PROGRAM PEMENTORAN MELAHIRKAN PEGAWAI BERPRESTASI TINGGI DAN AMALAN BEKERJA KELAS PERTAMA

Labuan, 22 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) melalui Sektor Psikologi dan Kaunseling telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program Pementoran dan Penyampaian Watikah Pelantikan Mentor dan Menti Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Benua, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), JPWP Labuan.
 
Majlis yang diadakan bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan seramai 24 orang mentor dan 35 orang menti yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari pelbagai sektor di JPWPL.
 
Program ini juga bertujuan membimbing pegawai dalam peningkatan kerjaya dan kesejahteraan psikososial serta meningkatkan kemahiran pegawai dari aspek profesional, budaya kerja, personal dan sosial.
 
Program dimulakan dengan taklimat Program Pementoran yang menerangkan konsep, peranan mentor dan menti serta pelaksanaan program bagi tahun 2026 diikuti dengan perkongsian amalan baik oleh pemenang Anugerah Pasangan Mentor dan Menti Terbaik Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2025, yang turut berkongsi pengalaman serta strategi kejayaan dalam pelaksanaan pementoran berkesan.
 
Program ini dirasmikan oleh En. Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan JP WPLabuan. Sesi bacaan ikrar mentor dan menti menjadi kemuncak majlis sebagai simbol komitmen bersama dalam menjayakan program pementoran secara profesional, beretika dan berfokuskan pembangunan holistik pegawai.



LABUAN KOMITED LANCARKAN KEJOHANAN MERENTAS DESA KEBANGSAAN 2026

Labuan, 22 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengukuhkan komitmen bagi memastikan kelancaran Pengelolaan Merentas Desa Kebangsaan 2026, dengan Labuan bertindak sebagai tuan rumah pada 25 April 2026.
 
Komitmen ini dizahirkan dalam Mesyuarat Pengurusan Sukan Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan, YBrs. Yahya bin Ahmad Puteh. Mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan agenda utama persiapan kejohanan peringkat kebangsaan itu turut dihadiri oleh Majlis Pengurusan Tertinggi jabatan serta Pengetua dan Guru Besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
YBrs. Yahya Ahmad Puteh dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak pengurusan amat komited dalam memastikan kejayaan program ini dan sentiasa menyokong penuh perkembangan serta program sukan di bawah seliaan Sektor Pembangunan Murid.
 
Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan Takwim MSSWPL 2026 oleh semua sekolah agar tidak mengganggu kelancaran keseluruhan program dan takwim jabatan. Pengarah selaku pengerusi mesyuarat berharap agar perancangan yang telah diatur dapat berjalan dengan lancar.
 
Sebagai rekod, persiapan awal bagi kejohanan di Labuan ini termasuklah Mesyuarat Induk Kejohanan Merentas Desa MSSWPL Bil 1/2026 yang telah membincangkan maklumat kejohanan peringkat wilayah.
 
Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2026 peringkat wilayah dijangka akan diadakan pada 10 Februari 2026 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, dengan pengelola bersama oleh SM St. Anthony dan SK Lubok Temiang.



Dialog Prestasi Berfokus Bilangan 1 Tahun 2026

Labuan, 22 Januari 2026 – Dialog Prestasi Berfokus ini adalah mekanisme penting memastikan pelaksanaan Dasar dan Aspirasi Rancangan Pendidikan Negara diterjemahkan di peringkat negeri dan sekolah.
 
Dialog Prestasi Berfokus menyokong agenda utama Rancangan Pendidikan Negara khususnya:
– Peningkatan Kualiti dan Ekuiti Pendidikan,
– Pengurangan Jurang Pencapaian Murid,
– Pemerkasaan Sekolah Sebagai Unit Pelaksana Utama.
 
Kluster Kemenjadian Murid merupakan teras utama dalam Rancangan Pendidikan Negara. Dua fokus utama dialog:
– Pencapaian Murid Calon SPM 2026 sebagai indikator keberhasilan pendidikan menengah.
– Pencapaian Murid Pemulihan sebagai komitmen terhadap prinsip keadilan dan keterangkuman pendidikan.
 
Urusetia DTP
Sektor Perancangan
Jabatan Pendidikan W. P Labuan
 



𝗚𝘂𝗿𝘂 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗶𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗪𝗣 𝗟𝗮𝗯𝘂𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗸𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗲𝗻𝘂𝗹𝗶𝘀𝗮𝗻 𝗲𝗥𝗣𝗛 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗦𝗜𝗦𝗖+

Labuan, 22 januari 2026 – Seramai 46 orang guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Bengkel Pemerkasaan eRPH yang berlangsung di Bilik Benua pada petang ini.
 
Bengkel ini dianjurkan bagi memperkasa kemahiran guru dalam penyediaan Rancangan Pengajaran Harian secara elektronik (eRPH) di samping memastikan kelestarian pengurusan rekod pengajaran secara digital selaras dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara.
 
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley, Pegawai School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) Jabatan Pendidikan. Fokus utama pengisian bengkel adalah pendedahan terhadap kriteria di bawah Standard 4, iaitu Pembelajaran dan Pemudahcaraan.
 
Para peserta dibimbing untuk memahami elemen-elemen penting yang dinilai dalam kualiti pengajaran serta kaedah menterjemahkan elemen tersebut ke dalam penulisan eRPH yang lebih bermakna dan berkualiti.
 
Sektor Pendidikan Islam berharap agar semua guru yang terlibat dapat memanfaatkan ilmu dan input yang diperoleh bagi menghasilkan eRPH yang lebih kemas, terancang dan selari dengan standard yang ditetapkan. Usaha ini diyakini mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, di samping memudahkan urusan pemantauan dan penyeliaan di peringkat sekolah.



Program Motivasi Pagi Calon STPM PTE, SMK Labuan Bersama Pengarah Pendidikan WP Labuan

Labuan, 19 Januari 2026 – Seramai 362 calon STPM Pusat Tingkatan Enam, SMK Labuan akan menduduki STPM bermula 20 Januari 2026 sehingga 28 Januari bagi Semester 3, 21 Januari sehingga 28 Januari bagi Semester 1 dan 3 Februari 2026 sehingga 10 Februari 2026 bagi Ulangan Semester 2.
 
Tuan Pengarah Pendidikan, En. Yahya Bin Ahmad Puteh berbesar hati turun ke sekolah memberikan semangat dan motivasi kepada 362 orang calon STPM anak-anak WP Labuan.
 
Beliau menekankan kepentingan pendidikan dalam kehidupan demi masa hadapan yang lebih cerah. Sehubungan dengan itu, bagi mendapatkan pendidikan yang cemerlang banyak pengorbanan perlu dilakukan pengorbanan masa, hiburan, tenaga dan perlunya menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru-guru yang banyak berkorban, membantu persediaan anak-anak sebelum menduduki STPM.
 
Tuan Pengarah juga mengingatkan anak-anak untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan, jangan lupa solat dan mengulangkaji mengikut jadual belajar yang telah disusun. Jawab semua soalan dengan baik dan berhati hati.
 
Tuan Pengarah menekankan kepentingan ruang masa yang berbaki untuk terus meningkatkan keupayaan menjawab soalan dengan baik agar dapat membantu pelajar memperolehi keputusan yang lebih cemerlang nanti.
 
Elakkan anak-anak stress dan tertekan, insya-Allah kejayaan pasti menjadi milik anak-anak.
Di kesempatan ini, Tuan Pengarah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada barisan tenaga pengajar Pusat Tingkatan Enam, SMK Labuan yang menganjurkan majlis pagi ini dan juga usaha yang terusun dalam membantu anak-anak bersedia menduduki STPM 2026.
 
Jabatan Pendidikan WP Labuan sentiasa mengambil berat keperluan PTE sama ada dari segi infrastruktur, keperluan anak-anak dan juga tenaga pengajar.
 
Jumlah calon STPM PTE, SMK Labuan
Semester 3 : 157 calon
Semester 1 : 205



Kunjungan Hormat APM ke JPWP Labuan

Labuan, 19 Januari 2026 – Satu kunjungan hormat telah berlangsung antara pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara agensi serta membincangkan inisiatif bersama dalam aspek kesiapsiagaan dan pengurusan bencana di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Pihak JPWP Labuan amat menghargai komitmen APM dalam memperkukuh jaringan strategik demi kesejahteraan komuniti setempat.




Bengkel Pengemaskinian Submodul Radas Makmal dalam Sistem Pengurusan Pendidikan (EMIS) Tahun 2026

Labuan, 15 Januari 2026 – Bengkel Pengemaskinian Submodul Radas Makmal dalam Sistem Pengurusan Pendidikan (EMIS) Tahun 2026 telah diadakan  bertempat di Bilik Mesyuarat Kiamsam SSTP.
 
Bengkel ini telah dihadiri oleh Pembantu Makmal dan bertujuan meningkatkan kefahaman serta ketepatan pengisian data radas makmal dalam sistem EMIS bagi menyokong pengurusan aset makmal yang lebih sistematik dan berkesan.
 
Program ini telah diurusetiakan oleh Sektor Perancangan dengan kerjasama Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran.
 
Diharapkan bengkel ini dapat memperkukuh tadbir urus data serta menyokong kelancaran pengurusan pendidikan secara berfokus dan berintegriti.



Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 16 januari 2026 – Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, bertempat di Bilik Seminar Rafflesia, Ujana Kewangan, Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Turut hadir bersama adalah YB. Dato’ Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen P.166-Labuan, YBrs Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Majlis Pengurusan Tertinggi Jabatan, para Pengetua, Guru Besar, Guru Penolong Kanan HEM, pengamal media, murid dan waris masing-masing.
 
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang disalurkan kepada semua murid Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
 
BAP bernilai RM150.00 ini diberikan kepada semua murid warganegara Malaysia tanpa mengira had pendapatan ibu bapa dan memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kewangan.
 
Sebagai simbolik penyerahan BAP, seramai 30 orang ibu bapa/ penjaga penerima BAP telah dijemput untuk menerima bantuan tersebut dalam Majlis Penyerahan BAP peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung pada pagi ini.
 
Dharapkan bantuan ini dapat memberi manfaat secara berterusan, sekali gus menyokong usaha memperkukuh akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti di Wilayah Persekutuan Labuan.
Tahun Ini, Tahun Kita



Kunjung Hormat Timbalan Pengarah Kanan BPI ke Jabatan Pendidikan WP Labuan

Labuan, 15 Januari 2026 – Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ustaz Ahmad Lutfi bin Abu Bakar telah mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada petang tadi.
 
Perjumpaan berlangsung di Bilik Mesyuarat Botanikal dengan penuh mesra dan berhemah.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk dapatan daripada pemantauan dan lawatan kerja di Majlis Agama Islam Labuan, lawatan tapak ke Sekolah Menengah Agama MAIWPL serta pemantauan minggu pertama persekolahan yang turut melibatkan pengagihan bantuan awal persekolahan.
 
Selain itu, pemantauan turut dilakukan di asrama dan dapur asrama murid-murid Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) diikuti dengan sesi perjumpaan bersama warden asrama bagi meneliti aspek kebajikan dan pengurusan murid-murid.
 
Turut hadir dalam lawatan ke sekolah ialah Pengurus Majlis Agama Islam WP Labuan, En. Mohd Rafie bin Zakaria; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam WP Labuan, En. Mohd Suhaimi bin Mohd Yusof; pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan; pegawai MAIWPL; serta pegawai JAWI Labuan.
 
Kunjungan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara agensi pendidikan dan agama di Labuan sekaligus meningkatkan mutu pengurusan sekolah serta kebajikan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan.



PROJEK “KF EYECARE FOR LABUAN”; 250 MURID TERIMA CERMIN MATA PERCUMA

Labuan, 8 Januari 2026 – Seramai 250 murid sekolah rendah daripada 17 buah sekolah di Labuan telah menerima cermin mata preskripsi percuma menerusi projek “KF EyeCare for Labuan”.
 
Ia satu inisiatif komuniti bagi membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dan kesejahteraan murid-murid yang memerlukan.
 
Program telah dimulakan oleh Lions Club of Tenom Host dan dianjurkan bersama oleh “Blue Dolphin Swim Club” serta JPKK Kampung Layang-Layangan, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan.
 
Majlis penyerahan cermin mata telah diadakan di SK Pekan Dua dan disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh, bersama-sama Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Sawal Salleh.
 
Matlamat utama projek ini adalah untuk menangani masalah penglihatan dalam kalangan murid yang boleh menjejaskan prestasi akademik dan keyakinan diri. Melalui bantuan ini, murid-murid diharap dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih jelas, selesa dan berkesan.
 
Inisiatif membuktikan kerjasama strategik antara badan bukan kerajaan (NGO), kelab sukan, jawatankuasa kampung dan agensi pendidikan kerajaan dalam menyokong pembangunan dan masa depan generasi muda di Labuan.
 
SUMBER BERITA : FB BES Labuan