi melancarkan program ini.
Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan.
Berita Oleh : SK Pekan Satu