Modul Mumtaz Pendidikan Islam: Buah tangan untuk Calon SPM 2020
Labuan, 16 Oktober – Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama guru-guru Pendidikan Islam Tingkatan Lima di Labuan berjaya menghasilkan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.
Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM merupakan modul yang menghimpunkan soalan-soalan topikal Pendidikan Islam tingkatan 4 dan tingkatan 5 kertas 1 dan kertas 2 sebagai latih tubi untuk murid-murid menjawab soalan-soalan bagi persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada Januari 2021.
Seramai 21orang jawatankuasa penggubal soalan telah memerah tenaga dan fikiran mereka dalam menghasilkan modul ini. Penerbitan modul muntaz merupakan cetusan idea Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam Sektor Pendidikan Islam (SPI) Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff semasa Dialog Prestasi SPM bersama Ketua Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah yang diadakan pada Jun lalu.
Majlis penyerahan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Puan Khaziyati binti Osman kepada pengetua dalam majlis ringkas selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan (JPAK) di Bilik Botanikal JPWPL pada 12 Oktber lalu.
Dalam perutusan Pengarah, Puan Khaziyati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) di sekolah menengah khususnya Guru Pendidikan Islam yang mengajar Tingkatan 5 atas kerjasama dalam menyumbangkan masa dan tenaga untuk menghasilkan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.
Menurutnya lagi, penerbitan modul ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu untuk meningkatkan prestasi murid dalam peperiksaan awam secara berterusan.
Puan Khaziyati turut menzahirkan pengharapan agar calon-calon SPM berusaha dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan diri dalam mata pelajaran Pendidikan Islam Kertas 1 dan 2 seterusnya menghargai pengorbanan ustaz dan ustazah mendidik dan membimbing sepanjang sesi persekolahan bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima .
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL, Ustazah Kamariah binti Salim turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam tingkatan 5 di atas penerbitan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.
Katanya, di sebalik isu Pendemik Covid-19 yang melanda dunia dengan penutupan beberapa buah sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan Labuan yang diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semestinya menimbulkan keresahan dalam kalangan warga pendidikan dan ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak mereka. Justeru, modul Mumtaz ini diharap dapat digunakan oleh calon-calon SPM untuk membuat ulangkaji dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.
“SPI berharap agar modul yang sangat berharga ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 seterusnya membantu mereka untuk belajar secara kendiri dalam suasana yang ketidak tentuan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini “.
“Kita mendoakan agar usaha murni para asatizah diberkati Allah s.w.t. seterusnya dapat melonjakkan lagi prestasi SPM 2020 di Wilayah Persekutuan Labuan, inshaAllah.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam