Pelancaran Mai Tah Baurung-Urung Secara Dalam Talian 2021

Pelancaran Mai Tah Baurung-Urung 2021, 15 Februari 2021.

Labuan, 16 Februari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melancarkan Program Maitah Baurung-Urung 2021 secara dalam talian, kelmarin dengan jayanya.

Pelancaran dibuat melalui saluran Youtube rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang telah dihadiri oleh warga pendidikan di Labuan.

Program ini telah berjaya menghimpunkan warga pendidikan di Labuan untuk mendapatkan komitmen dan kesungguhan bagi menjayakan sasaran kerja tahunan serta KPI yang perlu dicapai bagi tahun 2021.

Selain itu, program ini dapat membuat refleksi pencapaian warga pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan sepanjang tahun 2020 dan memperbaharui ikrar serta komitmen warga pendidikan untuk menjayakan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Gelombang 3 (2021-2025) dan perancangan strategik Jabatan.

Ikrar Perkhidmatan Awam diketuai oleh Encik Ag Marten Abdul Rahman, KPP SSTP

Puan Khaziyati Osman, Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan dalam ucapan amanahnya berbicara mengenai berkenaan Hala tuju Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu The Next Level  yang bertemakan Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia.

Beliau menyeru agar warga pendidikan dapat mengadaptasikan Tagline dan Teras Profesional Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Tagline Jabatan Pendidikan ialah Labuan World, Guru sayang muridnya, Kemenjadian murid bermula di Wilayah Persekutuan Labuan, Semua murid sangat bernilai, Semua sekolah di Labuan adalah sekolah pilihan.

Manakala teras profesional warga pendidikan W.P Labuan ialah L.A.B.U.A.N yang membawa maksud Lead, Accountable, Bold, Unanimous, Approachable, Now.

Katanya lagi, dalam mendepani cabaran Covid-19, guru seharusnya perlu mengubah kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan menerusi platform digital berpandukan manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Keperluan meningkatkan ilmu dan mempelbagaikan kemahiran bukan merupakan kelebihan tetapi keperluan yang perlu ada pada setiap pendidik supaya kita menjadi insan yang lebih ampuh dalam menghadapi pelbagai cabaran.” Puan Khaziyati Osman.

Kerjasama guru dan ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mengupayakan pengajaran dan pembelajaran anak-anak terus berlaku walaupun ketika anak-anak tidak ke sekolah.

Ucapan Amanat oleh Puan Khaziyati Osman, Pengarah JPWPL

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KPM yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Mohd Jamil bin Mohamed, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM.

Dalam ucapannya beliau berbangga dengan tema program Mai Tah Baurung-urung Dalam Talian “Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia”. Ini jelas menunjukkan keazaman dan kesungguhan yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di W.P Labuan untuk mempersiapkan diri dan anak didik, ilmu serta kemahiran yang menyeluruh bagi menghadapi persaingan global dengan persiapan minda yang berilmu.

Pendidikan yang berkualiti memerlukan para guru melakukan paradigma sikap minda kelas dunia dengan meningkatkan tahap kompetensi untuk membina kompetensi murid-muridnya mencapai tahap penguasaan tertinggi. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang cukup tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap cemerlang. Oleh itu, sebagai guru kita juga harus sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu dalam diri agar kita juga dapat berjalan seiring dengan kemajuan sistem pendidikan global.

Penguasaan dalam bidang ICT dan pelbagai aplikasi dalam talian sudah tentu menjadi semakin penting dalam dunia pendidikan kini supaya ia seiring dengan kehidupan anak didik kita masa ini dan keperluan pendidikan di zaman ini.

“Harapan saya semoga tahun 2021 memberi kekuatan fizikal dan minda yang cukup kuat dalam usaha kita meningkatkan prestasi pendidikan walaupun terkesan dengan pandemik ini. Saya percaya komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada cikgu-cikgu sekalian serta semua warga pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan melahirkan murid-murid yang berjaya melepasi segala rintangan dan mengelakkan defisit pembelajaran.” Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.

Ucapan perasmian oleh Dato’ Mohd Jamil bin Mohamed, Pengarah BPSH

Tahniah dan syabas kepada Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang telah menyediakan Perancangan Strategik Organisasi yang lebih menyeluruh dan bersepadu dan saya berharap ia akan dapat direalisasikan melalui pelaksanaan yang kemas dan tersusun demi mencapai matlamat sekolah berkualiti dan kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dalam PPPM 2013-2025.

Loading

image_pdfimage_print