Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Tubuhkan Kumpulan Kugiran Pendidikan

Labuan, 03 Disember –  Jabatan Pendidikan WP.Labuan sekali lagi melakar sejarah dengan tertubuhnya kumpulan band atau kugiran pendidikan. Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad, selama 20 tahun kewujudan Jabatan Pendidikan WP.Labuan, inilah kali pertama Jabatan Pendidikan mempunyai kumpulan kugirannya sendiri.

Penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini yang telah diinisiatifkan oleh Sektor Pembelajaran dibawah Unit Sains Sosial adalah bertujuan untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik di WP.Labuan. Ini adalah kerana mata pelajaran pendidikan muzik merupakan mata pelajaran yang boleh membantu mempertingkatkan pelbagai aspek perkembangan dan kemahiran murid-murid di sekolah. Melalui muzik dan nyanyian juga, tingkah laku yang positif di kalangan murid-murid dapat dipupuk.

Strategi untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik ini telah diatur semenjak bulan Julai melalui aktiviti pementoran pengajaran dan pembelajaran (PdP) pendidikan muzik di bilik darjah oleh SISC+ Sains Sosial, bengkel asas bermain alat muzik dan teknik vokal kepada guru-guru muzik bukan opsyen oleh kumpulan fasilitator yang major dalam pendidikan muzik serta aktiviti pemantapan kemahiran bermain alat muzik dan vokal dalam kalangan guru-guru muzik yang opsyen melalui sesi ‘jamming’.

Selain guru-guru, strategi ini juga mensasarkan mana-mana warga pendidikan yang berbakat dan berminat dalam seni muzik untuk bersama-sama memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik ini melalui gandingan persembahan muzik dan nyanyian di atas pentas. Pemantapan kemahiran dalam teknik vokal, membaca not dan bermain alat muzik di kalangan guru-guru muzik akan membantu mereka untuk melaksanakan PdP pendidikan muzik yang berimpak.

Di majlis pelancaran penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad telah melakukan gimik memetik gitar dengan diiringi oleh Timbalan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Selepas upacara gimik pelancaran, para tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu ‘Sway’, Original Sabahan dan Gemilang oleh kumpulan kugiran pendidikan yang terdiri daripada Cikgu Romeno Suali (SKK ST Anne) selaku pemain gitar bass, Cikgu Bryandevon Bin Dahreen (SK Pantai) selaku pemain ‘lead guitar’, Cikgu Eben Ezer Pengiran (SK Pekan Satu) selaku pemain drum, Encik Denny Kindamin (Sektor ICT) selaku pemain kibod dan Cikgu Charlie Ginsin (SJKC Chung Hwa) serta Encik Mohd Marzukqi bin Madun (SK Sungai Lada) sebagai vokalis utama kumpulan. Turut bersama di dalam kumpulan kugiran pendidikan ini ialah jurutera bunyi iaitu Cikgu Mohd Noor Izuan Anuar dari SSTP Labuan.

Tuan Pengarah JPN WP Labuan melakukan gimik memetik gitar dengan diiringi oleh kumpulan kugiran pendidikan. Turut bersama ialah Tuan Timbalan Sektor Pembelajaran (berdiri no.3 dari kiri) dan Puan Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial (berdiri no.1 dari kiri)

Encik Yusup bin Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Timbalan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial Puan Murni binti Jaafar, Penolong Pengarah Unit Sains Sosial Encik Mohd Reno bin Mohd Idris dan ‘School Improvement Specialist Coaches’ (SISC+) Unit Sains Sosial iaitu Cikgu Suriani Alland Rice Oxley yang telah berjaya menguruskan penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini. Beliau juga mengucapkan tahniah dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan pemikir pendidikan muzik, kumpulan fasilitator muzik dan semua ahli kumpulan kugiran pendidikan terutamanya kepada para penyanyi dan pemain muzik yang terlibat dengan acara persembahan dimajlis pelancaran ini. Semoga inisiatif untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik di WP.Labuan ini akan memberi impak kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial murid-murid, guru-guru dan seluruh warga pendidikan di WP.Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran




Program Cambahan Ilmu Mata Pelajaran Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah W.P Labuan

Labuan, 01 Disember – Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP.Labuan di bawah Unit Sains Sosial, telah menganjurkan Program Cambahan Ilmu bagi mata pelajaran Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Program Cambahan Ilmu ini merupakan program perkongsian amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh Panitia Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual dari 4 buah sekolah menengah yang terlibat dengan Program Transformasi Daerah (DTP) iaitu SMK Labuan, SMK Pantai, SMK Mutiara dan SMK Lajau di Desa Tunas Hijau WP Labuan.

Kedua-dua panitia ini merupakan panitia mata pelajaran yang dibimbing oleh Suriani Alland Rice Oxley (School Improvement Specialist Coaches @SISC+). Program bimbingan panitia mata pelajaran ini dilaksanakan secara individu dan berkumpulan dengan menggunakan Modul Pemimpin Pertengahan yang berkonsepkan teknik mereflek amalan kendiri yang dihasilkan oleh SISC+ sendiri.

Program perkongsian ini dilaksanakan secara ‘station gallery walk’ iaitu di setiap stesen, pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri 6 perkongsian amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual di 4 buah sekolah menengah ini.

6 perkongsian amalan terbaik yang dipamerkan di dalam program ini ialah Modul Teknik KK.NI.WA.IS dari Panitia Pendidikan Moral SMK Mutiara yang dihasilkan oleh Cikgu Isah Binti Impih (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Gavin Mak Tien Kee dan Cikgu Anyolevia Benidick. Modul Teknik KK.NI.WA.IS. ialah modul yang membantu murid-murid untuk menjawab soalan esei dengan cara memahami 6 kata kunci soalan iaitu berikan, cerakinkan, huraikan, jelaskan, terangkan dan bincangkan.

Modul Teknik KK.NI.WA.IS, SMK Mutiara

Seterusnya adalah buku Glosari Moral Tingkatan 5 dari Panitia Pendidikan Moral SMK Labuan yang dihasilkan oleh Cikgu Azizan Bin Razali (Ketua Panitia Pendidikan Moral) dan Cikgu Salfinaz Afira Binti Mohd Ismail. Glosari Moral Tingkatan 5 ini mengandungi 68 patah perkataan dalam Bahasa Melayu yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin termasuk penerangan mengenai perkataan berkenaan.

Buku Glosari Moral Tingkatan 5, SMK Labuan

Perkongsian yang ketiga ialah projek Komik Nilai yang menggabungkan antara Panitia Pendidikan Moral dan Panitia Pendidikan Seni Visual SMK Pantai yang dilaksanakan oleh Cikgu IrmaSuzila Binti Ngopil (Ketua Bidang), Cikgu Siti Madihah Binti Mohd Kamal (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Kasnan Josef (KP PSV), Cikgu Maureen Imang Jau dan Cikgu Didie Pilin. Murid-murid Tingkatan 1 – 3 dibimbing untuk menghasilkan komik yang mempunyai elemen ‘nilai moral’.

Selain itu, terdapat juga perkongsian program ‘Exit Card’ oleh Panitia Pendidikan Seni Visual dari SMK Labuan yang dihasilkan oleh Cikgu Afandi Yahya (Ketua Panitia Pendidikan Seni Visual). Beliau mengaplikasikan penggunaan ‘Exit Card’ di dalam PdP ketika sesi penutup. Murid-murid akan menulis perkara yang mereka pelajari semasa PdP dan pada hujung bulan, murid-murid ini akan menganalisis segala kemahiran yang telah mereka pelajari.

Perkongsian kelima adalah dari Panitia Pendidikan Seni Visual, SMK Labuan yang dilaksanakan oleh Cikgu Evy Lovelin Binti Kimlin. Beliau melaksanakan pendekatan PdP PSV di luar bilik darjah yang melibatkan 3 proses (pemerkasaan kefahaman, pengaplikasian kefahaman & penerangan berdasarkan kefahaman) bagi membantu murid-murid untuk mendapatkan TP6 bagi teori seni seperti garisan, rupa, bentuk, jalinan, warna dan ruang yang terdapat dalam satu karya.

Program ‘Exit Card’, SMK Labuan
PdP PSV di luar bilik darjah, SMK Labuan

Perkongsian yang terakhir adalah dari Panitia Pendidikan Moral SMK Lajau yang bertajuk Aktiviti 18 Nilai Universal Moral yang dilaksanakan oleh Cikgu Rachell Maycy Morris Mojolou (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Iz’aannur Syifa binti ismail dan Cikgu Angelin Lee Chai Siah. Aktiviti 18 Nilai Moral merupakan satu program berupa pertandingan seperti ‘word search’, soalan objektif dan soalan subjektif khusus untuk 29 orang murid yang mengambil mata pelajaran pendidikan moral di SMK Lajau.

Aktiviti 18 Nilai Universal Moral, SMK Lajau

Program Cambahan Ilmu ini telah dikunjungi oleh Encik Yusup bin Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan. Turut hadir adalah Encik Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Sektor Pembelajaran), Encik Ismail bin Abdullah (Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Malaysia-Labuan), Puan Murni binti Jaafar (Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial), Puan Suriani Alland Rice Oxley (SISC+ Unit Sains Sosial), para pengetua dan guru-guru Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual di WP Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran




Pengetua-pengetua Labuan Hadiri Persidangan Kebangsaan

Labuan, 3 Nov – Seramai 10 Pengetua sekolah di Labuan telah menghadiri Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia kali-60 yang diadakan di salah sebuah hotel di Langkawi dari 31 Oktober hingga 3 November 2022.

Persidangan tahunan anjuran Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Kebangsaan dengan kerjasama MPSM Kedah kali ini telah berjaya menghimpunkan kira-kira seramai 680 peserta dari seluruh negara.

Menurut YDP MPSM Labuan, Encik Ismail Abdullah, persidangan ini bertujuan untuk menyalurkan informasi terkini berkaitan dasar-dasar pendidikan negara selain berkongsi amalan-amalan terbaik dari seluruh negara.

“Para peserta juga berpeluang untuk menjalinkan kerjasama antara sekolah-sekolah seluruh negara bagi meningkatkan kualiti sekolah dan kemenjadian murid”. katanya lagi yang juga merupakan Pengetua SMK Pantai.

Perasmian persidangan yang bertemakan “Kepimpinan Pendidikan Mendepani Normal Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Pkharuddin bin Ghazali.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar pemimpin-pemimpin sekolah sentiasa meningkatkan kemahiran dalam menangani dunia pendidikan yang dinamik.

“Kita perlu mengubah paradigma ‘Command and Control’ kepada paradigma ‘Trust and Inspire’ dengan menyentuh hati guru-guru dan murid-murid”

Beliau turut menekankan kepentingan semua guru kembali kepada tunjang pembelajaran iaitu membina adab dan nilai yang baik dalam kalangan murid.

“Apabila anak-anak kita baik barulah mudah bagi kita mendidik mereka menjadi cerdik dengan penerapan elemen-elemen intelektual” tambahnya lagi.

Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim menyifatkan penyertaan kali pertamanya di dalam persidangan ini adalah sangat berguna untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sebagai seorang pemimpin di sekolah.

“Saya berpeluang mendengar secara langsung perkongsian hala tuju dan prinsip kerja oleh KPPM, berkongsi pandangan, idea dan pengalaman bersama Pengetua-pengetua lain dalam membangunkan potensi sekolah ke arah yang lebih cemerlang” tambahnya lagi.

Turut serta dalam persidangan tersebut ialah NYDP MPSM Labuan, Puan Hajjah Siti Muslihah binti Leeudin dan Setiausaha MPSM Labuan, Puan Mary Anita Abah.

Para Pengetua Sekolah W.P Labuan



Capai Sasaran : Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik Peringkat Kebangsaan Zon Wilayah Persekutuan Labuan 2022

Labuan, 16 Okt – Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik Peringkat Kebangsaan Zon Wilayah Persekutan Labuan 2022 telah berlangsung dengan jayanya bermula 10 hingga 14 Oktober lalu.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dilaksanakan di Pusat Kokurikulum Negeri W.P Labuan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif yang sangat proaktif dalam menarik minat murid kecerdasan kinestetik khususnya bagi menarik minat murid-murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Penyelaras program, Encik Joe Hellmy bin Jumat dan Encik Abdul Kahar Bin Abdul Rahim berkata antara objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran berfokus kepada layak sijil SPM melalui pendekatan pendidikan luar.

Pada waktu yang sama, membangunkan jati diri murid merangkumi aspek adab dan sahsiah. Selain pembangunan potensi murid dan menyemai integriti budaya di kalangan murid.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Tips Menjawab Cemerlang, Jejak Sejarah & Jejak Marin, Buka Minda, Rentas Halangan dan Orienteering.

Menariknya, murid juga diberi peluang berkayak sambil menikmati keindahan di sekitar Pulau Papan dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga bagi setiap peserta.

Seramai 72 pelajar SPM 2022-2023 yang terpilih iaitu dari SMK Labuan, SSN SMK Mutiara, SMK Pantai IBWS dan SMK Lajau.

Kerjasama yang baik dan kerja sepasukan oleh para peserta
Keseronokan jelas terpancar di wajah para peserta Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik Zon Wilayah Persekutan Labuan 2022
Sesi penerangan dan tunjuk ajar oleh Jurulatih kepada para peserta
Disiplin yang diterapkan dalam program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Kecerdasan Kinestetik

Majlis Penutupan telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa keterujaan, dengan adanya program ini dapat mencapai matlamatnya iaitu meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran berfokus kepada layak sijil SPM melalui pendekatan pendidikan luar.

“Saya amat berkeyakinan semua murid dapat merasakan perubahan dalam diri sendiri terutama bakat yang berjaya diserlahkan semasa mengikuti aktiviti yang telah disusun”.

“Berbaktilah kepada ibu bapa anda dan jangan lupa mendoakan kejayaan kepada diri sendiri dalam menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang”. Encik Raisin Saidin

Majlis perasmian penutupan oleh Encik Raisin Saidin

Aktiviti pembelajaran luar bilik darjah yang mencabar ketahanan fizikal, emosi dan spiritual semua murid merupakan elemen yang mampu mencabar minda murid dalam memastikan aktiviti fizikal yang di gabung jalinkan dengan pembelajaran dapat mewujudkan pembelajaran menyeronokkan.

Keseronokan pembelajaran merupakan faktor yang paling penting dalam memastikan murid-murid menguasai ilmu pengetahuan dengan baik.

Turut hadir, Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Yusup menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Para pelajar dari SMK Mutiara
Encik Raisin Saidin dan Encik Yusup Haji Mohamad bersama para jurulatih dan peserta terlibat



Lahirkan Warisan Generasi ABC : Dialog Prestasi Nasional Bil 2/2022 Kementerian Pendidikan Malaysia

Labuan, 10 Okt – Dialog Prestasi Nasional (DPN) Bil 2/2022 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung di Labuan pada 6 hingga 7 Oktober 2022.

Dialog Prestasi adalah salah satu program utama dalam pelaksanaan Program Transformasi Daerah (DTP) dan merupakan satu forum perbincangan untuk menyemak prestasi berdasarkan data bagi memastikan sasaran KPI dicapai.

Agenda DPN pada kali ini memfokuskan kepada Kluster 2 : Kemenjadian Murid dan Kluster 4 : Kecemerlangan Sekolah/PPD/JPN dengan memberi tumpuan kepada analisis keputusan SPM Tahun 2019-2021 dan Status Prestasi Pencapaian Pengurangan Jurang Berasaskan Bandar Luar Bandar (BLB) dan Jantina Peringkat Kebangsaan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali yang baharu dilantik pada 23 September 2022 menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana diberi peluang menggalas tugas dan amanah yang begitu besar sebagai KPPM yang ke-19.

Beliau berharap amanah ini merupakan amanah bersama demi menyediakan pendidikan yang terbaik untuk warisan anak bangsa generasi akan datang.

Katanya lagi warisan yang perlu kita lahirkan adalah melahirkan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Bila kita bercakap tentang warisan, apa yang kita ingin wariskan adalah Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) yang menjadi impian setiap ibu bapa dan masyarakat. YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali

Beliau menyeru kepada semua warga pendidik dan ibu bapa bersama-sama :

Didiklah anak murid kita dengan cara yang sesuai, apa pun anak yang kita didik mampu melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah diri yang tertinggi. KPPM

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali
KPPM mempengerusikan Dialog Prestasi Nasional Bil 2/2022 secara bersemuka di Labuan dan secara Hybrid melalui Google Meet. Dari kiri Encik Raisin Saidin, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin, Dr. Norisah Suhaili

DPN diakhiri dengan sesi dialog pembentangan Kluster 4 iaitu perkongsian amalan terbaik sekolah, PPD dan JPN. Antara perkongsian ialah Intervensi Peningkatan LMS SPM 2021 (SMK Pantai WP Labuan), Intervensi jurang SES dan jantina (SMK Setapak Indah Kuala Lumpur), Pembelajaran Hibrid : Alternatif Pembelajaran Abad ke-21 (SMK Putrajaya Presint 18(1)), Narrow Cluster Intervension (SMK Taman Universiti 2, Johor), Inovasi Smartzoom (SK Kempadang, Pahang) dan SPM “Easy Access” Peneraju oleh PPD Kuala Terengganu, Terengganu.

Turut hadir dalam Dialog Prestasi Nasional ialah Timbalan KPPM, Sektor Operasi Sekolah, Dr. Norisah binti Suhaili, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian merangkap Pengurus Program DTP, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan selaku tuan rumah Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah-pengarah Bahagian dan Timbalan Pengarah, Pengarah JPN dan PPD Kementerian Pendidikan Malaysia.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada BPSH dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang menjadi urusetia bersama DPN pada kali ini.




KEMINDA 2022 : Eratkan Hubungan W.P Labuan Dengan Pantai Timur Sabah

Labuan, 5 Sept – Program Kembara Minda GPM dan Pengawas Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha (KEMINDA 2022)  yang diadakan di Pantai Timur Sabah telah berlangsung dengan jayanya. Program Kembara Minda ini   telah  dilaksanakan selama 6 hari 5 malam bermula pada 30 Ogos dan berakhir 4 September 2022.

Program yang berorientasikan ‘ Menjelajah Daerah Membuka Minda’ itu telah disertai oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada ketua rombongan Ketua Penolong Pengarah  Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Encik Awang Marten  Datuk Haji Abd Rahman, Puan Suriani Alland Rice Oxley SISC+ Sains Sosial Sektor Pembelajaran, Penolong Pengarah SSTP Puan Norsiah Sulaiman, Penolong Pengarah SSTP Unit Media dan Bahan Pendidikan Encik Mohd Noor Izuan Anuar   , Guru Perpustakaan dan Media serta pengawas pusat sumber SMK Rancha-Rancha.

Program ini adalah kolaboratif antara Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP)  Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan dan Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia cawangan W.P Labuan (PGPMM).

Ahli rombongan KEMINDA 2022 bergambar bersama pentadbir
SK Kg Titingan Tawau Sabah

Tujuan pelaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan usaha dan kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan bagi mentransformasi guru serta pelajar  ke arah kejayaan dan kelestarian hidup di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara GPM dan pengawas pusat sumber sekolah dengan masyarakat di tempat dilawati.

Selain itu, program ini juga dapat memberi peluang kepada para guru serta pelajar untuk mempelajari teknik perancangan program, aplikasi konsep dan prinsip pengurusan Pusat Sumber Sekolah serta mempelajari budaya dan gaya hidup masyarakat di Pantai Timur Sabah.

Selari dengan konsep ‘Menjelajah Daerah Membuka Minda’  pihak penganjur telah mengadakan lawatan ke beberapa daerah di pantai timur Sabah. Daerah pertama yang dilawati ialah Tawau.

Pengawas Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha bergambar bersama pengawas Pusat Sumber Al Fateh Titingan Tawau Sabah

Rombongan Kembara Minda sampai ke Daerah Tawau pada 1 September 2022. Sekolah pertama yang dilawati ialah SK Kg. Titingan Tawau Sabah. Di sini ahli rombongan telah diraikan oleh pentadbir sekolah yang diketuai oleh Guru Besar Encik Beddu Dollah, Ikon GPM Kebangsaan En Prasad Ridwan, pengawas pusat sumber sekolah serta ahli komuniti setempat.

Rombongan telah dibawa melawat rangkaian PSS SK Kg. Titingan di rumah Puan Jumatia Samsuddin . Apa yang menariknya di rumah puan Jumatia Samsuddin ini  hampir semua ruang dan dinding telah disusun dengan buku dan poster bermaklumat.  Rangkaian PSS SK Kg. Titingan ini selalu dikunjungi oleh penduduk dan para pelajar. Setelah menandatangani sijil jaringan antara kedua-dua belah pihak, ahli rombongan telah disajikan makanan masyarakat tempatan.

Melawat rangkaian pusat sumber komuniti SK Kg Titingan Tawau

Destinasi Kembara Minda diteruskan lagi dengan dibawa melawat ke sekolah SJK Yuk Chin Tawau. Ahli rombongan  telah disambut dengan pukulan gendang Cina oleh pelajar sebagai  tanda mengalu-alukan kehadiran ahli rombongan ke sekolah mereka. Sesi taklimat bersama pentadbir sekolah dengan ahli rombongan telah diadakan di Bilik Mesyuarat utama SJK( C ) Yuk Chin . Guru Besar sekolah Puan Pang Dan Fung memberi penerangan panjang lebar tentang program sekolah dan pusat sumber.   

Pada tahun 2021 Pusat Sumber  SJK ( C ) Yuk Chin telah mendapat Johan pertandingan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan. Kami berpeluang melawat sekitar Kawasan sekolah dan PSS sekolah ini. Rata-rata ahli rombongan berasa sangat kagum dengan kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah dan PSS.

Pada sebelah petangnya, rombongan telah mengadakan kunjung hormat di Pejabat Unit Sumber Teknologi Pendidikan Daerah Tawau. Ketua Unit Sumber Teknologi Pendidikan PPD Tawau Encik Jumaan Baharun Sashop telah menyambut kunjungan ahli rombongan bersama pegawai yang lainnya. Ahli rombongan telah ditaklimatkan tentang operasi dan sejarah Unit Sumber Teknologi Pendidikan Daerah Tawau. Sepanjang lawatan Kembara Minda di Tawau, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran Daerah Tawau Encik Noor Kahal turut mengiringi ahli rombongan.

Ahli rombongan membuat kunjungan hormat di Pejabat Unit Sumber Teknologi Pendidikan Daerah Tawau

Pada 3 September 2022, rombongan Kembara Minda telah melawat di Sekolah Menengah Bugaya Semporna Sabah. Ahli rombongan telah diraikan dengan meriah. Kehadiran ahli rombongan telah disambut oleh Cikgu Zamilah Abidin Guru Perputakaan dan Media bersama barisan pentadbir sekolah.  Seperti biasa , ahli rombongan telah diberikan taklimat ringkas oleh pengetua sekolah iaitu Puan Hjh Rozita Anju. Setelah selesai sesi taklimat, ahli rombongan telah dibawa melawat pameran yang diadakan di dewan terbuka sekolah seterusnya ke Pusat Sumber Sekolah.

Ahli Rombongan berada di SMK Bugaya Semporna Sabah
Majlis menandatangani sijil jaringan antara kedua-dua pihak di SMK Bugaya Semporna, Sabah.

Ketika  menjamu selera, pihak sekolah juga telah mengadakan persembahan tarian igal-igal untuk hiburan ahli rombongan. Peserta rombongan daripada Labuan berasa sangat teruja dengan sambutan yang dibuat oleh SMK Bugaya Semporna Sabah.

Ketua Penolong Pengarah SSTP Labuan En Awang Marten dibawa melawat pameran di Dewan Terbuka SMK Bugaya Semporna

Destinasi terakhir Kembara Minda GPM dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah SMK Rancha-Rancha  di Pantai Timur Sabah berakhir di Kota Kinabalu Sabah. Pada 4 September 2022 peserta Kembara Minda telah berpeluang melawat Perpustakaan Induk Negeri Sabah.

Ahli rombongan telah diberikan taklimat oleh Pembantu Perpustakaan iaitu Puan Aine Naddia Samin. Taklimat diberikan berkaitan sejarah dan program Perpustakaan Induk Negeri Sabah. Pihak pengurusan juga menyediakan sarapan pagi kepada ahli rombongan Kembara Minda . Di akhir program ahli rombongan telah dibawa melawat ruang dan bilik-bilik khas yang terdapat di Perpustakaan Induk Negeri Sabah.

Ketua Penolong Pengarah SSTP Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Encik Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman berharap melalui program ini, Guru Perpustakaan dan Media Labuan serta pengawas PSS dapat bertukar-tukar idea dalam pengurusan pusat sumber sekolah antara kedua-dua pihak.

Percambahan ilmu ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti kerja dan prestasi dalam menghasilkan kejayaan serta kecemerlangan sekolah. Selain itu, jaringan antara sekolah juga telah dilaksanakan di mana kerjasama yang dimeteri merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan pengurusan pusat sumber sekolah. Kerjasama ini pastinya dapat memberi impak dalam masa jangka panjang.

Kembara Minda GPM Labuan dan Pengawas PSS SMK Rancha-Rancha berada di Perpustakaan Negeri Sabah



SMK Labuan Catat Keputusan STPM Memberangsangkan

Labuan, 22 Ogos – Pengumuman Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Kohort 2021/2020 telah diumumkan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad Khamis lalu.

Pengumuman secara dalam talian dipancarkan khas dari Kota Kinabalu yang telah disaksikan oleh semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan dan para pelajar yang telah menduduki peperiksaan STPM Kohort 2021/2020.

Secara keseluruhan, prestasi W.P. Labuan bagi lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada tahun 2021 bagi calon sekolah kerajaan ialah 96.75% dengan pencapaian Gred Purata Negeri ialah 2.50.

Seramai 41 daripada 154 orang calon yang telah menduduki peperiksaan ini ialah calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas iaitu 26.62% berbanding 36 calon bersamaan 26.47% tahun lalu.

Adik Nurdiana Binti Mohd Ali telah diumumkan sebagai pelajar terbaik STPM 2021 peringkat W. P. Labuan ialah dengan pencapaian PNGK 3.92. Sementara adik Norhalyna dan adik Dahlia Farisah binti Derin masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga terbaik pencapaian STPM dengan mendapat PNGK 3.84 secara bersama.

Para pelajar dan ibu bapa menunggu keputusan STPM dengan penuh debar

Antara mata pelajaran yang mencatatkan 100% lulus ialah mata pelajaran Kimia, Matematik [T] dan Fizik. Sementara mata pelajaran yang lain turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

En. Yusup dalam ucapan pengumuman ini turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas peperiksaan STPM 2021 yang telah dapat menjalankan tugas dengan cemerlang dan dapat melaksanakan urusan pengendalian STPM 2021 dengan jayanya walaupun sedang berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 pada ketika itu.

“Saya berharap agar kejayaan mereka akan menjadi pendorong kepada murid- murid lain untuk mencipta kecemerlangan yang lebih hebat pada masa akan datang. Saya yakin kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada usaha dan perancangan yang rapi pihak sekolah, ibu bapa, pelajar dan guru-guru”. kata beliau.

Turut hadir dalam pengumuman tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Encik Sawal Salleh, Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, Encik Saminan Sabtu dan YDP PIBG, Encik Yusuf bin Haji Chu Chu.

Berita Oleh : SMK Labuan




Penyediaan Pelan Tindakan Terbaik : Bengkel Kerja Inisiatif DTP #54 Tahun 2022 Dan Post-Mortem SPM 2021

Labuan, 19 Ogos – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Bengkel Kerja Inisatif DTP #54 dan Post-Mortem SPM 2021 di Kota Kinabalu pada 17 hingga 19 Ogos 2022.

Inisiatif Program Transformasi Daerah (DTP) dibangunkan bertujuan memacu prestasi sekolah melalui pelan intervensi bagi merealisasikan usaha peningkatan kemenjadian murid.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad berkata keputusan SPM 2021 merupakan pencapaian dan peningkatan yang cukup membanggakan dari segi layak menerima sijil, peratus lulus dan gred purata negeri.

Beliau amat menghargai komitmen pihak sekolah, pentadbir sekolah dan guru-guru di atas pencapaian ini.

“Menjadi satu cabaran bersama untuk mengekalkan serta meningkatkan lagi pencapaian SPM di tahun mendatang”.  Encik Yusup Haji Mohamad.

 Justeru itu pihak jabatan, sekolah dan guru-guru perlu sentiasa bekerjasama secara sepasukan bagi menyediakan pelan tindakan yang terbaik demi mengekalkan produk kemenjadian anak-anak murid di Labuan.

Datuk Dr Amin Senin, Encik Yusup Hj Mohamad bersama pengurusan tertinggi JPWPL

Dalam majlis yang sama, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menjemput YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) untuk sesi perkongsian mengenai dunia pendidikan di Malaysia.

Katanya, guru digalakkan untuk menambah baik pembelajaran murid mengikut tahap keupayaan melalui kepelbagaian kaedah dan kreativiti pengajaran sesuai dengan era pembelajaran digital masa kini.

“Pendidikan Mengangkat Nilai, Maruah dan Harga Diri Murid”, Datuk Dr. Amin Senin.

Melalui bengkel ini, sesi post-mortem, perkongsian, perbincangan dan pembentangan intervensi sekolah oleh para pengetua serta program task force SPM 2022 telah berjaya dilaksanakan.

Perkongsian Pendidikan : Pembelajaran Digital oleh Datuk Dr Amin Senin



Sambutan Aidiladha 2022, Ibadah Korban Anjuran PEKDIS Labuan Kembali Meriah

Labuan, 13 Julai – Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah (PEKDIS) Cawangan Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah menganjurkan korban berkelompok di perkarangan Pusat ko-Kurikulum, Kampung Ganggarak baru-baru ini.

Pelaksanaan ibadah korban kali ini kembali disambut dengan penuh rasa syukur dan meriah selepas dua tahun terikat dengan SOP susulan pandemik Covid-19.

Walaupun SOP mengekang Covid-19 dilonggarkan, orang ramai yang hadir untuk membantu menyempurnakan ibadah korban tetap mengamalkan kawalan kendiri pemakaian pelitup muka dan mensanitasi tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian. Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan pada pagi 10 Zulhijjah iaitu sejurus solat sunat hari raya Aidil Adha.

Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim berkata, bagi memastikan kelancaran program, pihak urus setia sentiasa mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dan membuat tinjauan di Pusat Ko-Kurikulum.

Merakam kenangan: Para petugas di bahagian melapah daging sempat merakam gambar bersama tuan pengarah

“Alhamdulillah, kehadiran ramai petugas secara sukarela amat membantu dalam menyempurnakan pengurusan ibadah korban. Seawal pagi ada yang telah menimba lubang kumbahan yang dipenuhi air hujan. Mereka begitu bersemangat membantu menumbangkan lembu untuk penyembelihan.

“Semangat pengorbanan yang ditunjukkan jelas terpancar sepanjang melaksanakan kerja-kerja melapah daging, menimbang, memotong dan membungkus daging,” katanya.

Proses agihan kepada 54 orang asnaf miskin dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan untuk peserta korban sendiri serta agihan untuk sahabat dan jiran terdekat.

Sementara itu, Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan Ustazah Kamariah Salim berkata perancangan untuk program korban ini telah dilakukan sejak Januari lagi di mana para peserta membuat bayaran ansuran.

 “Terima kasih diucapkan kepada semua peserta korban yang begitu bersungguh-sungguh dalam merealisasikan hajat ini. Begitu juga petugas yang datang membantu dan berkongsi juadah yang lazat untuk dinikmati bersama di pagi Aidil Adha.

“Ibadah korban disebutkan oleh al-Quran sebagai syiar Allah di mana terdapat kebaikan untuk umat manusia iaitu bukan sekadar menyembelih lembu.

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad (kiri) dan  Ustazah Kamariah Binti Salim (kanan) bergambar bersama daging korban.

“Kerana itu, di samping kita digalakkan untuk mensyukuri dan mengingati nama Allah semasa menjalankan ibadah korban, kita tidak boleh melupakan ada bahagian yang perlu diberikan untuk mereka yang memerlukan dan alhamdulillah, kita berjaya menyantuni 54 orang asnaf miskin untuk agihan daging korban tahun ini.

“Kesyukuran itu bukan semata-mata amalan peribadi tetapi juga mempunyai sisi kemasyarakatan yang dizahirkan melalui amalan membantu dan memberi makan golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan” katanya lagi.

Kehadiran Tuan Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Hj Mohamad ke Pusat Ko- kurikulum telah menambah seri program tersebut. Beliau turut dibawa meninjau ke kawasan melapah, memotong dan membungkus daging korban. Proses agihan daging dan kerja-kerja pembersihan kawasan berakhir jam 1.30 petang.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad turut hadir memeriahkan majlis dan meninjau proses memotong dan mencincang daging.



Munajat Kesyukuran Mewarnai Sambutan Hari Guru Peringkat WP Labuan

LABUAN, 19 Mei 2022– Munajat Kesyukuran Warga Pendidikan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan dengan jayanya di Masjid Kampung Sungai Bedaun dengan dihadiri seramai 250 orang jemaah yang terdiri daripada warga pendidik seluruh WP Labuan dan kariah setempat.

Majlis yang diadakan saban tahun bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhwah silaturrahim di samping memohon kerahmatan dan keberkatan kepada semua insan yang bergelar warga pendidik samada yang terdahulu ataupun yang masih meneruskan kerjaya tersebut. Majlis ini telah dikelolakan oleh Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam W.P.Labuan.

Pengimarahan Majlis Munajat Kesyukuran ini dimulai dengan solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah yang diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim. Bacaan surah Yasin, tahlil dan doa telah diketuai oleh  ustaz Sahrum Samlan. Manakala tazkirah yang bertajuk “Peranan Pendidik Membina Insan Rabbani”  telah disampaikan oleh pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWPL) ustaz Anuar Mat Saad.

“Bagi membentuk insan rabbani  iaitu yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh, bertanggungjawab dan layak berkhidmat untuk membangunkan keluarga, masyarakat, negara serta ummah semuanya bermula daripada asas iaitu rumah dan sekolah.

Justeru 14 elemen seperti yang dinyatakan dalam Sekolahku SEJAHTERA perlu dihayati dalam jiwa setiap warga pendidik” katanya dalam tazkirah yang disampaikan. 

Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Haji Mohamad. Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon Haji Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Haji Salim, Ketua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Encik Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Sektor Pendidikan Khas Puan Noraini Sabudin, Pengetua, Guru Besar dan warga pendidik di WP Labuan.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kg. Sg. Bedaun Tuan Hj. Mingu bin Hj. Matnoh dan Ketua Kampung Sg. Bedaun Encik Rosmani bin Puteh.

Dalam ucapannya, Encik Yusup merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua guru dan berharap agar guru-guru terus bersemangat untuk meneruskan usaha mendidik anak bangsa.

Beliau turut merafakkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. disamping memohon kesejahteraan dan kerahmatan kepada semua warga yang bergelar guru. Di akhir ucapan beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada SMA MAIWP Labuan kerana mengelolakan majlis dengan jayanya pada tahun ini.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Antara barisan warga guru yang hadir menyemarakkan munajat kesyukuran bersama dengan Encik Yusup dan pegawai jabatan