GURU DAN MURID HARUSLAH MELAKSANAKAN PENDEKATAN BELAJAR DARI RUMAH
Labuan 25 Mac 2020 : Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menyeru para guru dan murid supaya melaksanakan pendekatan belajar dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PKP telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 dan seharusnya akan berakhir pada 31 Mac 2020 berikutan penularan wabak COVID-19 kini dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020.
PKP merupakan satu cara untuk memutus atau menghentikan rantaian penularan wabak COVID-19.
Lantaran itu, sekolah telah ditutup sepanjang tempoh berkenaan dan guru serta murid tidak dibenarkan datang ke sekolah bagi tujuan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Sehubungan ini, murid hendaklah belajar di rumah dan belajar dari rumah.
Belajar di rumah bermaksud murid mengambil inisiatif belajar secara kendiri dengan menggunakan buku teks sedia ada atau menggunakan buku-buku kerja yang ada.
Selain itu, murid juga boleh menyiapkan latihan-latihan ulangkaji dan pengukuhan yang telah disediakan oleh guru-guru sebagai tugasan semasa cuti sekolah.
Belajar dari rumah pula secara mudahnya boleh diertikan sebagai murid dapat berinteraksi dengan guru-guru mereka dengan pelbagai cara.
Cara yang paling mudah dan popular ketika ini ialah melalui whatsapp dan telegram hanya dengan menggunakan telefon pintar. Malahan penggunaan ‘zoom clouds meeting’ juga telah mula digunakan oleh guru dan murid.
Banyak lagi cara lain yang boleh difikirkan oleh guru bagi membantu murid belajar dari rumah.
“Saya amat yakin guru-guru era digital ini mempunyai pelbagai kreativiti dan inovasi berdasarkan teknologi yang boleh membantu murid terus belajar dengan bimbingan guru tanpa hadir ke sekolah atau bilik darjah” – Encik Raisin Saidin
Seperti yang dijangka, PKP yang seharusnya berakhir pada 31 Mac 2020 ini telah dilanjutkan lagi tempohnya sehingga 14 April 2020. Semua pihak berharap agar penularan wabak COVID-19 di negara kita dapat dihentikan.
Adalah penting untuk guru-guru yang berada di barisan paling hadapan di bilik darjah menyediakan platform yang sesuai untuk murid-murid yang kita sayangi terus belajar.
Saya juga memohon supaya Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama dengan Sektor Pembelajaran dapat membantu, membimbing dan memberi khidmat bantu guru- guru dalam memastikan murid belajar dari rumah benar-benar memberi manfaat kepada murid-murid.
Ini amat bertepatan dengan slogan kita GURU SAYANG MURIDNYA