Pembugaran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri W.P Labuan Di SMK Rancha-Rancha Patuhi SOP Ketat Daripada Tuan Rumah

8 April 2021 – Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Tuan Yusuf bin Mohammad baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha ( SMKRR ) dilaksanakan bagi memupuk semangat membaca guru dan pelajar  di samping memupuk aspirasi komuniti  pembaca dalam membangunkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan.

Tuan Yusuf bin Mohammad berkata, program yang diadakan itu memperlihatkan kesungguhan pihak Jabatan Pendidikan untuk menjadikan amalan membaca satu budaya yang pastinya bertujuan untuk membentuk satu masyarakat yang berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat. Budaya membaca sebagai suatu amalan adalah asas kepada pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan pula merupakan asas kepada pembangunan diri manusia. Ini bermakna, melalui amalan membaca seseorang itu bukan sahaja kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan, bahkan berkebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan tersebut dengan baik dan berkesan.

 “Daripada segi sains, amalan membaca menjadi salah satu kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan di samping berkeupayaan memperkuat rangkaian otak manusia serta mampu merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baharu. Dan jika kita membaca sesuatu berulang kali, apa yang kita baca itu akan lebih lekat di dalam ingatan dan tidak mudah dilupakan. Pembacaan yang banyak juga dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (emotional intelligence atau EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (intelligence Quotient atau IQ) seseorang. Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha.

Katanya lagi, salah satu cabaran yang kita hadapi hari ini untuk menggalakkan budaya membaca ialah pengaruh digital ke atas masyarakat amnya dan murid sekolah khasnya. Pengaruh digital kepada masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku-buku semakin diketepikan. Malahan buku teks juga ada dalam bentuk digital dan digunakan secara meluas semasa pandemic ini. Banyak syarikat akhbar terpaksa menggulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak namun saya rasa tidak berlaku di SMK Rancha-Rancha. Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan. Malahan, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital. Dari segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya. Yang membimbangkan ialah sumber pembacaan di dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan sehingga ia menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu “fake news” dan lain-lain kandungan yang merosakkan masyarakat terutamanya murid sekolah. Di sinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan. Oleh itu guru memainkan peranan penting dalam memberi panduan kepada murid.

Tetamu yang hadir menyaksikan Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri W.P Labuan patuh kepada SOP

Program DMK ini merupakan penganjuran bersama Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPWPL dalam menjadikan warga pelajar di Labuan  sebagai satu usaha ke arah negara membaca dalam tempoh 10 tahun bermula 2021 hingga 2030.Turut hadir ke Majlis Pelancaran DMK peringkat negeri W,P Labuan ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Ustaz Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah W.P Labuan En Ismail bin Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar  W.P Labuan Pn. Dayang Sarifah binti A.Mahmud , Penolong Pengarah SSTP  Pn.Norsiah binti Sulaiman,  Penolong Pengarah SSTP Pn Malai Hasnah binti Malai Ahmad , Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKRR En Awang Adi bin Tuah.

Sementara itu, menurut Pengetua SMK Rancha-Rancha , Ustaz Wan Azman bin Wan Awang DMK tersebut dibahagikan kepada enam program iaitu kepelbagaian program membaca, pembangunan prasarana dan aktiviti membaca, pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, capaian buku digital dan pendidikan sepanjang hayat. Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dilancarkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara membaca pada tahun 2030.

Pengetua SMK Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang menyampaikan ucapan alu-aluan

Dari aspek yang lain, beliau menjelaskan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan 2021 hingga 2030 merupakan usaha jitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Berslogankan #MALAYSIAMEMBACA, kempen ini akan diperluaskan ke semua peringkat khalayak sasaran termasuk bayi seawal usia, prasekolah, sekolah rendah, menengah, universiti dan masyarakat umum.

Tambah beliau lagi, Pusat Sumber Sekolah merupakan nadi utama pengerak program ini. Umum mengetahui bahawa Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha merupakan PSS 5 Bintang  bukan sahaja terkenal dengan dekorasinya malah terkenal sebagai salah sebuah Pusat Sumber Sekolah yang lengkap dengan pelbagai fasiliti yang boleh digunakan oleh murid sekolah dan komuniti setempat. Beliau menggesa spaya pelajar dan komuniti boleh menggunakannya kita seoptimum.

Tuan Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman selaku Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Labuan berkata “Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Untuk memastikan kempen ini mencapai keberhasilan yang dihasratkan tambah beliau, slogan dan tagar #MALAYSIAMEMBACA dipilih akan dipopularkan supaya menjadi inspirasi kepada pelajar di Labuan untuk membaca selaras dengan hasrat KPM yang ingin menjadikan Malaysia sebuah negara membaca.

Cikgu Sapri bin Idris GPM SMK Rancha-Rancha selaku penyelaras pelancaran DMK peringkat negeri W.P Labuan menjelaskan pelancaran DMK 2021 merupakan satu usaha yang dapat merealisasikan penyuburan budaya membaca dalam kalangan warga pendidikan. Semua pihak  perlu merangka dan melaksanakan satu pendekatan baharu yang segar, lebih mantap serta agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca. Selain itu, kempen ini diyakini mampu untuk memperkukuhkan budaya membaca dan meningkatkan peratusan rakyat Malaysia membaca untuk merealisasikan hasrat dan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

En Sapri bin Idris GPM SMK Rancha-Rancha penyelaras program pelancaran pembugaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat negeri W.P Labuan.

Majlis pelancaran hari ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan buku kepada semua sekolah-sekolah seluruh W.P Labuan. Penyerahan sumbangan buku telah diberikan  oleh Tuan Yusuf bin Haji Mohammad kepada Yang Dipertua  Majlis Pengetua Sekolah Menengah W.P Labuan iaitu En Ismail bin Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar  iaitu Puan Dayang Sarifah binti A. Mahmud. Pelajar di W.P Labuan boleh menyaksikan pelancaran pembugaran DMK pada pagi itu melalui flatform Youtube dan Facebook Ranchas Production.

Berita Oleh : SMK Rancha Rancha

Majlis penyerahan buku kepada  Yang Dipertua Majlis Guru Besar  iaitu Puan Dayang Sarifah binti A. Mahmud