Rumah Kenyalang Juara Baru Kejohanan Olahraga SMK Labuan 2020
Labuan, 2 Mac 2020 – Persaingan perebutan juara antara Rumah Kenyalang dan Rumah Rajawali dalam Kejohanan Olahraga SMK Labuan Kali Ke 60 Tahun 2020 berlangsung sengit.
Dengan pungutan 23 emas, 13 perak, 12 gangsa, akhirnya Rumah Kenyalang diistiharkan sebagai juara baru meninggalkan Rumah Rajawali dengan pungutan 21 emas, 10 perak dan 22 gangsa.
Tempat ke-tiga dan ke-empat masing-masing diraih oleh Rumah Garuda (13 emas, 19 perak, 16 gangsa) dan Rumah Merak (7 emas, 21 perak, 13 gangsa).
Kali terakhir Rumah Kenyalang menjuarai Kejohanan Olahraga SMK Labuan ialah pada tahun 2014.
Lebih manis, atlit Rumah Kenyalang, Muhammad Hanis Syazwan dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki 18 Tahun dengan unggul memenangi pingat emas 100 meter lari berpagar, memecahkan rekod kejohanan 200 meter lari berpagar, dan pingat perak dalam acara lompat kijang.
Mavis Yong Xiao Yee dari Rumah Merak pula dinobatkan sebagai Olahragawati Perempuan 18 Tahun dengan memenangi pingat emas dalam acara 100 meter, 400 meter (rekod baharu kejohanan), 3000 meter dan pingat perak dalam acara 4 x 100 meter.
Rumah Rajawali menguasai gelaran olahragawan Lelaki dan Perempuan 15 Tahun melalui Elvinsius Romanus Rely dan Zukrina Azra Zainudin.
Elvinus memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh, lompat kijang, 800 meter, 4 x 400 meter dan 4 x 100 meter.
Zukrina pula memenangi pingat emas lompat jauh, lompat kijang, 400 meter, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter.
Kejohanan ini berlangsung pada 28 dan 29 Februari di Kompleks Sukan Labuan, dirasmikan oleh Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan, merangkap Bapa Angkat Korporat SMK Labuan.
Dato’ Sri Haji Amir berkata bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan mental.
“ Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, sukan juga mampu membentuk seorang murid yang cergas, patuh dengan aturan ”.
“ Secara tidak langsung membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan ”. Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien.
Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menzahirkan penghargaan kepada PIBG sekolah di atas bantuan membiayai sebahagian kos penganjuran kejohanan. Begitu juga sumbangan yang diberikan oleh bekas murid-murid tingkatan 5 SMK Labuan yang banyak membantu guru-guru dalam jawatankuasa teknikal.
Encik Ismail berharap SMK Labuan dapat memberi cabaran hebat dalam Kejohanan Olahraga MSSWPL yang akan berlangsung pada 9-13 Mac 2020. Sasaran SMK Labuan sekurang-kurangnya tempat kedua keseluruhan.
Turut hadir, YDP PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu dan Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Cheah Teong Aik.
Berita Oleh : SMK Labuan