Murid SK Pekan II dan SMK Pantai Terima 236 Peranti CERDIK untuk PdPR
Labuan – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengagihkan sebanyak 236 unit peranti CERDIK masing-masing 118 unit kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Pekan II dan SMK Pantai, baru-baru ini.
Inisiatif CERDIK merupakan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyediakan akses digital iaitu komputer riba serta penyambungan data internet kepada murid dari keluarga berpendapatan rendah atau B40.
Pemilihan murid dan sekolah yang terlibat dengan CERDIK ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM juga meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih lestari terutama dari segi sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital pada masa depan.
Pengagihan peranti SK Pekan II telah dilaksanakan pada 30 Jun 2021, bertempat di Pusat Kokurikulum, JPWPL. Manakala pengagihan peranti kepada murid SMK Pantai telah selesai dilaksanakan pada 15 Julai 2021. Kedua-dua pengagihan mengikut SOP yang telah ditetapkan dan dilaksanakan secara Pandu Lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad berharap agar kemudahan ICT yang diberikan ini dapat membantu murid-murid mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Mudah-mudahan bantuan peranti yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid dalam menjalani sesi pembelajaran di rumah masing-masing”. Encik Yusup Haji Mohamad
Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 sekolah sebagai projek rintis yang akan diselia Yayasan Hasanah.