Bengkel Perkongsian Amalan Baik Pengajaran Jawi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 : Pedagogi Awal Jawi Dalil

Labuan, 11 Mac 2023 – Bengkel ini telah diadakan pada pagi tadi secara dalam talian. Merupakan Program jalinan kerjasama di antara SK Bebuloh, Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) DBP dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk memantapkan kemahiran guru-guru Pendidikan Islam dalam mempelbagaikan kaedah, teknik, inovasi bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru dalam kemahiran jawi seterusnya dapat menarik minat murid dalam mencintai jawi.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Tuan Hj Mat Yusof Abdul Rahman. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL ustazah Kamariah Salim, Timbalan Pengerusi Munsyi Jawi DBP merangkap penceramah dalam bengkel ini ustazah Dalilah Desa, munsyi-munsyi DBP, guru- guru, pensyarah, ibu bapa dan murid-murid.

Bengkel yang diadakan semasa cuti sekolah ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 502 peserta mengikutinya sehingga akhir sesi dan begitu aktif mengambil bahagian sepanjang bengkel ini diadakan.

Peserta yang hadir akan diberikan sijil digital manakala kehadiran guru akan dimasukkan dalam SPLKPM.

Semoga usaha yang ini dapat manfaatnya kepada guru dan anak didik kita di sekolah.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




SPM 2022 : Kejayaan Pasti Milik Anda !

Labuan, 19 Februari 2023 :

Ucapan Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sempena Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

“Apa khabar anak-anak SPM semua. Saya doakan anda semua sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua anak-anak yang telah pun membuat persiapan rapi bagi menghadapi peperiksaan SPM yang merupakan tiket yang sangat penting dalam membina masa depan anak-anak sekalian.

Saya amat teruja dengan usaha yang telah dibuat oleh anak-anak semua dan begitu juga usaha cikgu-cikgu yang membimbing anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini.

Anak-anak semua, perkara yang selalu saya ingatkan kepada anda semua. Dalam menghadapi situasi peperiksaan yang hampir dekat ini.

Pertama, Jaga keselamatan anda, supaya dengan keselamatan ini anda akan lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan dalam emosi yang baik.

Kedua, Jaga Kesihatan, kerana bila badan sihat kita akan mampu untuk melaksanakan apa juga tugasan khususnya dalam menjawab soalan peperiksaan.

Ketiga, Sentiasa berusaha membuat ulangkaji pelajaran tanpa mengira baki masa yang ada kerana sesungguhnya setiap masa itu amat bermanfaat dan sangat penting dalam usaha anda untuk mencapai kejayaan.

Keempat, Sentiasa berdoa kepada yang maha Esa semoga segala usaha yang telah anda laksanakan akan diberkati dan anda dapat melaksanakan tanggungjawab untuk menjawab peperiksaan ini dengan baik.

Kepada para ibubapa semua teruskan untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak masing-masing semoga dorangan dan sokongan itu akan meletakkan anak-anak kita lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan dalam keadaan yang tenang dalam keadaan emosi yang baik serta lebih berkeyakinan untuk menjawab soalan peperiksaan nanti.

Akhir sekali kepada anak-anak semua ingatlah apabila anda memasuki dewan peperiksaan anda bakal membawa 2 perkara iaitu harapan ibu bapa dan cita-cita anda.

Buat yang terbaik dalam menjawab peperiksaan, InsyaAllah, KEJAYAAN PASTI MILIK ANDA !

Encik Yusup Haji Mohamad. Pengarah JPWPL. 18 Februari 2023.




Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Negeri dan Pelancaran Program Senergi Dakwah JPWPL 2023

Labuan, 14 Februari : Seramai 68 orang murid daripada 17 buah sekolah rendah di wilayah ini diraikan dalam Majlis Khatam Al Quran Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Masjid Kg Sungai Bedaun.

Majis Khatam Al-Quran merupakan satu program khusus untuk memberi pengiktirafan kepada murid-murid sekolah yang telah berjaya mengkhatamkan al-Quran sebelum  melangkah ke alam persekolahan menengah.

Majlis seumpama ini adalah sebagai suatu sokongan dan motivasi untuk mendidik dan membudayakan generasi muda di peringkat awal persekolahan khasnya untuk terus berusaha menguasai dan mempertingkatkan mutu bacaan al-Quran serta menghayati, memahami isi kandungan al-Quran.

Rakam kenangan: Peserta Khatam AL Quran merakamkan kenangan bersama Pengarah Pendidikan dan tetamu yang hadir.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Encik Yusup Haji Mohamad dalam ucapan perasmiannya mengajak semua murid agar terus istiqamah dalam mempelajari dan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai amalan seharian.

 “Saya percaya, penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan 221 murid tahun 6 yang khatam Al-Quran di wilayah, tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan yang terkandung dalam al-Quran iaitu motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan”.

“Mulai tahun depan kita minta ustaz ustazah di semua sekolah dapat memastikan semua murid dapat membaca Al-Quran semasa di tahun tiga. Bagi murid tahun 4, saya minta sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, anak-anak ini membaca Al-Quran satu muka surat sahaja setiap hari”. katanya lagi.

Tersusun rapi: Peserta khatam al quran begitu tekun memperdengarkan bacaan beramai-ramai.
Khusyuk : Encik Yusup (tengah) bersama para tetamu mendengar bacaan peserta khatam

Beliau turut  tertarik dengan slogan  “Adab Dahulu Baru Ilmu” kerana katanya untuk melahirkan insan yang  berilmu, perlu didahului dengan adab. Ini dapat direalisasikan dengan kerjasama semua pihak dalam pembinaan jati diri murid disamping menerapkan ilmu seperti yang kita laksanakan pada hari ini.

Pelancaran Program Sinergi Dakwah Peringkat Jabatan turut diadakan dalam majlis tersebut. Antara aktivitinya ialah Tafaquh Fiddin setiap pagi  Jumaat, sambutan hari kebesaran Islam, Ihya’ Ramadan, Ziarah Ramadan, Korban Berkelompok.

Pelancaran: Encik Yusup melancarkan Sinergi Dakwah Peringkat jabatan

Hadir dalam majlis itu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Puan Noraini Sabudin, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Yang Di-pertua Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan W.P. Labuan Puan Dg Sarifah A.Mahmod, Pengerusi Masjid Kampung Sungai Bedaun Tuan Hj Mingu Hj Matnoh, Guru Besar SK Kerupang Puan Hajah Aini Salleh, Guru Besar SK Rancha-Rancha  Encik Jaafar Matusin, Guru Besar SK Pekan Dua Encik Abdul Rahman Salim dan Pegawai-pegawai JPWPL.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Encik Yusup menyampaikan sijil penyertaan kepada ustaz Muhammad Fakhrurrazi daripada SK Lubuk Temiang
Tuan Hj Mingu menerima sijil dan cenderamata daripada Encik Yusup
Kemas tersusun: Peserta khatam bergambar kenangan bersama tn pengarah dan tetamu jemputan
Para tetamu menunjukkan buku khatam yang disediakan oleh urus setia



KUNJUNG HORMAT DAN JALINAN KERJASAMA ANTARA JABATAN PENDIDIKAN WP LABUAN DAN PANGKALAN UDARA (TUDM) WP LABUAN: SESI MENANDATANGANI SURAT HASRAT UNTUK BEKERJASAMA

02 Februari 2023 –  Sekitar kunjungan hormat Pengarah Pendidikan JPWPL, Tuan Yusup bin Hj Mohamad dan  sesi menandatangani surat hasrat bersama Komander Pangkalan Udara TUDM WP Labuan, Yang Berbahagia Brig. Jen. Hj. Muhammad Taha bin Hamdan. Pertemuan dua hala ini adalah bertujuan untuk mengeratkan jalinan kerjasama dan kolaborasi antara JPWPL dengan PU TUDM WP Labuan khususnya dalam aspek pendidikan yang berkaitan urusan melibatkan sekolah khususnya Sekolah Kebangsaan Membedai.

Selain daripada itu melalui kunjungan ini kedua-dua pihak telah bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman serta membincangkan kerjasama yang boleh diwujudkan bagi meningkatkan tadbir urus, pembangunan, kolaborasi dan perkongsian idea di antara keduanya.

Pengarah Pendidikan JPWPL telah diringi bersama En. Boney (Ketua Penolong Pengarah, Sektor Infrastruktur dan Perolehan), Pn.Zailiana Zainol (Penolong Pengarah, Sektor Perancangan), Pn. Cheng Pau Ching (Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah) dan Pn. Mariati Said (Penolong Kanan HEM, SK Membedai). Manakala Mej Hamka bin Mohd Harith (Pegawai Pendidikan, PU Labuan) turut hadir bersama dan menerangkan fungsi dan peranan ATM dalam Pendidikan.

Semoga kunjungan hormat ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan JPWPL dan PU TUDM WP Labuan demi penambahbaikan dan keberkesanan pendidikan. Jabatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Komander Pangkalan Udara TUDM WP Labuan di atas kesudian menerima kunjungan hormat ini.




Bakat Pemain Boling Padang SMK Pantai Cemerlang

Labuan, 16 Januari – Pemain-pemain boling padang SMK Pantai telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan peringkat WP Labuan.

Nur Aimileeya Ismail murid tingkatan dua SMK Pantai merupakan pemenang pingat emas kategori Women Fours Kejohanan SUKMA 2022.

Baru-baru ini pada 1 Januari 2023 Nur Aimileeya bersama pasukannya telah berjaya menjadi johan dalam Kejohanan Lawn Bowls Open Triples yang berlangsung di Arena Boling Padang WP Labuan dan memenangi hadiah RM6000.00.

Sementara itu Nur Farah Faizah binti Roziman murid tingkatan satu SMK Pantai muncul sebagai naib johan kejohanan tersebut bersama pasukannya iaitu abang dan kakaknya dan memenangi hadiah RM4000.00.

Tempat ketiga juga dimenangi oleh Nur Khairunnisa murid tingkatan 4 SMK Pantai bersama pasukannya dan memenangi RM2000.00.

Pihak sekolah akan terus memberi sokongan dan dorongan agar lebih ramai murid SMK Pantai menyertai dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam permainan boling padang. Kerjasama dan sokongan ibu bapa juga merupakan faktor utama kejayaan murid-murid berkenaan.

Semoga kejayaan murid-murid ini akan membantu WP Labuan mencapai kejayaan dalam sukan boling padang peringkat kebangsaan dan berharap suatu hari nanti ada di antara murid-murid ini yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan boling padang peringkat antarabangsa.

Berita Oleh : SMK pantai

Nur Farah Faizah (3 dari kiri) bersama pasukannya dan pasukan lawan.
Nur Khairunnisa (tengah) bersama rakan sepasukan



Murid SMK Pantai Meraih Kejayaan Taekwondo Antarabangsa

Labuan, 10 Januari – Dua orang murid SMK Pantai telah meraih kejayaan membanggakan dalam kejohanan taekwondo peringkat antarabangsa pada akhir tahun 2022.

Rosyam Qusyairi bin Aspar murid Tingkatan 4 SMK Pantai telah memperolehi satu pingat emas dalam Kejohanan AOT Cup 3rd Open International Taekwondo Championship 2022  yang berlangsung pada 28-20 Disember 2022 di Ryan International School, Bengaluru India.

Kejohanan tersebut disertai oleh 7 buah Negara iaitu India, Malaysia, Ethiopia, Ghana, Amerika Syarikat, Nepal dan Bangladesh.

Rosyam merupakan peserta tunggal dari WP Labuan bersama 10 orang peserta lain mewakili Malaysia bertanding di bawah Kelab Taekwondo MTH (WTF).

Encik Ismail bersama pemenang pingat emas Rosyam Qusyairi (kiri) dan pemenang pingat perak Mohammad Farish (kanan)

Sementara itu, Mohammad Farish Shamir bin Kasmir, murid Tingkatan 4 SMK Pantai telah berjaya memenangi pingat perak dalam Kejohanan 2nd Korea Ambassador Cup yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam. Kejohanan disertai oleh Malaysia, Korea dan Negara Brunei Darussalam. Mohammad Farish Shamir juga menyertai kejohanan tersebut di bawah Kelab Taekwondo MTH (WTF),

Diharap pencapaian kedua-dua murid ini akan meningkatkan semangat mereka untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun ini dan memupuk minat murid-murid lain untuk terlibat dalam aktiviti Taekwondo.

Phak sekolah akan terus memberi galakan dan sokongan kepada murid-murid selaras dengan slogan “SMK Pantai Mengangkat Martabat Murid” dan salah satu Fokus Kerja 2023 SMK Pantai iaitu “Pengantarabangsaan”.

Berita Oleh : SMK Pantai




Majlis Apresiasi Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah JPWPL

Labuan, 10 Disember – Jabatan Pendidikan WP. Labuan telah menganjurkan Majlis Apresiasi Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah bagi menghargai sumbangan semua pihak yang telah menjayakan penganjuran bengkel dan kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KT12L), peringkat kebangsaan bagi tahun 2022.

Majlis ini telah dilaksanakan di Hotel Tiara WP Labuan dengan dihadiri oleh 18 orang tetamu yang terdiri daripada para pegawai di Sektor Perancangan, barisan Jurulatih Utama, pasukan penyiar rasmi dan ahli jawatankuasa teknikal yang dilantik. Turut hadir bagi merasmikan majlis ini ialah Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran yang juga merangkap Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Di majlis ini, semua jurulatih utama, pasukan penyiar dan jawatankuasa teknikal diberikan sijil penghargaan di atas sumbangan mereka menjayakan bengkel dan kolokium KT12L 2022. Sebanyak 4 siri bengkel telah dilaksanakan yang bermula pada 18 Mei – 01 Julai 2022 melalui siaran langsung di YouTube dan aplikasi Google Classroom manakala acara kolokium pula telah dilaksanakan selama 3 hari bermula pada 15 – 17 Julai 2022 melalui siaran YouTube. Seramai 120 orang pembentang telah membentangkan kertas kajian tindakan mereka dengan menggunakan Teknik 12 Langkah iaitu satu teknik menjawab 12 soalan mudah bagi menghasilkan penulisan kajian tindakan yang dicipta oleh Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Labuan, Puan Suriani Alland Rice Oxley.

Dimajlis ini, turut diumumkan nama 5 orang peserta bengkel dan kolokium KT12L 2022 sebagai penerima anugerah iaitu Dr. Lingaswaran Arjunan dari SMK Menglembu, Perak (Anugerah Pembentang KT12L 2022 Terbaik), Puan Savina A/P A. Saiman dari SMK Seri Budiman Gerik, Perak (Anugerah Persembahan Video KT12L 2022 Terbaik), Puan Chung Fui Han dari SM All Saints Kota Kinabalu, Sabah (Anugerah Penulisan KT12L 2022 Terbaik), Puan Zaleha Binti Pump @ Pumb dari SMK Pantai, WP Labuan (Anugerah Khas Juri KT12L – Labuan Bisai 2022) dan Puan Hajah Ruhani Binti Said dari SM Sains Banting, Selangor (Anugerah Khas Juri KT12L – Semangat Waja 2022). Kesemua penerima anugerah masing-masing menerima sijil anugerah dan plak.

Teknik 12 Langkah dalam penulisan kajian tindakan ini telah menjadi produk utama Jabatan Pendidikan WP Labuan dalam membantu para pendidik untuk menambahbaik amalan mereka melalui kajian tindakan semenjak tahun 2018. Pada tahun 2022 ini, Teknik 12 Langkah telah berjaya dibukukan dan dilancarkan oleh Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad pada 30 September 2022 di majlis perhimpunan bulanan pendidikan yang diadakan di Bilik Benua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan WP Labuan. Kini, buku dan Teknik 12 Langkah ini bukan sahaja digunakan oleh para pendidik di WP Labuan malahan telah digunakan secara meluas di seluruh Malaysia.

Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad merasmikan pelancaran buku Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah dengan disaksikan oleh (dari kiri) Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Puan Suriani Alland Rice Oxley, Puan Faridah Amit, En Yahya bin Ahmad Puteh dan Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dari gambar kiri : Encik Yahya bin Ahmad Puteh menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Hasnan Mohd Saad (Jurulatih Utama), Puan Samsuria Ebni (Ketua Penyiaran) dan Encik Jefery bin Undang (AJK Teknikal).

Puan Suriani Alland Rice Oxley menyerahkan buku Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah kepada Datuk Pkharuddin Ghazali (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia) sambil disaksikan oleh Tuan Raisin bin Saidin (Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian), Encik Yusup bin Mohamad (Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan) dan En Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPN WP Labuan)

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran




Fun Run JPWPL Melakar Sejarah

LABUAN- Semangat kesukanan yang tinggi dan amalan gaya hidup sihat di kalangan warga Pendidikan di wilayah ini menjadi mercu kejayaan pelaksanakan Fun Run JPWPL tahun 2022 yang telah diadakan di Padang Majal pagi tagi.

Fun Run JPWPL merupakan salah satu daripada aktiviti Karnival Sukan Jabatan Pendidikan yang telah dilaksanakan bermula 26 November yang lalu. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah Pertandingan Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Tampar, Badminton dan Golf.

Aktiviti ini selaras dengan usaha kerajaan mengambil langkah yang bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara yang bersukan bukan sahaja di sekolah bahkan di peringkat jabatan sekaligus dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas, aktif dan produktif.

Seawal jam 6.30 pagi para peserta telah berhimpun di tapak perhimpunan untuk sama-sama melakukan aktiviti senam aerobik yang diketuai oleh Zin Tony.

Pelepasan peserta Fun Run telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh mewakili tuan pengarah tepat jam 7.30 pagi. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Puan Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Noraini Sahbudin, Ketua Penolong Pengarah Unit Bakat Murid Encik Samsul Mandisin, Guru besar, pegawai jabatan guru-guru, ibu bapa dan murid-murid.

Penyampaian hadiah cabutan bertuah telah menyemarakkan lagi kemeriahan Fun Run biarpun dalam suasana hujan. Hadiah utama berupa basikal lipat telah dimenangi oleh Encik Mohammad Firli Firzuan.




Pengukuhan Sukan Sepak Takraw Sekolah Rendah Labuan

Labuan, 9 Dis – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan kerjasama Bahagian Sukan kokurikulum dan kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw sekolah rendah bertempat di Dewan Arena Bukit Kuda pada 7 dan 8 Disember baru-baru ini.

Pegawai BSKK, Encik Badrol Nizam bin Hamzah dalam ucapannya berkata, pihak KPM telah melakukan road show ke semua negeri bagi program pengukuhan sukan sepak takraw ini dan W.P. Labuan merupakan negeri terakhir dalam misi tersebut.

Beliau berkata, sekiranya murid mempunyai potensi untuk diketengahkan, mereka ini akan dibawa ke pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri atau sekolah sukan Malaysia. Peluang yang sangat cerah untuk mereka menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam bidang Sains Sukan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada murid sekolah menonjolkan kebolehan dan bakat masing-masing.”

“Ini adalah satu usaha menyeluruh untuk melihat dan memastikan potensi murid dapat dioptimumkan selain mengesan bakat sukan baharu”.

Menurut penyelaras program Encik Aznan Abidin, Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw ini membabitkan 5 buah sekolah di WP Labuan iaitu SK Kerupang, SK Sungai Bedaun , SK Tanjung Aru ,SK Pantai dan SK Bebuloh dengan penyertaan seramai 40 orang murid beserta jurulatih masing-masing.

Program ini telah dibimbing oleh 3 mentor daripada jurulatih sepak takraw negara iaitu Encik Hasrul Abd Halim dan Encik Azmi bin Abd Ghani dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar Johor dan Encik Mohd Faisal bin Mohamad daripada Sekolah Sukan Malaysia Terengganu.




Raikan Bakatmu Sanjung Budimu

Labuan, 6 Disember – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Majlis Raikan Bakatmu Sanjung Budimu bersama murid-murid,warga pendidik dan rakan strategik JPWPL di Desa Tunas, Kampung Sungai Lada petang tadi.

Majlis tersebut merupakan satu pentas untuk memberi penghargaan kepada murid, guru dan sekolah dalam bidang sukan, kokurikulum, hal ehwal murid, ko-akademik, kelab dan persatuan, kesenian, stem, badan beruniform, dan pusat kokurikulum.

Di samping memberi penghargaan kepada mereka yang telah membawa nama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan di peringkat kebangsaan mahupun peringkat Antarabangsa melalui pelbagai program dan pertandingan yang disertai.

Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Haji Mohamad dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah pada hari ini.

Sepanjang tahun 2022, pelbagai program dan pertandingan telah dilaksanakan di peringkat negeri mahupun kebangsaan di bawah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dan juga Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program-program serta pertandingan yang dijalankan dilihat mampu meningkatkan lagi kemenjadian murid dari pelbagai aspek tidak hanya di dalam bilik darjah. Dari segi pencapaian, Labuan tidak terlepas dari menempah nama di kedudukan 5 teratas daripada 16 negeri yang terdapat di Malaysia dalam acara tertentu.

“Ini telah membuktikan murid-murid di Labuan mempunyai potensi untuk bersaing dengan murid-murid negeri lain di peringkat kebangsaan. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan akan memberikan impak signifikan ke arah pencapaian yang lebih unggul.” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Majlis Raikan Bakatmu Sanjung Budimu telah disempurnakan oleh Encik Yusup Haji Mohamad, Turut hadir Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah (TP) Sektor Pembelajaran, Puan Kamariah Salim Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam menjalankan tugas TP Sektor Pembangunan Murid.

Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Encik Ismail Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Puan Dg Sarifah A.Mahmood, barisan pengurusan tertinggi jabatan, Pengetua, Guru Besar, Pegawai-pegawai jabatan, guru-guru,anggota kumpulan pelaksana dan murid-murid.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan sumbangan Yayasan Tun Hussin Onn kepada guru-guru yang sedang menjalani rawatan kesihatan serta penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik JPWPL.