Kem Pemantapan Akidah 2017

LABUAN, 30 Okt – Seramai 36 pelajar dari sembilan sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Kem Pemantapan Akidah di Pusat Kokurikulum Wilayah Persekutuan Labuan.

Penyelaras program Ustaz Muhamad Salihan Hamzah dalam ucapannya berkata penganjuran bertujuan membentuk peribadi pelajar yang mempunyai asas keimanan yang kukuh bidang akidah, ibadah dan kepimpinan.

Katanya sepanjang program itu peserta diberi pendedahan berkenaan ancaman akidah dalam mengharungi cabaran masa kini.

“Sementara itu, pelbagai aktiviti lain telah diadakan seperti ice breaking, explorerace, bacaan yassin, solat dhuha dan riadah minda.Tujuan program adalah untuk memperbetulkan akidah peserta tentang Islam serta untuk mengetahui tentang fahaman ahli sunnah wal jamaah dan ajaran sesat,” katanya.

Majlis penutupan kem telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin, yang memberi sokongan serta galakan agar program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, peserta terbaik lelaki dan perempuan masing-masing telah disandang oleh pelajar tingkatan 3 SMK Lajau Mohd Syazwan Sabli dan pelajar tingkatan 3 SMK Rancha-Rancha Nur Afiah Hashim .

Turut hadir, Ketua Unit Pendidikan Islam Ustaz Syahir Yusoff dan Ketua Unit Kokurikulum Mohamed Al Ghaffar Mohamed Maidin.

Sumber Berita : Utusan Borneo




Bingkisan Karnival SMathen 2017, SELAMAT PAGI MALAYSIA TV1

Labuan : Seramai 299 peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah membabitkan 32 sekolah daripada 4 buah negara iaitu Indonesia, Filipina, Vietnam dan Malaysia menyertai Pertandingan SMathEn Antarabangsa 2017.

Karnival ini  berlangsung selama empat hari bermula 25hb hingga 28hb Oktober bertempat di SK St Anne, Dewan JKR Labuan dan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelajar yang ditemui merasa seronok dan teruja menyertai acara yang dipertandingkan selain mendapat pengalaman dan mengenali rakan baharu.

SK St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan muncul juara keseluruhan setelah berjaya meraih empat (4) emas melalui Sumo Robotik, GMath individu dan berkumpulan serta Labuan English Amazing Race.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan pada majlis makan malam SmathEn 2017 pada 28hb Oktober.

Datuk Rozman berkata, generasi muda perlu dididik dengan pelbagai aspek kemahiran menerusi kurikulum baharu sesuai dengan cabaran abad ke 21.

Beliau juga berharap dengan peningkatan ilmu dan kebolehan pelajar dapat melahirkan bakal pemimpin minda kelas pertama dan mampu bersaing di peringkat global.

YB Rozman merasmikan karnival SMathen Antarabangsa 2017 diperhatikan oleh Encik Raisin dan Puan Shim (Ehsan RTM)

Pada majlis ini turut diadakan majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Guru Besar ke empat-empat negara serta dimeriahkan lagi persembahan kebudayaan dan nyanyian murid sekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK St Anne, Puan Shim Cheng Teo mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berasa gembira dengan kejayaan penganjuran karnival ini lebih-lebih lagi berjaya menarik penyertaan dari  negara luar.

Walaupun sekolah ini kecil, tetapi mempunyai nafsu yang besar dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan murid, demi melihat kejayaan mereka di masa hadapan, katanya lagi.

Penganjuran karnival SMathen ini adalah anjuran SK St Anne bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Zainal Madasin.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada SK St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Kejayaan ini juga mendapat liputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui program SELAMAT PAGI MALAYSIA di TV1. Pautan boleh ditonton melalui URL : https://youtu.be/ahWIa4Hstms

Pertandingan Labuan English Amazing Race

 

Peralatan Robotik yang digunakan dalam Pertandingan Sumo Robotik

 




Didik Murid Untuk Kesejahteraan Kelak

Labuan, 26 Okt :

Guru hendaklah mengajar dan mendidik anak-anak murid supaya mereka boleh hidup sejahtera dan sempurna pada zaman mereka kelak.

Demikian ucapan amanat Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin di Majlis agihan Tablet berserta aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia hari ini bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh.

Teknologi ICT merupakan suatu keperluan dalam zaman ini, murid bertambah seronok dan bersemangat jika guru bijak memanfaatkan ICT dalam pengajaran di bilik darjah.

Oleh itu, kemudahan tablet yang diberikan kepada  guru amat bertepatan bagi membantu guru merancakkan lagi pembelajaran abad ke 21, khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan ini.

Encik Raisin Saidin juga berkata, roh guru perlu ada di setiap orang guru, sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengajar anak murid bagi menimbulkan suasana keseronokan belajar di kalangan murid.

“Guru harus bersedia dan selesa mengajar tetapi dalam masa yang sama guru perlu mempersiapkan diri agar murid juga bersedia dan selesa untuk belajar. Barulah pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan seronok dan berkesan”, katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk mengubah pendidikan negara serta meningkatkan pencapaian murid. Matlamatnya akhirnya melahirkan murid yang berfikiran kreatif dan kritis dalam sebarang bidang yang diceburi.

Sebanyak 30 orang guru SK Bebuloh menerima tablet yang telah disampaikan sendiri oleh Encik Raisin dan merupakan sekolah yang ke 19 di Labuan menerima agihan peralatan bantu mengajar ini.

Terdahulu, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah kepada Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah yang baharu sahaja dilantik iaitu Encik Adam Abd Rahim (Guru Besar) dan Encik Aznan Abidin (Penolong Kanan Pentadbiran).

Beliau berharap agar kedua-dua pentadbir ini dapat berkerjasama dalam menaikkan lagi prestasi dan pencapaian SK Bebuloh.

Turut hadir pada majlis tersebut Puan Noremelia Mohamad Nor, Pengurus Perhubungan Kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Encik Adam Abd Rahim, Guru Besar SK Bebuloh, Ketua-ketua Sektor dan Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Guru-guru SK Bebuloh gembira menerima kemudahan tablet bagi tujuan PdP

 




Seramai 1394 Guru Labuan Menerima Tablet Secara Berperingkat

Labuan, 23 Okt – Seramai 1,394 guru Labuan menerima tablet dilengkapi perisian Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia secara berperingkat bermula 23hb Okt sehingga 27hb Okt 2017.

Majlis Perasmian penyerahan tablet yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Dalam ucapannya, beliau menyeru guru-guru memanfaatkan kemudahan tablet yang diberikan dengan menyesuaikan gaya penyampaian seiring dengan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

Seiring dengan peredaran zaman yang menyaksikan penggunaan gajet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), guru-guru Labuan tidak seharusnya ketinggalan, katanya.

Pemberian tablet yang dilengkapi dengan perisian Tutor Guru serta e-Paper Utusan Malaysia ini bertujuan memudahkan proses penyediaan lembaran kerja secara digital dalam kalangan guru bagi membolehkan mereka me­lakukan perancangan pengajaran di mana-mana sahaja tanpa me­ngira masa.

Perisian Tutor Guru membantu guru mengakses pangkalan data soalan dan memudahkan mereka menyediakan latihan kepada murid.

Manakala e-Paper Utusan Ma­laysia boleh digunakan untuk guru mengetahui perkembangan terkini berita-berita tempatan dan dunia.

Sebelum ini, tablet telah diserahkan kepada guru-guru di Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Putrajaya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Puan Faridah Hashim, Pengurus Kanan Audit Dalaman dan Pematuhan Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Cik Shim Ching Teo, Guru Besar SK St Anne, Ketua-Ketua Sektor, KPP BTPN, Pengetua dan Guru Besar WP Labuan.

 




Jalinan Khidmat Masyarakat Universiti Malaya dan SMK Labuan

Labuan, 12 Okt – Universiti Malaya dan SMK Labuan telah mengadakan Program Khidmat Jalinan Masyarakat pada 11 Oktober bertempat di SMK Labuan dan Dewan SK Pekan Satu.

Program yang diadakan di bawah Pusat Kecemerlangan Perniagaan, Fakulti Perniagaan & Perakaunan, Universiti Malaya yang menawarkan khidmat jalinan masyarakat mereka kepada beberapa sekolah di Malaysia.

Tawaran tersebut telah diterima baik oleh SMK Labuan memandangkan wujud keperluan untuk membantu pelajar khususnya yang berkaitan dengan kemahiran teknik menjawab Pengajian Perniagaan STPM dan Prinsip Perakaunan SPM.

Selain daripada itu, program bersama Universiti Malaya ini juga dimanfaatkan untuk memotivasi pelajar serta mendedahkan kepada pelajar tentang peluang untuk meneruskan pengajian di Universiti Malaya.

Antara objektif program, pelajar mengetahui teknik menjawab soalan peperiksaan yang menepati skema jawapan, memperolehi maklumat tentang kaedah ulangkaji yang berkesan, mendapat tips untuk menguasai dan memahami teknik yang sukar, meningkatkan keyakinan mereka untuk menjawab soalan, mendapat dorongan untuk berusaha meningkatkan gred keputusan sekaligus meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS) dalam keputusan peperiksaan.

Kemuncak program ini menjadi lebih bermakna kerana pihak Universiti Malaya dan SMK Labuan telah menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) yang bakal mengangkat SMK Labuan sebagai ‘Feeder College’ kepada Universiti Malaya.

Encik Ismail (kanan) dan Dr Ahmad Zahiruddin (kiri) menandatangani Surat Hasrat

Kandungan Surat Hasrat PraUniversiti SMK Labuan dan Pusat Kecemerlangan Perniagaan, Fakulti Pernigaan dan Perakaunan, Universiti Malaya adalah seperti berikut :

PRAUNIVERSITI SMK LABUAN bersedia dan komited untuk membekalkan pelajar-pelajar dari aliran kemanusiaan dan sains yang berkualiti dan berkelayakan untuk mengikuti pengajian di Fakulti Perniagaan & Perakaunan.

PUSAT KECEMERLANGAN PERNIAGAAN, FAKULTI PERNIAGAAN & PERAKAUNAN, UNIVERSITI MALAYA bersedia membimbing para pelajar PRAUNIVERSITI SMK LABUAN mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek, dengan sasaran jangka panjang menjadikan PRAUNIVERSITI SMK LABUAN sebagai “Feeder College” utama yang berupaya menyumbang ramai calon siswa iaitu pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) melanjutkan pelajaran ke UNIVERSITI MALAYA, tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan universiti sedia ada.

PRAUNIVERSITI SMK LABUAN dan UNIVERSITI MALAYA melalui PUSAT KECEMERLANGAN PERNIAGAAN, FAKULTI PENGURUSAN PERNIAGAAN & PERAKAUNAN akan sentiasa bekerjasama, komited melalui program yang disusun untuk membantu melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti dalam bidang pengurusan perniagaan & perakaunan serta bidang berkaitan.

Pegawai Universiti Malaya yang hadir ialah  Pengarah Pusat Kecemerlangan Perniagaan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan,  Dr Ahmad Zahiruddin Yahya dan Fellow, Pusat Kecemerlangan Perniagaan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Dr Jumaat Abd Moen.

Sumber Berita : SMK Labuan

 




Kem SMART 3M LINUS2.0 Pemulihan Khas 2017

Labuan – Kem SMART 3M LINUS2.0 Pemulihan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2017 telah diadakan pada 9 Oktober 2017 bertempat di Pusat Kokurikulum Negeri, Kampung ganggarak, W.P. Labuan.

Kem yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini melibatkan 86 orang murid Pemulihan Khas dari semua sekolah rendah di W.P. Labuan.

Kem Smart 3M ini merupakan program yang pertama kali dilaksanakan di peringkat negeri, di mana sebelum ini dikenali sebagi Kem Serlah Minda Pemulihan Khas yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Kem ini bermatlamat memberi peluang kepada murid-murid Pemulihan Khas menonjolkan potensi diri mereka dalam aktiviti berbentuk gabungan kokurikulum dan kurikulum.

Selain itu, kem ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada murid Pemulihan Khas mempertingkatkan penguasaan kemahiran bahasa dan mengira.

Encik Raisin Saidin (belakang, tengah), Puan Maimoon( kanan) dan Encik Ghaffar(kiri) bersama peserta Kem SMART 3M LINUS2.0 Pemulihan Khas

Dalam ucapan perasmian penutupan yang disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP. Labuan, menyokong pelaksanaan kem ini kerana aktiviti yang dilaksanakan membantu dalam menggalakkan pembinaan bahan inovasi dan rekacipta di kalangan guru Pemulihan Khas di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau juga berpesan agar tiada murid yang tertinggal dalam proses pembelajaran terutama murid-murid Pemulihan Khas.

Kehadiran dan penglibatan ibu bapa murid-murid dalam sebarang aktiviti Pemulihan Khas begitu bermakna. Saya terharu dengan sikap dan keprihatinan ibu bapa ini yang sentiasa memberi harapan kepada anak-anak mereka. Aktiviti dalam kumpulan kem ini juga menyemarakkan elemen2 4C dalam pembelajaran abad ke 21, katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada sektor peneraju Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Pengurusan Akademik dan komitmen guru-guru Pemulihan Khas dari 17 buah sekolah rendah di labuan yang telah menjayakan kem yang julung kali diadakan.

Terima kasih juga kepada Guru Besar semua sekolah yg telah memastikan kehadiran murid-murid sekolah masing-masing.

Turut hadir pada majlis perasmian penutupan, Puan Maimoon Hj Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Mohamed Al Ghaffar Mohamed Maidin, Ketua Unit Pusat Kokurikulum Negeri, Pegawai-Pegawai FasiLINUS dan wakil-wakil Guru Besar Sekolah Rendah Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin (tengah) bersama Puan Maimoon mencuba stesen Jom Mengail Perkataan

Sumber Berita : Puan Maznah Embran 

 




Karnival Prasekolah Swasta 2017

Labuan, 10 Oktober – Buat julung kalinya, Karnival Prasekolah Swasta 2017 Peringkat Negeri Labuan dengan matlamat utamanya untuk memberikan peluang meningkatkan dan melahirkan kanak-kanak yang berpotensi dari pelbagai aspek perkembangan serta pembelajaran melalui pendedahan secara aktif dalam aktiviti yang menyeronokkan.

Karnival ini juga bertujuan memastikan 100%  Prasekolah Swasta di Wilayah Persekutuan mempunyai permit pendaftaran yang sah berdaftar dengan Jabatan Pendidikan WP Labuan (JPWPL).

Program anjuran Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, JPWPL dengan kerjasama Sekolah Antarabangsa Labuan dan Tadika-tadika Swasta telah berlangsung di Ruang Legar Anggerik Kompleks Ujana Kewangan pada 8 Oktober yang lalu.

YB Datuk Rozman (tengah) bersama Encik Raisin dan peserta karnival

Bersandarkan tema, “Anakku Genius,Permata Hatiku“, tadika-tadika telah menunjukkan bakat yang ada pada setiap kanak-kanak yang berumur 4+ dan 5+ dalam pelbagai acara seperti bercerita dan membaca lancar  dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Choral Speaking, tarian tradisional dan moden.

Selain itu, booth pameran 14 buah tadika yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia juga disediakan untuk ibu bapa mengenali dan memilih tadika yang bersesuaian dengan kemahuan dan keperluan masing-masing.

Karnival ini telah dirasmikan oleh YB Yb Datuk Rozman Bin Datuk Hj Isli,  Ahli Parlimen WP Labuan,  yang turut dihadiri oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan WP Labuan dan Puan Maimoon binti Hj Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL dan barisan pengelola-pengelola tadika swasta.

Sumber Berita : Zaliha Mohd Salleh

 




Karnival Kimia Malaysia (K2M) 2017 Peringkat Negeri Sabah dan Labuan

Labuan, 9 Oktober – Buat julung kalinya, Karnival Kimia (K2M) 2017 Peringkat Negeri Sabah dan Labuan telah diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan matlamat utamanya untuk memberikan pendedahan tentang Kimia dalam kehidupan seharian.

Program anjuran Institut Kimia Malaysia Cawangan Sabah dan W.P. Labuan, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan W.P. Labuan dan Perbadanan Labuan telah berlangsung di Dewan Kolej Matrikulasi Labuan pada 7 Oktober yang lalu.

Bersandarkan tema, “Sustainability & Diversity through Chemistry“, K2M akan menghubungkaitkan kimia dengan beberapa aspek kehidupan seperti makanan dan pemakanan, air dan tenaga, persekitaran dan perubahan iklim.

Pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan, untuk mencapai empat matlamat utama  iaitu meningkatkan kesedaran orang awam terhadap keupayaan bidang kimia dalam memenuhi keperluan dunia, menggalakkan minat bidang kimia di kalangan generasi muda, menjana keghairahan demi kreativiti masa hadapan untuk bidang kimia dan meraikan pencapaian Marie Curie dan sumbangan wanita dalam bidang kimia.

Karnival ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Hj Bashir Alias yang turut dihadiri oleh Dr. Jenny Lee, Pengerusi Institut Kimia Malaysia, Cawangan Sabah, Tuan Haji Rithuan Hj Mohd Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ( Perbandaran ) , Perbadanan Labuan dan Puan Norismah Ab Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPWPL.

Pelajar-pelajar yang menyertai Karnival Kimia 2017

 




Karnival Pendidikan Bijak Dan Bakat Prasekolah Peringkat W.P. Labuan 2017

Labuan, 5 Oktober – Karnival Pendidikan Bijak Dan Bakat Prasekolah Peringkat W.P. Labuan tahun 2017 telah diadakan pada 2-5 Oktober 2017 dan bertempat di Dewan SK Layang-Layangan. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapan beliau telah menyatakan bahawa :

“Prasekolah merupakan asas pendidikan yang paling penting sebelum mereka memulakan pendidikan rendah tahun satu.  Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Research Organisation Evaluation OECD (2011) terdapat kaitan antara pendidikan  prasekolah dengan pendapatan isi rumah dan keberhasilan lain yang membawa manfaat sepanjang hayat.  Justeru kerana itu dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) amat menekankan peningkatan enrolmen dan kualiti prasekolah secara serentak.Ini bagi memastikan murid-murid yang berada di tahun 1 semuanya pernah melalui pendidikan prasekolah sama ada prasekolah yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mahupun diusahakan oleh pihak swasta.”

Puan Diah Mohd Yussof (kiri) Ketua Unit Prasekolah bergambar kenangan bersama Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon binti Matnoh

Berikut adalah antara keputusan pertandingan sempena karnival tersebut :

Pemenang Lego:
1. SK Layang Layangan
2.SK Sungai Bedaun
3.SK Bebuloh

Pemenang Hafazan:
Lelaki:
1.SK Pantai
2.SK Membedai
3.SK Bukit Kalam

Perempuan:
1.SK Pekan Satu
2.SK Patau Patau
3.SK Sungai Lada

Keputusan membina perkataan dalam bahasa melayu
1.SK Pekan Dua
2.SK Kerupang
3.SK Lubok Temiang

Pemenang Nyanyian Solo
1. Ayla Syuhada Binti Joe Hellmy(SKK Rancha Rancha)

2 Nur Nashwa Alyaa bt Muhammas Ameran (SK Tanjung Aru)

3. Nurfasha arianna bt abu bakar (SK Pantai)




LICER 2017 Platform Kongsi Pembelajaran Lebih Berinovasi

LABUAN, 2 Okt  – Labuan International Conference On Educational Research (LICER) 2017 merupakan platform terbaik bagi guru-guru khususnya di Labuan berkongsi pengalaman mengajar serta membentangkan kertas kerja mereka khususnya bentuk pembelajaran yang lebih inovatif dan kreatif yang diamalkan pada abad ke-21 ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, LICER telah mengundang pembentang-pembentang kertas kerja yang berpengalaman khususnya tentang cara pembelajaran yang lebih inovatif dari Thailand, Korea Selatan, Brunei serta Vietnam yang boleh dikongsi dan dipraktikkan oleh guru-guru di sini.

“LICER ini diharap mampu mencungkil kebolehan tenaga pengajar dalam menghasilkan kertas kerja dan kajian yang memberi impak yang berkesan kepada para pelajar dalam suasana pembelajaran abad ke-21 yang lebih kreatif dan berinovasi.

Encik Raisin Saidin  (kanan) dan Datuk Sulaiman (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita

“Hasil kajian yang berjaya telah dipraktikkan di sekolah masing-masing yang akan dibentangkan pada LICER kali ini bagi tujuan perkongsian ilmu serta membentuk jaringan komunikasi yang baik antara peserta dan para pembentang kertas kerja”, ujar Encik Raisin Saidin lagi semasa Majlis Perasmian LICER 2017 tersebut di sini, petang semalam.

 

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan), Datuk Sulaiman Wak berkata kementeriannya amat mengalakkan para pengajar sentiasa berfikir di luar kotak dalam menghasilkan budaya pembelajaran yang lebih kreatif serta menggalakkan budaya pembelajaran inovasi dalam kelas.

Datuk Sulaiman memuji Jabatan Pendidikan Labuan yang meneruskan kesinambungan dalam menganjurkan LICER 2017 ini yang pada masa yang sama dapat menjadikan pulau bebas cukai tersebut sebagai “Hub Education Research” kementeriannya di negara ini.

Seramai 88 orang pembentang kertas kerja serta 108 peserta dari seluruh negara yang menyertai LICER kali ini yang bertemakan “To Encourage Innovation and Promote A Research Society in 21st Century”.

Sumber Berita : Uda Bayas, 29 September 2017