Perkhemahan Kadet Bomba Dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018
18 April 2018 – Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia, Peringkat Kebangsaan 18hb-21hb April 2018 yang bertempat di Politeknik Sultan Muadzam Shah, Jitra, Kedah adalah merupakan program tahunan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama dengan Kementerian Pendidkan Malaysia. Program ini melibatkan Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dari sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia yang telah didaftarkan di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari 16 buah negeri di Malaysia. Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia, Peringkat Kebangsaan adalah merupakan program tahunan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama dengan Kementerian Pendidkan Malaysia.
Anata objektif program ini diadakan ialah :
Memupuk semangat Sehati Sejiwa dan cintakan keharmonian di kalangan ahli-ahli Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Malaysia
Menghayati dan mengamalkan ilmu kebombaan.
Meningkatkan disiplin dan memupuk semangat yakin diri, berdedikasi serta bertanggungjawab di kalangan ahli-ahli Pasukan Kadet Bomba.
Mewujudkan integrasi di kalangan ahli-ahli Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui penyertaan dalam program aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan kebombaan, program integrasi, kerohanian, riadah dan kesenian dan lain-lain aktiviti yang dijalankan .
W.P.Labuan menghantar satu kontinjen lengkap dengan kekuatan 45 orang yang terdiri daripada murid-murid sekolah menengah seperti berikut :-
18 orang Kadet lelaki
18 orang Kadet Perempuan
Kontinjen juga diiringi oleh 9 orang pegawai yang terdiri daripada Pegawai Bomba, Guru Pengerusi Teknik, Guru Pengiring dan Jurulatih)
Perhimpunan Guru 1Labuan dan Pelancaran Deklarasi 1B, Jabatan Pendidikan WP Labuan
Labuan – Majlis Perhimpunan Guru 1Labuan yang dihadiri oleh 500 guru di Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 5hb April 2018 bertempat di Dewan Utama, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).
Dalam ucaptama, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa syukur kerana keputusan peperiksaan UPSR, SPM dan STPM mencatatkan momentum peningkatan dari tahun ke tahun.
Beliau berkata tiada sebab untuk murid di Labuan tidak berjaya menguasai tahap minimum dalam peperiksaan yang dihadapi dan pentadbir sekolah perlu sentiasa memberi galakkan kepada murid untuk sentiasa hadir ke sekolah setiap hari.
Pada tahun 2018, program ‘Guru Inspirasiku’ diperkenalkan di Labuan bagi meningkatkan motivasi kepada guru agar sentiasa menjadi inspirasi dan contoh tauladan kepada murid untuk berjaya.
Jadilah seorang guru di mana keberadaannya dirasai dan ketiadaannya dirindui, ujar Encik Raisin Saidin
Para guru perlu mengharungi cabaran mendatang terutama dalam Pembelajaran Abad ke 21 dan Revolusi Industri 4.0 bagi mempersiapkan anak-anak murid Labuan yang gemilang. Amalan baik murid merupakan saham terbesar guru dunia dan akhirat.
Pelbagai kejayaan yang dicapai oleh murid-murid Labuan pada tahun 2017 samada dari segi akademik, ko kurikulum mahupun dalam bidang sukan.
Pada masa yang sama Deklarasi 1B (1Borneo) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah dilancarkan dan ia adalah janji usaha warga pendidikan Labuan bagi mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Deklarasi 1B telah dibuat pada 21 Februari 2018 di 1Borneo, Kota Kinabalu yang lalu oleh barisan pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, mempunyai 19 deklarasi yang menjadi hala tuju warga pendidikan di Labuan ini untuk mencapai hasrat melangkah ke hadapan bagi mencemerlangkan Kualiti Sekolah dan Kemenjadian Murid.
Para Guru Besar WP Labuan bersama ‘bunting‘ deklarasi 1Borneo
“Antara salah satu deklarasi tersebut adalah menjadikan Jabatan Pendidikan WP Labuan berada antara lima terbaik dari kalangan 16 Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara yang mantap dari semua aspek pengurusan pendidikan”
“Kami juga komited memastikan sumber-sumber pendidikan digunakan secara optimum bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran juga merupakan salah satu deklarasi yang terkandung di dalam Deklarasi 1B,” ujarnya.
Encik Raisin Saidin komited dengan Program Pengarah Sayang Sekolah yang dijalankan mampu memberi impak bukan sahaja tahap pencapaian keputusan peperiksaan dapat dipertingkatkan malahan luahan hati warga pendidik Labuan dapat didengarinya melalui lawatannya ke sekolah-sekolah dengan berinteraksi sendiri dengan guru-guru dan murid-murid.
“Kerjasama yang erat juga oleh warga pendidikan Labuan dengan pemimpin-pemimpin tempatan seperti ketua-ketua kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) juga dapat merungkap segala solusi bagi memartabatkan pendidikan di Pulau Bebas Cukai ini” katanya.
Kem Eksplorasi KBAT 2018
Kota Kinabalu, Sabah – Kem Eksplorasi KBAT 2018 Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 3 hingga 5 April 2018 di Kota Kinabalu, Sabah. Kem selama 3 hari ini di sertai seramai 66 orang pelajar tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Mutiara dan Kolej Vokasional Wilayah Persekutuan Labuan dan merupakan calon-calon ujian Programme for International Student Assessment (PISA) yang di anjurkan oleh The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).
Kem yang berjalan di seluruh negara ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar kaedah dan teknik mejawab soalan-soalan ujian PISA yang akan berlangsung pada 17 hingga 18 April 2018 serentak di seluruh negara.
Jurulatih PISA, En Kamil Bin Rejab dari SMK Mutiara memberi taklimat dalam domain Sains kepada pelajar.
PISA merupakan penilaian khusus bagi pelajar-pelajar yang berumur 15 tahun. Penilaian selama 3 jam ini akan menilai 3 domain utama iaitu matematik, sains dan Literasi. PISA akan membantu dalam pembangunan dasar pendidikan yang bersesuaian untuk mewujudkan suasana pembelajaran dan sistem pendidikan yang cemerlang.
Majlis perasmian penutupan diadakan pada malam 4 April 2018 dan di sempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Bin saidin. Turut hadir dalam majlis itu ialah En Kasdi bin Kamin, Penolong Pengarah Unit Matematik Menengah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah Binti Abd Moin, Pengetua SMK Mutiara, En Loren Abon dan Timbalan Pengarah Kolej Vokasional Labuan, En Barawi Bin Sapar.
En Kasdi (dua dari Kanan) menyaksikan penyampaian hadiah oleh Pengarah Pendidikan
Dalam ucapannya, beliau meminta agar semua pelajar yang telibat dalam ujian PISA 2018 agar bersungguh-sungguh ketika penilaian sebenar dijalankan. Ini kerana mereka bukan sahaja mewakili sekolah, tetapi merupakan duta negara yang mewakili Malaysia dalam meningkatkan martabat pendidikan negara di persada dunia.
Beliau juga berterima kasih kepada semua jawatankuasa yang bertungkus lumus menjayakan kem ini. Di akhir majlis, beliau menyampaikan hadiah kepada pelajar yang cemerlang dan menyanyikan bersama-sama pelajar lagu “Gemuruh” nyanyian Faizal Tahir, “Standing in the eyes of the world” nyanyian Ella dan lagu “fikirkan boleh” nyanyian kumpulan Metropolitan.
Semua peserta Kem menyanyikan lagu bersama-sama para VIP
Sumber Berita :
Encik Inanis Fatinisupi bin Abdullah
Sektor Pengurusan Akademik
Perhimpunan Mingguan SMK Rancha-Rancha
Labuan, 2 April – Sebagai rutin, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan diketuai oleh Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin telah turun padang sekali lagi bersama-bersama Ketua-ketua Sektor ke sekolah bagi melihat sendiri perkembangan dan suasana persekolahan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pada kali ini, SMK Rancha-Rancha telah dipilih sebagai destinasi sekolah yang dilawati dan rombongan Jabatan berpeluang menghadiri Perhimpunan Mingguan sekolah tersebut.
Dalam ucapan aluan, Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Omar Baki Matusin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kontinjen olahraga SMK Rancha-Rancha ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan kerana berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan mendapat 4 pingat emas, 3 perak, 2 gangsa dan memecahkan satu rekod kejohanan.
Semasa ucapan kepada warga SMK Rancha-Rancha, Pengarah Pendidikan Encik Raisin Saidin menuntut dan mendoakan agar semua calon yang mengambil peperiksaan SPM 2018 menguasai serta mencapai lulus 100%.
Jadilah anak-anak yang sentiasa aktif, bukan menjadi pelajar biasa-biasa tetapi sentiasa berusaha dan bertekad menjadi pelajar yang luar biasa agar dapat menghasilkan kejayaan yang luar biasa.
Encik Raisin Saidin juga mengharapkan pelajar-pelajar SMK Rancha-Rancha sentiasa hadir penuh 100% ke sekolah dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan demi kehidupan di masa hadapan.
Secara keseluruhannya, Perhimpunan Mingguan berjalan dengan lancar dan aktiviti perhimpunan dikelolakan sendiri oleh pelajar-pelajar SMK Rancha-Rancha. Syabas dan tahniah diucapkan.
Turut Hadir, Semua Penolong Kanan, Ketua-ketua bidang dan guru-guru SMK Rancha-Rancha.
Encik Raisin Saidin menyampaikan amanat kepada warga sekolah SMK Rancha-Rancha
SMK Pantai IB Word School Cipta Sejarah, Juara Keseluruhan MSSWPL 2018
Labuan, 31 Mac – SMK Pantai IB World School, W.P Labuan mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang JUARA KESELURUHAN Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) kategori sekolah menengah apabila menumbangkan Juara Bertahan Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara di Kompleks Sukan Labuan.
Dalam kejohanan yang berlangsung dari 28 Mac hingga 31 Mac 2018 SMK Pantai IBWS memperoleh 17 pingat Emas, 14 Perak dan 4 Gangsa.
Manakala SSN SMK Mutiara memperoleh 16 Emas, 10 Perak dan 16 Gangsa. Kedua-dua sekolah bersaing sengit sejak hari pertama Kejohanan bermula.
Tempat ketiga disandang SMK Labuan yang mengutip 8 Emas, 12 Perak dan 8 Gangsa, sementara SM Sains Labuan di kedudukan keempat dengan 8 Emas, 10 Perak dan 15 Gangsa
Penutupan Kejohanan disempurnakan oleh YB Senator Datuk Bashir Hj Alias sebentar tadi. Turut hadir Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan.
Lebih manis apabila atlet SMK Pantai IB World School memecahkan 5 rekod kejohanan daripada 16 rekod yang dipecahkan bagi sekolah menengah dan sekolah rendah sepanjang kejohanan.
Para atlet dan jurulatih SMK Pantai melompat kegembiraan sejurus dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan
SMK Pantai IB World School pada peringkat awal hanya mensasarkan 10 pingat Emas, dan kejayaan meraih 17 Emas adalah satu bonus kepada seluruh warganya.
Kejayaan SMK Pantai IB World School menjuarai kejohanan berprestej ini adalah hasil kerja keras para atlet dan guru-guru penasihat serta jurulatih yang tidak pernah jemu dalam melatih bakat-bakat murid berpotensi dalam Program Tiga Tahun Mencungkil Bakat yang bermula sejak Tahun 2015 diketuai oleh Cikgu Hassan Abadin, serta guru-guru lain seperti Cikgu Haslindah, Cikgu Hidayah, Cikgu Royani, Cikgu Cladius, Cg Jefferson a/l Shanmunggam, Cikgu Khaidhir, Cikgu Mirwanuddin, Cikgu Mohd Firdaus, Cikgu Wilter, Cikgu Saifol, Cikgu Susilawati Hong dan Cikgu Moh.
Para atlet berlatih sepanjang tahun termasuk pada cuti penggal persekolahan. Sokongan para ibu bapa termasuk latihan kendiri di Kompleks Sukan, di tepian pantai dan lokasi lain turut menyumbang kepada kejayaan ini.
Laungan keramat/tagline ilham pengetuanya ” Sorakan 123 dan SMK Pantai IBWS Menjulang Nama” menjadi atlet yang berjuang di padang….Begitu juga lirik lagu sekolah “SMK Pantai Kebanggaan Kami” (Lirik ciptaan Pengetua sendiri dengan nama pena SAMSA HARRIS) pada frasa “Disiplin Terbilang, Di Padang Menjulang” mencetuskan semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet.
Pengetua SMK Pantai IB World School, Encik Sahar Misron mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada para atlet dan guru-guru serta jurulatih dan seluruh warga sekolah dan ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak SMK Pantai IB World School.
Gambar kenangan : Juara Keseluruhan MSSWPL 2018 SMK Pantai IBWS
Encik Sahar berharap SMK Pantai IB World School akan dapat mempertahankan kejuaraan pada Tahun 2019 menerusi latihan berterusan dan kesungguhan para atlet. Di samping itu atlet terus berusaha menaikkan nama Labuan dalam Kejohanan MSSM nanti dengan membawa pulang pingat emas.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas, tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh jawatankuasa kerja MSSWPL 2018 kerana telah menjalankan tugas dengan cemerlang.
Persaingan tahun ini amat sengit dan itulah buktinya latihan semua atlet oleh jurulatih-jurulatih di sekolah berkesan. Tahniah kepada juara baharu sekolah rendah dan sekolah menengah.
Sesungguhnya kita semua adalah JUARA.
Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah dengan pungutan 3 pingat emas, 1 perak, 1 gangsa, diiikuti oleh SK Pantai 2 emas, 6 perak, 1 gangsa dan SK Lubok Temiang 2 emas, 4 perak.
SK Sungai Bedaun, SKK Rancha-Rancha dan SJK(C) Chi Wen juga memperoleh 2 emas.
Juara keseluruhan kategori sekolah rendah SK Pekan Satu
Kemenangan SMK Pantai IB World School ditutup dengan menjadi juara Perbarisan kategori sekolah menengah menewaskan juara bertahan 6 tahun berturut-turut, SM St Anne.
SK Sungai Bedaun berjaya mempertahankan juara Perbarisan kategori sekolah rendah.
Sumber berita :
ENCIK SAHAR BIN MISRON
PENGETUA SMKP IBWS
31 MAC 2018
Majlis Perhimpunan Bulanan JPWPL bagi bulan Mac 2018
Labuan, 29 Mac – Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan bagi bulan Mac 2018 telah diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri WP Labuan, hari ini.
Majlis diserikan dengan persembahan Lagu Rasmi Sekolah oleh murid-murid dan guru-guru SK Bukit Kalam serta persembahan nasyid dari pelajar-pelajar SMK Mutiara.
Dalam amanat Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Raisin Saidin berkata perhimpunan seumpama ini memberi ruang dan peluang kepada murid-murid menonjolkan bakat serta potensi diri.
Murid dapat mengalami sendiri dengan mempersembahkan bakat mereka di hadapan khalayak ramai. Ini merupakan satu pembelajaran dan pengalamian dalam diri murid-murid.
Dua orang guru yang bersara turut diraikan iaitu Tuan Haji Jahar bin Mulok, Penyelia Unit Kebajikan Dan Kesihatan Murid, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan dan Guru SK Pekan Dua, Puan Hajjah Supiyah bt Razali.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan juga telah mengadakan pertandingan keceriaan bilik darjah peringkat sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan.
Sekolah Menengah St Anthony dan Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha telah diistiharkan sebagai pemenang bilik darjah secara keseluruhan bagi bulan Mac 2018.
Sementara Anugerah Khas Pengarah bagi bulan Jun telah diberikan kepada Puan Norismah Ab Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik dan Puan Chan Kwi Fong, Pengetua SM St Anne di atas kecemerlangan pencapaian akademik peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis diakhiri dengan nyanyian Lagu Rasmi Sekolah SMK Labuan.
Dua Orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Menerima APC KPM 2017
Putrajaya – Dua orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG54 Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pendidikan Malaysia 2017 pada 20 Mac yang lalu.
Dua orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan tersebut ialah Encik Ismail bin Abdullah, Pengetua SMK Labuan dan Encik Zulkifli bin Zakaria, Pegawai “School Improvement Specialist Coach” (SISC+) Matematik, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pendidikan Malaysia 2017 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia, bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kedua-duanya menerima Sijil Penghargaan dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM 1000.
Anugerah diberi berdasarkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2017.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada penerima APC KPM 2017.
Keputusan SPM 2017 Labuan Meningkat
Labuan – Seramai 951 orang calon sekolah kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan telah menduduki peperiksaan SPM 2017 di 9 buah pusat peperiksaan dan seramai 851 orang calon layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 89.48%.
Keputusan ini meningkat berbanding 85.94% tahun 2016, peningkatan sebanyak 3.54%.
Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.94, juga meningkat berbanding 5.08 tahun 2016, peningkatan sebanyak 0.14.
Pelajar Kok Hui Taou dari SMK Labuan telah diistiharkan sebagai pelajar terbaik dengan mendapat pencapaian Cemerlang Tertinggi A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Manakala seramai 12 orang calon Labuan mendapat sekurang-kurangnya cemerlang A- dalam semua mata pelajaran.
Pada keseluruhannya pencapaian calon Sekolah di Labuan untuk setiap mata pelajaran adalah amat memberangsangkan.
16 mata pelajaran telah mencapai kelulusan 100% daripada 33 mata pelajaran yang diambil oleh calon.
Sebanyak 24 mata pelajaran mengatasi pencapaian peringkat nasional, 5 mata pelajaran menyamai pencapaian nasional dan hanya 4 mata pelajaran di bawah pencapaian peringkat nasional.
Majlis Pengumuman keputusan SPM 2017 Labuan telah diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin di Pusat Ko Kurikulum Negeri, JPWPL pada 15 Mac 2018.
Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang telah bertungkus lumus sepanjang tahun 2017 dan tahun-tahun sebelumnya bagi memastikan peningkatan prestasi SPM WP labuan tahun 2017.
Alhamdulillah tahun 2017 gred Purata Negeri ialah 4.94 berbanding 5.08 tahun 2016.
Demikian juga peratus mendapat Sijil SPM 2017 telah meningkat. Kejayaan ini berkat permuafakatan mantap di semua peringkat.
Lawatan Kerja Rasmi Menteri Pendidikan Malaysia ke Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 1 Mac – Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia telah membuat Lawatan Kerja Rasmi ke Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini.
Bermula 8 pagi, YB Dato’ Seri Mahdzir telah membuat lawatan pertama ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun bagi Program Transformasi Sekolah 2025, TS25 dan melihat sendiri suasana Pengajaran dan Pembelajaran di Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan semua guru perlu bersedia untuk melaksanakan PdP abad ke-21 menggunakan teknologi terkini seiring dengan perubahan pesat dunia digital.
Katanya lagi, sebanyak 1,000 buah sekolah akan menikmati Smart Classroom termasuk sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Tidak semua bilik darjah akan diganti dengan Smart Classroom, sebagai permulaan mungkin dua buah bilik darjah akan digunakan.
Seterusnya, YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid telah berkunjung (walkabout) ke Kolej Matrikulasi Labuan bagi melihat aspek infra dan penyelenggaraan.
Lawatan Kerja YB Menteri Pendidikan Malaysia diakhiri dengan Majlis Titian Kasih bersama warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan yang melibatkan seramai 700 orang guru.
Gambar kenangan Dato’ Seri Mahdzir bersama Warga Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
YB Dato’ Seri Mahdzir dan Kementerian Pendidikan Malaysia amat prihatin terhadap keluh kesah guru duka lara yang memohon berpindah supaya dapat berdekatan dengan keluarga dan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan guru.
Beliau tidak lupa juga mengingatkan guru, khususnya yang terbabit membimbing murid-murid yang mengambil bahagian dalam pentaksiran pendidikan antarabangsa Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) dan juga Programme for International Student Assessment (PISA) agar sentiasa bersungguh-sungguh dengan penilaian tersebut bagi menaikkan lagi ranking pendidikan Negara Malaysia di mata dunia.
Sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Khas untuk penyelenggaraan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
KPM merancang untuk pembaikan sebuah flat kediaman bagi dijadikan pusat untuk pelajar-pelajar tingkatan enam dengan kos anggaran RM15 juta.
YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk Ahli Parlimen Labuan khusus untuk pendidikan di Labuan.
Turut serta Lawatan Kerja Menteri Pendidikan kali ini, Ahli Parlimen Labuan ialah YB Datuk Rozman Haji Isli, YB Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Alias Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPM, YBhg, Dato Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Operasi Pendidikan, Tuan Hj Aminudin Adam, Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM, Dr. Baiduriah binti Yaakub dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.
Majlis Anugerah Motivasi REPSOL Tahun 2018
Labuan, 13 Feb 2018 – MajlisAnugerah Motivasi REPSOL Tahun 2018 bagi murid-murid UPSR dan PT3 Tahun 2017 dari Golongan Komuniti Nelayan Peringkat WP Labuan telah diadakan di Grand Dorsett Hotel WP Labuan yang melibatkan seramai lima puluh (50) murid UPSR dan PT3 Tahun 2017. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ybhg Datuk Eddie Abdullah Penasihat Perhubungan Komuniti & Kerajaan (Sabah&Labuan) Repsol Oil&Gas Malaysia Limited, En.Ahmad Fakhrurazzi Arshad Pengurus Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limite, Encik Raisin bin Saidin Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Pegawai-pegawai Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Ketua–Ketua Sektor Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Pengetua dan Guru Besar.
Majlis ini bertujuan untuk menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit kepada murid-murid dari golongan komuniti nelayan dan juga berpendapatan rendah yang tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan.Bantuan ini merupakan insentif daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Limited yang bukan sahaja berniaga semata-sama tetapi dalam masa yang sama, syarikat ini banyak membantu komuniti di sekitar tempat operasi khususnya di luar pantai iaitu kaum nelayan.
Objektif program ini adalah untuk menghargai dedikasi dan komitmen murid-murid melalui bantuan wang ringgit secara ‘one off’. Dalam ucapan aluan Tuan Raisin berharap “dengan adanya bantuan ini, murid-murid khususnya yang layak menerima anugerah ini, akan menggunakan wang bantuan tersebut untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku pelajaran. Dan semoga dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meningkatkan motivasi murid-murid dalam pembelajaran dan kemenjadian murid dalam akademik”.