Sepetang Bersama Timbalan Menteri Pendidikan I

LABUAN, 29 Okt – YB Dato’ P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan telah menghadiri Majlis Sepetang Bersama  Timbalan Menteri Pendidikan 1, di Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan yang dihadiri oleh 700 orang guru sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapannya, YB Dato’ P. Kamalanathan berkata  sumbangan guru-guru mendidik anak bangsa di serata negara merupakan jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai harganya.

Katanya, dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu murid dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi negara.

“Matlamat membina negara bangsa hanya dapat direalisasikan melalui Pendidikan Abad Ke-21 yang telah dilaksanakan untuk melahirkan murid yang dinamik dan seimbang dalam semua aspek. Pembelajaran berpaksikan murid boleh memberi ruang dan peluang kepada murid mengetengahkan ketrampilan diri dan mereka”

Sesi soal jawab YB Dato’ P.Kamalanathan bersama guru-guru Labuan

YB Dato’ P. Kamalanathan juga mengajak guru-guru agar berusaha bersungguh-sungguh bagi menjadikan sistem pendidikan negara merupakan sistem pendidikan yang terbaik di dunia dan dapat melahirkan sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata warga Jabatan Pendidikan WP Labuan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan kemenjadian murid yang bakal menjadi nadi penggerak negara di masa mendatang.

Hasilnya beberapa kejayaan yang dicapai samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam pelbagai acara yang dikongsikan melalui portal JPWPL Sana Sini.

“Pendidikan yang berkualiti banyak ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang. Untuk itu kami berusaha meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dengan melaksanakan pembangunan pendidikan yang berterusan berkaitan pembelajaran abad ke 21”, katanya lagi.

Hadir sama Pengarah KML, Tuan Haji Mohd Yusof Samad, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia,  Labuan, Encik Omar Baki Matusin dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Labuan, Encik Jaafar Matusin, Ketua-ketua Sektor, Pengetua dan Guru Besar.

Guru-guru yang hadir Sepetang Bersama Timbalan Menteri Pendidikan I

 




Cetus Minat Murid Belajar Melalui ICT

Labuan 25 September – Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran cetus minat murid untuk belajar di dalam kelas.

Demikian pembentangan oleh Cikgu Hazniza Basri dari Sekolah Kebangsaan Bebuloh dalam perkongsian ilmu pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke 21 di Majlis Perhimpunan Bulan September Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada khamis lalu, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Labuan.

Beliau banyak mengambil peluang untuk menggunakan kemudahan ICT sekolah dan aplikasi ICT seperti Frog VLE, Quizizz termasuk perisian Google dalam PdP dengan dibantu oleh Guru Penyelaras Bestari sekolah, Cikgu Mohd Reno Idris.

Cikgu Hasniza telah dianugerahkan sebagai Guru Tauladan bagi amalan PdPc abad ke 21 bagi bulan September 2017.

Pada mulanya, Agak sukar untuk melaksanakan PdP menggunakan ICT kerana perlu mengambil masa yang lama untuk persiapan segala peralatan ICT berfungsi untuk digunakan oleh murid. Tetapi lama-kelamaan, ianya telah menjadi rutin dan hanya mengambil masa 5 hingga 10 minit sahaja untuk memulakan PdP menggunakan ICT.

Cikgu Hasniza sedang membentangkan perkongsian ilmu PdP abad ke 21

Dalam ucapan penutup di majlis tersebut, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin memuji Cikgu Hazniza dan berharap semua guru dapat  menerapkan elemen ICT dalam PdP kerana ianya merupakan anjakan yang ke 7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu Memanfaatkan ICT Bagi Meningkatkan Kualiti Pembelajaran di Malaysia.

Kita sentiasa memberi ruang dan peluang kepada guru-guru Labuan berkongsi ilmu dan kemahiran terutamanya pembelajaran abad ke 21 bagi menjadi contoh dan amalan kepada guru-guru lain dalam menghasilkan kemenjadian murid sebagai salah satu aspirasi untuk memacu negara di masa akan datang.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua sektor,  Pengetua dan Guru Besar di atas kejayaan jabatan dan sekolah sepanjang bulan Ogos yang lepas.

Beliau juga memohon agar pihak sekolah dapat menjejaki kejayaan murid-murid dari semasa ke semasa bagi melihat hasil kemenjadian murid di masa akan datang.

Pada majlis tersebut juga diadakan bacaan ikrar Perkhidmatan Awam dan ikrar Integriti Perkhidmatan Awam, penyampaian anugerah dan sijil, ‘staff of the month’ .

Tidak lupa penyampaian kad dan hadiah hari lahir serta pemotongan kek kepada warga pendidikan yang lahir pada bulan September, diakhiri dengan nyanyian ‘Di sini lahirnya sebuah cinta’ dan ‘Aku Negaraku’.

Sumber Berita : Cikgu Nizam, SPA

 




Majlis Perkongsian Ilmu Kewartawanan dan Penulisan Berita

LABUAN, 18 September  – Seramai 30 ahli  jawatankuasa Portal JPWPL Sana Sini yang terdiri dari guru sekolah dan kakitangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  telah mengikuti Bengkel Penulisan Berita Asas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL, pada jumaat lalu.

Bengkel selama tiga jam itu dikendalikan oleh Ahli Fotografi Kanan Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan (UMSKAL), Encik Azri Onn Othman, dibantu oleh Puan Siti Zahara binti Mohammad, Pegawai SISC+ Bahasa Melayu (Menengah), JPWPL.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin yang hadir pada majlis tersebut berharap jawatankuasa laman web jabatan dan sekolah dapat dimantapkan lagi melalui penambahbaikan dalam penulisan berita.

“Menjadi harapan jabatan agar peserta bengkel dapat memantapkan lagi penulisan berita di dalam portal JPWPL Sana Sini, laman web sekolah masing-masing, termasuk media cetak”, katanya.

Menurut Penyelaras Program, Encik Zait Mohd Shafie, bengkel anjuran Sektor Pengurusan Maklumat itu bertujuan untuk mendedahkan peserta mengenai kaedah penulisan berita yang baik untuk dimasukkan ke dalam portal JPWPL Sana Sini, laman web rasmi sekolah dan media cetak.

Peserta yang hadir fokus mendengar taklimat dari penceramah

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Encik Azri Onn di atas sumbangan perkongsian ilmu yang diberikan dalam menjayakan bengkel ini.




Kembara UPSR 2017, Fikirkan Boleh, Engkau Boleh !

Bermula 4hb September di sekolah SK Sungai Lada dan berakhir di SK Pekan Dua pada 8 September, Kembara UPSR 2017 mampu merangsang motivasi calon UPSR Wilayah Persekutuan Labuan.

Kembara ini merupakan anjuran Majlis Guru Besar (MGB) WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Seramai 1234 orang calon akan menduduki peperiksaan UPSR di tujuh belas sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan bermula 11 September hingga 14 September dan 18 September 2017.

Dalam pengembaraan UPSR yang berlangsung seminggu di semua sekolah rendah,  Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkesempatan untuk memberi kata-kata perangsang dan motivasi bagi membakar semangat anak-anak murid UPSR 2017 dalam menghadapi peperiksaan kelak.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SK Bukit Kalam

Beliau sentiasa mengingatkan mengenai harapan ibu bapa masing-masing yang mengimpikan keputusan yang terbaik daripada semua calon. Guru-guru telah menjalankan tugas mengajar  dengan baik dan kini segala keputusan peperiksaan terletak dibahu calon sendiri samada ingin cemerlang A dalam semua mata pelajaran atau mendapat lulus semua mata pelajaran.

Setelah enam tahun bersekolah, besarlah harapan saya yang mewakili warga pendidikan agar semua calon UPSR 2017 Wilayah Persekutuan Labuan lulus dan menguasai tahap minimum UPSR. Keputusan cemerlang semua A adalah satu bonus kepada anak-anak sekalian, tetapi apa yang lebih penting anak-anak sekalian lulus dan menguasai semua mata pelajaran. Ciptalah sejarah kecemerlangan yang akan anda kenang sehingga akhir hayat anda.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SKK SK Rancha-Rancha

Beliau juga mengharapkan pihak sekolah fokus dalam melahirkan kemenjadian murid sebagai salah satu aspirasi untuk memacu negara di masa akan datang.

Pada saat-saat terakhir menjelang peperiksaan ini, Encik Raisin mengingatkan anak-anak UPSR 2017 agar sentiasa berdoa, menjaga kesihatan, sentiasa menunjukkan kasih sayang, taat dan patuh kepada ibu bapa serta menghormati guru-guru mereka.

Setelah kita telah bertungkus lumus dan berusaha, jangan lupa untuk berdoa dan memohon restu daripada kedua ibu bapa serta guru-guru anda. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka membesar dan mendidik anda sekalian. Akhirnya, insyaAllah kejayaan menanti di hadapan anda.

Chaiyok, Chaiyok, Fight for the best ! UPSR 2017 SJK(C) Chung Hwa

Sementara itu, YDP Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Encik Jaafar Haji Matusin mengingatkan calon UPSR agar sentiasa tenang dan teliti dalam menjawab setiap soalan yang diberikan.

Setiap soalan mempunyai markah yang amat bernilai untuk menentukan gred yang anda perolehi bagi setiap mata pelajaran. Sebagai contoh, alangkah ruginya anak-anak sekalian, sekiranya hanya memerlukan 1 markah sahaja untuk mendapat gred A dalam matematik akibat tidak meneliti soalan dengan baik.

Suntikan kata-kata semangat daripada Encik Raisin kepada calon UPSR SK Tanjung Aru

Ucapan terima kasih kepada guru-guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah, putus asa dan sentiasa memikirkan kaedah terbaik serta sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan kejayaan cemerlang anak-anak murid Labuan.

Pihak jabatan dan sekolah sentiasa mendoakan agar semua calon UPSR 2017 diberikan akal fikiran yang cerdas dan boleh menjawab dengan tepat semasa peperiksaan dijalankan dan mendapat keputusan yang cemerlang kelak.

Kepada Semua Calon UPSR :

Fikirkan Boleh. Engkau Boleh Lakukannya. Selamat Maju Jaya UPSR 2017.

Pasti Boleh! Kembara UPSR 2017 SK Pekan Satu

 

Nukilan pembakar semangat kepada calon UPSR SK Pantai

 

Hadiah berupa alat tulis kepada calon UPSR SKK SK St Anne

 




Semangatku Setinggi Jet Pejuangmu, Jom Hebat UPSR 2017

24 OGOS – Karnival Jom Hebat UPSR 2017 telah diadakan pada 23 dan 24 Ogos 2017 di Dewan Pangkalan Udara, Tentera Udara DiRaja Malaysia Membedai, Labuan. Seramai 87 orang murid dan 28 orang  guru dari 4 mata pelajaran terlibat dalam karnival ini. Kesemua mereka terdiri daripada murid cemerlang dari 14 buah sekolah rendah yang bakal menduduki  UPSR pada bulan September ini.

Program Kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia,  ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan bagi memberikan persiapan terakhir murid sebelum menduduki  Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan bermula dari 11 hingga 14 September 2017.

En Zamri Tiri, Guru Matematik SK Patau-Patau sedang menerangkan teknik menjawab soalan Matematik dengan mudah menggunakan konsep didik hibur.

Karnival yang berkonsepkan  pembelajaran Abad ke-21 ini memberi pendedahan kepada murid teknik dan kaedah yang sesuai bagi bagi menjawab soalan-soalan yang berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam semua empat  kertas peperiksaan UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Murid dan guru juga diberi peluang membuat lawatan ke Lapangan Terbang Udara,  Pangkalan Udara Labuan bagi merasai sendiri menaiki pesawat  pejuang  milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Kesemua murid yang hadir turut serta melahirkan rasa gembira kerana dapat dipilih menyertai program ini disamping dapat merasai sendiri keseronokan dan pengalaman menaiki pesawat pejuang negara.

Semoga semangat murid-murid Labuan setinggi dan sehebat  jet pejuang TUDM. Selamat Maju Jaya dan Teruskan Berjuang UPSR 2017.  Kejayaan Anda Kebanggaan Kami. Anda boleh lakukannya.

Sumber Berita :  Inanis Fatinisupi bin Abdullah

Gambar kenangan bersama Pegawai dan Jet Pejuang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)

 




Perubahan Bermula di Bilik Darjah

22 Ogos – Bengkel Pemantapan Pembudayaan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) sekolah-sekolah Showcase WP Labuan  telah diadakan pada di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.  Seramai 30 orang dan dan 90 orang guru dari  17 buah sekolah hadir dalam bangkel ini.

Bengkel anjuran Bahagian Pendidikan Guru (BPG)  , Kementerian Pendidikan Malaysia  ini telah memberi peluang kepada 6 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan untuk berkongsi  amalan-amalan terbaik pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc)  menggunakan kaedah PLC. Empat buah sekolah  tersebuat ialah SMK Labuan, SM St Anne, SK Pekan Satu dan SK Pekan Dua sebagai sekolah Showcase PLC serta dua buah sekolah jemputan iaitu SMK Taman Perumahan Bedaun dan Labuan International School.

Ucapan aluan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik ,Pn Norismah Bt Abd Moin

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah :

Perubahan kaedah pengajaran guru bermula dari bilik darjah, amalan kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan dan dibudayakan dalam meningkatkan mutu pendidikan kita di samping dapat meningkatkan hubungan yang berkualiti dalam kalangan guru.

Bengkel ini juga turut dihadiri Dr Roslan Bin Husin dari Bahagian Pendidikan Guru , Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam ucapan pengulungan beliau di akhir bengkel mengariskan 3 perkara penting dalam pelaksanaan PLC ;

  1. PLC yang dilaksanakan perlu memastikan murid dapat belajar
  2. berfokus kepada penguasaan dan pencapaian murid
  3. Budaya Kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan

Bengkel berakhir pada pukul 2.30 petang.

Sumber Berita : Inanis Fatinisupi bin Abdullah

Peserta bengkel yang hadir

 




Kemenjadian dan Kecemerlangan Murid Bermula di Sini

Labuan – Perhimpunan bulanan bagi bulan Ogos 2017 telah diadakan pada 24 Ogos 2017 yang bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN).

Perhimpunan kali ini telah dikelolakan oleh Sektor Pengurusan Sekolah dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN)

Dalam perutusan Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua ketua sektor, KPP BTPN, pegawai jabatan, Pengetua Guru Besar atas kejayaan pelaksanaan semua program Sektor, BTPN dan Sekolah.

Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pegawai-pegawai Jabatan, Pentadbir-pentadbir dan Guru-guru Sekolah yang tidak jemu-jemu mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kurikulum dan kokurikulum. Kesungguhan ini mencerminkan kita sentiasa berusaha membawa pendidikan Labuan ke arah kecemerlangan.

Tema perhimpunan bulanan bagi bulan Ogos 2017 adalah ‘ Kemenjadian dan Kecemerlangan Murid Bermula di Sini’.

Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pihak jabatan dan sekolah samada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antara kejayaan yang dicapai dalam bulan Ogos adalah seperti :

  1. SMK Labuan – Johan Dart, Naib Johan Bola Jaring di Karnival Tingkatan 6 Peringkat Negeri Sabah dan Labuan
  2. SMK Rancha-Rancha – Johan Sketsa Rukun Tetangga anjuran Jabatan Penerangan
  3. SMK Rancha-Rancha – Johan Pertandingan Robotik Peringkat W.P Labuan
  4. SK Pantai – Johan Pertandingan Fesyen Merdeka Kreatif Sempena Hari Merdeka

Majlis Sambutan Harijadi kepada Warga Pendidikan WP Labuan yang lahir pada bulan Ogos

Dalam majlis ini juga telah diadakan Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat kepada Pegawai di Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan pegawai sokongan di sekolah.

 




Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 16 Ogos – Perlembagaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pada 30 Mei 2017. Bahagian Saraan, Jabatan Pendidikan Awam Malaysia dalam suratnya telah meluluskan Penubuhan MBJ  JPWPL secara rasminya berkuatkuasa pada 07 Jun 2017.

Urusetia telah mengadakan satu Mesyuarat MBJ JPWPL bagi Pihak Pekerja Bil 1/2017 pada 2 Ogos 2017 yang telah di Pengerusikan oleh Pengerusi Sementara iaitu Setiausaha Pihak Pegawai sebagai Moderator bagi pemilihan Ahli Pihak Pekerja sebagai Pengerusi Pihak Pekerja (Naib Pengerusi) dan Setiausaha Pihak Pekerja (Setiausaha Bersama) MBJ JPWPL bagi sesi Tahun 2017 – 2018 (dua Tahun).

Pemilihan tersebut yang berlangsung tanpa sebarang campurtangan daripada pihak pengurusan tertinggi JPWPL.

Pihak Pekerja telah sebulat suara untuk memilih Encik Mohd Nizam bin Yasim sebagai Pengerusi Pihak Pekerja dan secara automatik menjadi Naib Pengerusi MBJ JPWPL dan Cik Ajiejah binti Lajim sebagai Setiausaha Pihak Pekerja (Setiausaha Bersama) di dalam Mesyuarat MBJ JPWPL.

Setiausaha Bersama MBJ JPWPL iaitu Puan Caroline binti Boni bagi Pihak Pegawai dan Cik Ajiejah binti Lajim bagi Pihak Pekerja.

Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Raisin Saidin secara automatik dilantik sebagai Pengerusi bagi Pihak Pegawai merangkap  Pengerusi Majlis Bersama Jabatan, JPWPL dan Ketua-ketua Sektor dilantik sebagai Pihak Pegawai.

Pelantikan Ahli Pihak Pegawai dan Pihak pekerja MBJ JPWPL pada hari ini adalah berdasarkan kepada waran perjawatan sediaada dan juga selaras dengan Perlembagaan MBJ JPWPL yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

MBJ JPWPL adalah sebagai satu platform bagi semua wakil perkhidmatan/ kesatuan pihak kerja untuk mengusulkan isu-isu/ cadangan seperti Elaun dan Kemudahan, Kewangan, Perkhidmatan, Skim Perkhidmatan dan Perjawatan, Kebajikan dan Pentadbiran.

Semua isu dan cadangan wakil pihak pekerja ini akan dibincangkan semasa Mesyuarat MBJ JPWPL bagi diputuskan jalan penyelesaiannya.

Manakala bagi isu-isu dan cadangan yang tidak dapat diselesaikan dan memerlukan rujukan berkenaan dasar atau peraturan-peraturan yang lain ianya akan diangkat ke Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pendidikan Malaysia atau Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Encik Raisin Saidin sedang menyampaikan amanat kepada Ahli Majlis Bersama Jabatan, JPWPL

Semasa Mesyuarat MBJ bil 1/2017 pada 16 Ogos 2017 yang dipengerusikan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin selaku Pengerusi pihak pegawai dan Pengerusi MBJ JPWPL, menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Khas Penubuhan Majlis Bersama Jabatan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Alhamdulilah setelah kita mengenalpasti isu-isu yang berkaitan dengan pewujudan dan pendaftaran secara rasmi, kita telah berjaya untuk mendapatkan kelulusan bagi Nombor Pendaftaran (No. MBJ: 1200033) Majlis Bersama Jabatan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Ini merupakan satu kejayaan yang amat bermakna kepada JPWPL dan ucapan tahniah kepada seluruh warga jabatan khususnya kepada pihak urusetia MBJ, Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan yang diurusetia oleh pegawai meja, Encik Shaharedzuan bin Mohd Salleh.

Dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai 2 kumpulan iaitu Pihak Pegawai (Majikan) dan Pihak Pekerja.

Menjadi harapan Encik Raisin Saidin agar Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan ini dapat menjadi satu medium bagi pihak pegawai dan pihak pekerja memberikan idea-idea yang bernas bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan lebih cemerlang pada masa hadapan.

Sumber Berita : Encik Shaharedzuan Mohd Salleh

 

Antara Ahli Majlis yang hadir pada mesyuarat MBJ JPWPL bil 1/2017

 




Cungkil Bakat Pelajar Melalui Bidang Kulinari

Labuan- Tema masakan 2017 iaitu MENU SIHAT “ SAJIAN SIHAT KLASIK MALAYSIA”

Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri W.P. Labuan 2017 dengan kerjasama KPM Dan Tajaan Nestle Products Sdn Bhd telah diadakan pada 12 Ogos 2017 yang bertempat di Pusat Ko Kurikulum Negeri.

Program ini telah dirasmikan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapan tersebut Encik Raisin Saidin menyatakan bahawa :

Matlamat utama pertandingan ini diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang berbakat di dalam bidang kulinari.  Program ini  juga adalah program tahunan kementerian di mana satu usaha dalam mencungkil bakat pelajar dalam bidang masakan di samping membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang berkenaan. Pada masa kini, mempunyai kemahiran memasak memberi keuntungan yang lumayan kepada individu maka sebaiknya pada usia remaja ini, kemahiran memasak perlulah didedahkan dengan menggunakan kreativiti sedia ada.

Encik Raisin Saidin bersama kumpulan pelajar yang bertanding

Pencapaian anak-anak murid kita di Peringkat Kebangsaan juga amat membanggakan di mana pada tahun 2002 SM St Anne telah mendapat Johan, Tahun 2006 SMK Labuan mendapat tempat ke tiga, 2010 SMK Pantai Naib Johan dan 2012 sekali lagi SMK Pantai menjadi Johan.

Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi, yang disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri, telah memberi peluang kepada beribu-ribu murid  sekolah untuk menyertai pertandingan memasak di negeri dan kebangsaan, diharap akan terus berbuat demikian pada masa mendatang. Sepertimana yang diuar-uarkan dalam Anjakan ke-10 Memaksimumkan Keberhasilan Murid Bagi Setiap Ringgit 

Johan memasak – SMK Pantai

KEPUTUSAN RASMI PERTANDINGAN MEMASAK SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI 2017

JOHAN             : SMK PANTAI
NAIB JOHAN       : SMK LABUAN
KETIGA            : SMK MUTIARA

Sumber berita : Encik Asmawi bin Ahmad

 




Sijil Pengiktirafan International Baccalaureatte (IB) World School-Middle Years Programme (MYPIB)

Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan sembilan sekolah menengah di negara ini berjaya memperoleh sijil pengiktirafan International Baccalaureatte (IB) World School-middle Years Programme (MYPIB). Labuan harus berbangga kerana salah sebuah sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis berlangsung pada 19 Julai 2017 bersempena program Cultivating A Thinking Culture – A Show Case betempat di Jabatan Perdana Menteri.

Di bawah pensijilan IB World School sembilan sekolah berkenaan menjadi sebahagian daripada 1,424 sekolah di seluruh dunia yang berpeluang mengikuti model pembelajaran dengan pendekatan MYPIB ke arah menjadikan mereka berfikiran kreatif dan kritis.

Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga SMK Pantai IBWS dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sumber Berita : Sahar bin Misron