Kejohanan Majlis Sukan Sekolah WP Labuan Melabuhkan Tirainya Dengan Penuh Dramatik

Labuan, 24 Mac : Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan melabuhkan tirainya Jumaat lepas dengan penuh dramatik.

Kedudukan untuk menentukan juara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah cukup sengit, dengan acara terakhir kejohanan menjadi penentu kemenangan.

Akhirnya dengan catatan rekod baharu kejohanan 3 minit 37.65 saat oleh atlet 4 x 400 Lelaki 18 Tahun, SMK Pantai sekali lagi muncul sebagai juara, disambut dengan kegembiraan dan tangisan para atlet, mahupun jurulatih.

SMK Pantai merangkul 17 pingat emas, 8 perak dan 14 gangsa, hanya dibezakan 1 pingat emas dengan SMK Mutiara yang meraih 16 pingat emas, 10 perak dan 7 gangsa.

Persaingan yang cukup sengit ini mengulangi skrip catatan pungutan pingat emas kejohanan tahun lalu, dengan SMK Pantai juga merangkul 17 emas dan SMK Mutiara meraih 16 emas. Klik sini untuk berita MSSWPL 2018

SMK Labuan kekal di tempat ketiga dengan 11 pingat emas, 9 perak dan 10 gangsa tetapi memperbaiki pungutan emas berbanding 8 emas yang dicipta pada tahun 2018.

Saingan sengit bagi kategori Sekolah Rendah juga tidak kurang hebatnya.

Dengan pungutan pingat yang sama iaitu 3 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa, akhirnya SKK SK Rancha-Rancha dan SK Lubok Temiang diistihar sebagai johan bersama, satu lagi tinta sejarah dalam kejohanan MSS WPL kali ini.

Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan 2019. Sesungguhnya “Anda Semua Adalah Juara”.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan,
Dato’ Sri Haji Amir Bin Hussien.

Dipetik dari Buletin MSSWPL 2019 : Sekalung Tahniah kepada Petugas Buletin SK Bukit Kalam
Klik Sini untuk Buletin Penuh



SPA Menyuntik Semangat Guru-guru Baharu Sekolah Menengah

Seramai 11 guru yang baharu ditempatkan di sekolah-sekolah menengah di Labuan telah mengikuti kursus orientasi selama 2 hari mulai 14 dan 15 Mac 2019 di Bilik Dataran.

Kursus ini dianjurkan oleh Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik (SPA), Encik Yusup bin Mohamad telah mengetuai pegawai SPA dalam pengisian slot selama 3 jam mulai jam 2pm hingga 5pm pada 14 Mac 2019.

Semasa menerang fungsi Sektor Pengurusan Akademik, Encik Yusup turut menyatakan hasrat dan harapan yang tinggi pihak jabatan kepada guru-guru generasi baharu untuk terus mendokong semangat LABUAN HEBAT: Guru Sayang Muridnya.

Guru-guru juga harus peka terhadap tuntutan perubahan sistem pendidikan negara serta fokus dan gerak kerja KPPM seperti yang terkandung di dalam Naratif Baharu Amalan Pendidikan.

Ketua Unit Bahasa, SPA, Puan Amiah Buah juga berkesempatan untuk menerangkan kepada guru baharu mengenai kaedah menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang betul.

Puan Amiah sedang menerangkan kaedah penyediaan RPH yang betul.

Selain itu, antara perkara yang telah diberi penekanan dalam kursus tersebut ialah berkaitan SKPMg2, KBAT dan PAK21.

Sepanjang kursus tersebut, para guru baharu terlibat secara aktif, bersemangat dan memberi respons yang sangat positif.

Di akhir kursus, Encik Yusup berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada 5 guru baharu yang bertuah berbentuk sebuah buku Pembelajaran Abad ke-21 sebagai satu suntikan semangat untuk guru-guru baharu untuk terus mendalami konsep 4C1V dalam amalan PdPc masing-masing.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim, SPA

Encik Yusup menyampaikan cenderamata kepada guru baharu yang bertuah



Kejohanan MSSWPL 2019 Membuka Tirainya

Labuan, 19 Mac : Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) 2019 membuka tirainya secara rasmi hari ini.

Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, di Kompleks Sukan Labuan.

Pada hari pertama kejohanan, kelmarin 18hb Mac, tiga rekod kejohanan telah dipecahkan.

Nazerra Anak Jerah dari SM St Anthony telah berjaya mempertahankan emas dan memperbaharui rekod sendiri dengan catatan baharu 28.06 meter (rekod lama 27.09) dalam acara Merejam Lembing Perempuan Bawah 18 Tahun.

Md Alias Muhammad Junaidi dari SMK Labuan telah berjaya memecahkan rekod kejohanan 1500 meter Lelaki Bawah 18 Tahun Akhir dengan catatan baharu iaitu 4m:37:25s.

Mohd Norhakimin bin Noor Ashikan, SMK Labuan juga memperbaharui rekod sendiri dalam acara dengan lompatan 13.32 meter mengatasi rekod lama 13.02 meter yang diciptanya tahun 2018.

Separuh Akhir Acara 100 meter Lelaki

Setakat jam 4 petang hari ini 19 Mac 2019, sebanyak 5 lagi rekod kejohanan MSSWPL 2019 telah dipecahkan.

  1. Adam bin Kitli, SMK Labuan, 400 M Lari Berpagar Lelaki 18 Tahun Akhir – 58.84 s
  2. Valendra Anting, SM Sains Labuan, 200 M Lari Berpagar Perempuan 15 Tahun Akhir – 32.18 s.
  3. Aizul bin Husin, SSN SMK Mutiara, 200 M Lari Berpagar Lelaki 15 Tahun Akhir – 25.84 s.
  4. Nur Athirah Aliah bt Ali Omar, SMK Pantai IBWS, Lempar Cakera Perempuan 18 Tahun Akhir – 27.41 m.
  5. Ricci Ryan Robin, SKK SK St Anne, Lompat Tinggi Lelaki 12 Tahun Akhir – 1.51 m.

Pengerusi Bersama Pn Dona Binti Undoh (Pengetua SM St. Anthony) dan En. Rosli Bin Mohd Ali (Guru Besar SK Bukit Kallam) mengharapkan agar kejohanan olahraga MSSWPL kali ke-19 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat sambutan yang meriah.

Pada tahun ini, Sekolah Menengah St. Anthony bersama Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam adalah merupakan pengelola bersama.

Selamat bertugas kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Kejohanan MSSWPL 2019.

Kalau bukan kitani, siapa lagi? Ayuh ! sama-sama kita gegarkan dan meriahkan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan di Kompleks Sukan, Labuan bermula 18hb Mac sehingga 22hb Mac (penutup Kejohanan hari Jumaat sebelah pagi ).

Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengalu-alukan kedatangan anda ke Kejohanan MSSWPL 2019 ( 18 Mac – 22 Mac )



Keputusan SPM 2018 Labuan

Labuan, 15 Mac : Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan pencapaian yang lebih baik dari segi peningkatan peratus layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 92.72% berbanding 89.48% tahun 2017, peningkatan sebanyak 3.24%.

Gred Purata Negeri (GPN) tahun 2018 mencatatkan 4.98 berbanding 4.94 pada tahun 2017.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, pencapaian pelajar cemerlang dengan memperoleh A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran meningkat.

Seramai 14 orang pelajar cemerlang bersamaan 1.55% berbanding 13 orang calon iaitu 1.37% tahun 2017, peningkatan sebanyak 0.18%.

Beliau mengumumkan Keputusan SPM 2018 di Dewan Mutiara, Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

Pada keseluruhannya pencapaian sekolah kerajaan di Labuan dalam SPM 2018 untuk setiap mata pelajaran adalah amat memberangsangkan. Daripada 35 mata pelajaran yang diambil oleh calon, 17 mata pelajaran telah mencapai 100%.

Sebanyak 25 mata pelajaran mengatasi pencapaian nasional.

Encik Raisin Saidin, Encik Ismail, Encik Sawal dan Hj Md Yusof bersama pelajar cemerlang SPM 2018

Audrey Agang Teo Li Xin dari SMK Labuan menjadi pelajar terbaik Labuan SPM 2018 dengan memperoleh 9A+ dan 1A.

SM Sains Labuan mencatat 100% lulus dan mencapai Gred Purata Sekolah 2.25.

SMK Rancha-Rancha yang merupakan tahun pertama pelajar sekolah ini menduduki peperiksaan SPM mencapai 100 peratus calon SPM layak mendapat sijil.

Berikut adalah senarai 14 orang pelajar cemerlang SPM 2018 :

  1. Audrey Agang Teo Li Xin, SMK Labuan : 9A+,1A
  2. Janice Su Shi Fen, SMK Labuan : 8A+,2A
  3. Yap Joewin, SMK Labuan : 8A+,1A,2A-
  4. Tan Xuan Jie, SMK Labuan : 7A+,3A,2A-
  5. Nur Syafiqah Amira Lee bt Muhammad Fuad Lee Abdullah, SM St Anne : 7A+,2A
  6. Nor Khalidah bt Sanip, SM Sains : 7A+,2A-
  7. Belle Tan Bei Er, SMK Labuan : 6A+,3A,2A-
  8. Muhammad Asyraf Farhan bin Bacho, SM Sains : 5A+,4A
  9. Shyazrul Amrie bin Rosli, SM Sains : 5A+,4A
  10. Muhammad Ali Syaharzuhdi bin Yusri, SM Sains : 5A+,2A,2A-
  11. Wynette Clarissa Liew Chea Chyee, SMK Labuan : 3A+,6A,1A-
  12. Bennywell Helny Binjamin, SM Sains : 3A+,5A,1A-
  13. Mohammad Ezlii Erzuan Lee bin Lee Kok Keng, SM Sains : 2A+,6A,1A-
  14. Jayne Carey Wong, SMK Labuan : 2A+,5A,3A-
14 Pelajar Cemerlang SPM 2018 Labuan (dan wakil ibu)



STPM 2018 Labuan, Catat Peningkatan Peratus Lulus Penuh

Labuan, 12 Mac – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan peratus lulus penuh daripada 97.50% pada tahun 2017 kepada 98.55% pada tahun 2018, peningkatan 1.05%.

Pencapaian Gred Purata Negeri ialah 2.64 berbanding 2.72 tahun 2017.

Keputusan Peperiksaan STPM 2018 diumumkan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2019.

Untuk rekod, seramai 138 calon sekolah kerajaan telah menduduki peperiksaan ini di Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, di Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 43 orang daripada 146 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan telah berjaya mencapai keputusan PNGK 3.00 hingga 4.00.

Farah Ain Nabilla binti Roslizar mencipta sejarah tersendiri dengan mencatat prestasi sempurna Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Keputusan lain, Nur Faezah binti Dollah (3.92), Suhaila binti Jumarding (3.84). Norliyana binti Mohd Kahalli @ Sami (3.84), Muhammad Syafiq bin Mohd Taufiq Aaron (3.84), Mohammad Razman bin Musim (3.75), Eleanor Tan Hui Xing (3.59), Dean Delaina D.Ejoh (3.58), Mohd Acamar bin Awang Hamzah (3.58), Glinda Eva Mainor (3.58) dan Noor Azlin binti Aspan (3.50).

Majlis Pengumuman STPM 2018 telah disempurnakan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

“Berdasarkan pencapaian STPM 2018 Labuan, saya melihat masih begitu banyak ruang untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar-pelajar tingkatan 6 di SMK Labuan. Kejayaan Farah Ain Nabilla Roslizar mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil seharusnya menjadi pembakar semangat calon-calon STPM tahun ini untuk mengulangi kejayaan tersebut”. Encik Raisin Saidin

Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat mendidik, membantu dan membimbing murid-murid sehingga ramai dalam kalangan mereka berjaya dengan cemerlang.




Jasamu Dikenang, Puan Chan Kwi Fong, Mantan Pengetua SM St Anne

Labuan, 4 Mac : Mantan Pengetua Sekolah Menengah St. Anne, Puan Chan Kwi Fong telah bersara pilihan pada 1 Mac 2019, setelah hampir 30 tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan.

Anak kelahiran Perak ini, Puan Chan Kwi Fong memulakan karier sebagai seorang guru biasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua, Miri Sarawak bermula 4 Disember 1989.

Setelah 6 tahun berkhidmat di Sarawak, beliau berhijrah dan meneruskan langkah sebagai seorang pendidik ke Pulau Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan pada 1 Januari 1996 di Sekolah Menengah St. Anne.

Beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah yang sama pada 17 Mac 1997.

Seterusnya, Puan Chan Kwi Fong telah diamanahkan menjadi seorang Pengetua, juga di Sekolah Menengah St. Anne pada 1 Mac tahun 2008, sehinggalah beliau bersara pilihan di usia 57 tahun.

Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan jamuan persaraan Puan Chan Kwi Fong pada 3 Mac 2019 di sebuah hotel di Labuan.

Majlis dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Kolej Vokesional Labuan, Puan Hjh Siti Musliha binti Hj Leeudin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPWPL Encik Yusop bin Mohamad, YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah (Pengetua SMK Labuan), Timbalan YDP MPSM Encik Mohd Jamatin bin Abd. Latip (Pengetua SMK Lajau) dan para pengetua sekolah di Labuan.

Puan Chan (kiri) diraikan oleh MPSM WP Labuan

Dalam ucapan aluan YDP MPSM Encik Ismail bin Abdullah, melahirkan harapan agar Puan Chan sentiasa sihat dan bergembira dalam alam persaraan.

Puan Chan dalam ucapan balasnya, mengucapkan ribuan terima kasih kerana MPSM mengadakan majlis yang cukup bermakna bagi beliau dan terima kasih juga kepada Encik Raisin Saidin kerana sudi hadir dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Chan kerana telah menyumbang bakti kepada kecemerlangan pendidikan di Labuan amnya hingga ke akhir perkhidmatan. Semoga terus diberi kekuatan dan kesihatan.

Tahniah Puan Chan yang telah meninggalkan SM St Anne pada landasan yang baik untuk terus cemerlang. Selamat Bersara Puan Chan, Terima Kasih Cikgu, Jasamu Dikenang. Encik Raisin Saidin

Seluruh warga pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan “Selamat Bersara kepada Puan Chan Kwi Fong, Terima Kasih Cikgu !”.

YDP MPSM Labuan, Encik Ismail menyampaikan cendera kenangan kepada Puan Chan

Sumber Berita : Encik Mohd Jamatin bin Abd. Latip (Pengetua SMK Lajau)




Jalinan Pintar SISC+ Terengganu dan Labuan

Labuan, 24-27 Februari 2019 : Seramai 8 orang Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+) dari Jabatan Pendidikan Terengganu telah berkunjung ke Labuan bagi melaksanakan Program Jalinan Pintar Pegawai SISC+ Negeri Terengganu dan Pegawai SISC+ W.P.Labuan : ‘A Focussed Conversation’.

Program Jalinan Pintar Pegawai SISC+ ini merupakan program yang julung kalinya diadakan di W.P.Labuan sebagai satu bentuk perkongsian ilmu melalui kerjasama, koloborasi dan permuafakatan antara SISC+ Terengganu dan SISC+ W.P.Labuan.

Rombongan SISC+ Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu yang diketuai oleh Rohaida Ngah ini telah dibawa melawat ke 4 buah sekolah di W.P.Labuan dengan diiringi oleh pegawai-pegawai SISC+ W.P.Labuan.

Sekolah-sekolah yang dilawati adalah SKK ST.Anne bagi melihat pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah, SM.ST.Anthony bagi melihat pelaksanaan ‘Highly Immersive Programme’ atau HIP, SMK Pantai bagi melihat pelaksanaan ‘The IB Middle Years Programme’ dan SK Bebuloh bagi melihat pelaksanaan Program TS25 Kohort 3.

Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu & W.P.Labuan bersama Pengetua, Pentadbir dan guru-guru di SM.ST.Anthony

Di dalam program ini juga sebanyak 7 kertas kajian dan amalan terbaik SISC+ Negeri Terengganu dan W.P.Labuan telah dikongsikan kepada semua rakan SISC+.

Sesi perkongsian dimulakan dengan pembentangan inovasi ‘R Pengiran M’ oleh Pangiran Kadir Bin Pangiran Budin (SISC+ W.P.Labuan), diikuti oleh Rohaida Ngah (SISC+ Terengganu) yang membentangkan kajian bertajuk ‘Inspiring Students To Write Through Drawing’, Hjh Siti Zahara Mohamad (SISC+ W.P.Labuan) yang membentangkan kajian bertajuk Keberkesanan Tingkap Sintaksis Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu dan Siti Nurbaya Binti Zakaria (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk ‘School Support System Through PLC’.

Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Antara SISC+ ini diteruskan lagi dengan perkongsian daripada Arni Samiraty Abdol Samat (SISC+ W.P.Labuan) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk ‘HI 5G2’, Azimah Dollah (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk Model PAU : Penyelarasan Aspirasi Unik dan Asy Assuara Razak (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk SKPMg2 : An Explanation Through Video.

Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Antara SISC+ ini telah dilaksanakan di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) W.P. Labuan.

Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu & W.P.Labuan bersama Barisan Pentadbir dan guru-guru di SMK Pantai IB World School

Di akhir lawatan, peserta rombongan turut berkesempatan melawat pejabat Jabatan Pendidikan Negeri W.P.Labuan, pejabat Sektor Pengurusan Akademik, pejabat SISC+ dan beberapa tempat yang menarik di W.P.Labuan.

Selain itu, 8 orang Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+) dari Jabatan Pendidikan Terengganu ini juga turut berpeluang mengikuti Bengkel Merancang dan Melaksanakan Kajian Tindakan Dengan Menggunakan Borang Inovasi ’12 Langkah’ yang disampaikan oleh Suriani Alland Rice Oxley (SISC+ W.P.Labuan) di BTPN anjuran Sektor Jaminan Kualiti, JPN W.P.Labuan.

Bengkel Kajian Tindakan ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan W.P.Labuan serta barisan kepimpinan atasan dan pertengahan sekolah.

Menurut kata Ketua Rombongan SISC+ Negeri Terengganu, Rohaida Ngah, “Program lawatan ini merupakan satu program perkongsian yang telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Semua rakan SISC+ yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan melaluinya, Tahap Profesionalisme SISC+ ini telah dapat ditingkatkan.”

Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu bersama Guru Besar, Pentadbir dan guru-guru di SK Bebuloh



SMK Labuan Johan Keseluruhan Ping Pong dan Ketiga Keseluruhan Badminton MSSWPL 2019

Labuan, 25 Februari :  Berlangsung di Dewan SJK(C) Chi Wen, SMK Labuan muncul johan keseluruhan Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang telah diadakan pada 22 hingga 23 Feb 2019.

Kategori yang dipertandingan bagi kejohanan ini ialah perseorangan lelaki dan perempuan 18 tahun, beregu lelaki dan perempuan 18 tahun.

Walaupun baru berusia 13 tahun, pelajar tingkatan 1 Harmoni, Derica Goh unggul membantu SMK Labuan menjadi juara dengan memenangi perseorangan perempuan bawah 18 tahun, selain meraih tempat ketiga dalam kategori beregu perempuan 18 tahun bergandingan dengan Vannesa Goh.

Celine Tan dan Samantha Tan juga dari SMK Labuan mendapat tempat ketiga dalam kategori yang sama.

Perseorangan lelaki 18 tahun pula menyaksikan Alvin Shim muncul naib johan, manakala Billy Goh meraih tempat ketiga.

Pasukan SMK Labuan mendapat naib johan dalam kategori beregu lelaki dan perempuan 18 tahun yang diwakili oleh gandingan Billy Goh, Alvin Shim (kategori lelaki) dan gandingan Celine Tan, Shau Yunn Shin (kategori perempuan).

Derica Goh, johan perseorangan perempuan 18 tahun

Jurulatih SMK Labuan yang membantu sekolah muncul juara edisi kali ini ialah Cikgu Ting Liu Jeng, Cikgu Hasriah Sidik dan Ustaz Mohd Sharafuddin bin Iliah.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Ag Mohd Zain Ag Anak, Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir Puan Chan Kwi Fong, Pengetua SM ST Anne dan Encik Kuanfuh Jackson Tondoliu, Penolong Kanan Kokurikulum, SM St Anthony.

Kejohanan Ping Pong MSSM peringkat kebangsaan akan berlangsung pada 24-28 mac 2019 di negeri Kedah Darul Aman.

Sementara itu, pada 19 hingga 23hb Februari 2019, bertempat di Kompleks Sukan Labuan telah berlangsung kejohanan Badminton MSSM Wilayah Persekutuan Labuan.

Pasukan SMK Labuan juga turut menghantar 18 orang peserta dan pasukan ini tidak kurang hebatnya dengan meraih 2 emas, 1 perak dan 3 gangsa untuk muncul tempat ketiga keseluruhannya.

Marina Wong muncul johan perseorangan kategori perempuan 18 tahun. Beliau terus unggul dengan menggondol pingat emas, bergandingan dengan Arneete Venessa dalam kategori beregu perempuan 18 tahun.

Badminton Johan Bergu P18 Marina dan Arnette

SMK Labuan juga turut meraih Naib Johan Bergu Campuran (Nuramirah Atiqah dan Mohd Nor Hafizh), Tempat Ketiga Bergu Perempuan 15 Tahun (Tee Yun Yan dan Shuhada Fitri), Tempat Ketiga Perseorangan 15 Tahun (Shuhada Fitri) dan Tempat Ketiga Bergu Lelaki 15 Tahun (Brandon Tan dan Stefano).

Jurulatih SMK Labuan Cikgu Cheah Siew Ling, Cikgu Hjh Saniati Matasan dan Cikgu Noorul Syarhida Nurul Hadi.

Kejohanan Badminton MSSM peringkat kebangsaan akan diadakan pada 25-30 Mac di Melaka.

Pasukan badminton bersama Cikgu Cheah dan Cikgu Hjh Saniati

Sumber Berita : SMK Labuan




Kursus Leadership Coaching Tingkatkan kompetensi Pegawai JPWPL

Labuan, 21 Februari : Seramai 15 pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengikuti kursus Leadership Coaching yang dianjurkan oleh Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Labuan semalam.

Kursus yang diadakan di Bilik Layangan, BTPN telah dikendalikan oleh 2 Certified Coach iaitu Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Encik Yusup bin Mohamad dan Pegawai SISC+ , Puan Arni Samiraty binti Abdol Samat.

Kursus ini menerapkan 10 langkah  ke arah menjadi seorang coach yang berwibawa dalam memberi bimbingan dan khidmat bantu kepada warga jabatan dan sekolah.

Elemen GROW turut diterapkan bagi menjadikan proses coaching lebih berstruktur dan terarah bagi mencapai matlamat yang dihasratkan.

Para peserta telah diberi pendedahan secara teori dan praktikal bagi memastikan setiap peserta mendapat manfaat sepenuhnya dari kursus ini.

Para peserta sedang memberi tumpuan kepada penceramah kursus

Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin turut berkongsi pengalaman beliau dalam kursus ini dengan menekankan kepada 7 kemahiran yang perlu dikuasai untuk menjadi seorang coach yang baik.

Antaranya ialah penguasaan kemahiran bahasa badan dan kemahiran mendengar yang baik.

Para peserta telah melahirkan rasa puas hati dengan penganjuran kursus ini dan berasa lebih yakin untuk melaksanakan peranan baharu sebagai pegawai pembimbing, perunding cara dan konsultasi selepas ini selaras dengan saranan dalam Naratif Baharu Amalan Pendidikan.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam (SPA)

Sesi latihan secara praktikal Coaching turut diadakan : Kemahiran bahasa badan dan kemahiran mendengar

Dari kiri : Puan Khaziyati Osman (Ketua Sektor Jaminan Kualiti) mengiringi Encik Raisin Saidin (Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan) semasa penyerahan Sijil penghargaan kepada Certified Coach iaitu Encik Yusup bin Mohamad (Ketua Sektor Pengurusan Akademik)



Bengkel Penataran Amanat YB Menteri Pendidikan dan Naratif Baharu Amalan Pendidikan

Amanat Tahun Baharu YB Menteri Pendidikan Malaysia dan
Dialog  KPPM bersama Pengarah Jabatan
Pendidikan Negeri dan PPD seluruh negara telah diadakan pada  14  dan
15 Januari 2019 di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan WP Labuan (JPWPL) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan Bengkel Penataran Amanat YB Menteri Pendidikan dan Naratif Baharu Amalan Pendidikan KPPM 2019.

Bengkel ini dilaksanakan pada 12 Februari 2019 bertempat di
BTPN, W.P. Labuan dengan melibatkan 35 peserta terdiri daripada ketua-ketua
sektor, pegawai JPN, Pengetua, Guru Besar dan wakil-wakil sekolah.

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman semua warga JPWPL dalam memahami dan menterjemah amanat YB Menteri Pendidikan dan Naratif Baharu Amalan Pendidikan ke dalam bentuk pelaksanaan dan pengoperasian.

Ini termasuklah penyelarasan semula pelan taktikal JPWPL dan sekolah bagi merealisasikan mandat baharu ini.

Bengkel yang dikendalikan oleh Encik Yusup bin Mohamad, Puan Maimoon binti Matnoh dan Encik Mohd Nizam bin Yasim ini menekankan konsep hands on dengan penyertaan aktif para peserta.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah aktiviti perbincangan dalam home group dan expert group dan pembentangan oleh setiap kumpulan.

Pengetua dan Guru Besar sekolah diharap dapat menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang diperolehi sepanjang bengkel ini kepada warga sekolah bagi memastikan hasrat dan fokus kerja kementerian dapat difahami dan dipraktikkan di peringkat sekolah masing-masing.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam, SPA