SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN ANJUR PROGRAM MUNAJAT WARGA PENDIDIK 2021

Labuan, 03 Februari (Rabu) – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Program Munajat Warga Pendidik dengan jalinan kerjasama dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan ibu bapa, guru-guru serta pegawai dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Objektif program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan warga sekolah serta keluarga agar terhindar dari musibah wabak Covid-19, di samping memohon kepada Allah agar mereka yang dijangkiti akan kembali sembuh.

Program ini juga bertujuan untuk mendoakan agar murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM dapat berada di sekolah dalam keadaan selamat  dan belajar dengan tenang, seterusnya beroleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM nanti.

Program yang bermula selepas solat Maghrib di rumah masing-masing, dimulakan   dengan bacaan surah Yasin dan diikuti bacaan doa secara dalam talian. Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan bin Manan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua guru, ibu bapa dan juga pegawai dari jabatan Pendidikan WP Labuan secara dalam talian untuk menjayakan program ini.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar murid-murid Tingkatan 5 SPM 2020, dapat meneruskan usaha dengan sebaik mungkin kerana mereka dianggap sebagai calon SPM yang sangat istimewa dan diberikan masa yang cukup panjang untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran akibat pandemik Covid-19. Hakikatnya, situasi ini telah memberikan cabaran kepada kita semua dalam semua aspek.

Ucapan aluan, Puan Maimoon Matnoh

Puan Maimoon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru atas kesungguhan dalam melaksanakan  tanggungjawab mendidik anak-anak SPM, selain merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak unutk menghadapi situasi yang sukar ini. Beliau turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kemampuan murid, keupayaan guru dan sokongan ibu bapa kepada calon SPM  untuk mengulangi pencapaian 100% lulus SPM seperti tahun sebelumnya.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat hajat di rumah masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print