PATUHI SEPENUHNYA ARAHAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN
Labuan, 19 Mac 2020 : Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengingatkan semua warga Jabatan Pendidikan Labuan supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19.
Semua Pejabat Jabatan Pendidikan WP Labuan dan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan ditutup bermula 18hb sehingga 31hb Mac 2020,
Encik Raisin Saidin berkata, selama tempoh dua minggu ini, warga pendidikan diingatkan agar sentiasa berada di rumah dan tidak perlu bergerak ke mana-mana.
Bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan perubatan, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar dan terus pulang ke rumah setelah selesai urusan.
Program-program anjuran Jabatan Pendidikan WP Labuan, sekolah dan aktiviti pihak NGO bersama sekolah juga ditangguhkan sepanjang tempoh ini.
Tindakan mengosongkan premis jabatan meliputi ibu pejabat di Ujana Kewangan, Bukit Kalam, SSTP, SPMICT, Pusat Kokurikulum dan semua bangunan sekolah adalah untuk menghentikan rantaian penulran virus COVID-19.
Mudah-mudahan jangkitan COVID-19 dapat dihindari dan penularan wabak ini insyaAllah dapat dibendung.
Katanya, inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.
Tujuannya bukan untuk membolehkan balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.
Tujuannya ialah supaya duduk di rumah di mana anda berada. Stay at home and protect yourself and family.
Kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya murid-murid tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus COVID-19.
Begitu juga ke tempat kerja supaya tidak berinteraksi secara dekat dan bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini.
Akhirnya, rantaian jangkitan dapat diputuskan dan jumlah orang yang dijangkiti wabak ini dapat dikurangkan. Inilah tujuannya.
Marilah kita sama-sama berdoa, menadah tangan agar kita bebas daripada COVID-19. Encik Raisin Saidin
#Just stay at home