JPWP Labuan Raih Anugerah Pementoran Terbaik Peringkat KPM 2025

Putrajaya, 25 September 2025 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Labuan terus mengukir kecemerlangan apabila berjaya meraih dua anugerah berprestij dalam Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta Anugerah AKRAB dan Pementoran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium JAKIM, Putrajaya.
JPWP Labuan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pasangan Mentor dan Menti Terbaik menerusi pasangan Pn. Norazimah bt Yaacob dan Pn. Zulaiha binti Khalid. Kejayaan ini mengiktiraf kecemerlangan hubungan bimbingan dan perkongsian ilmu antara kedua-duanya yang menjadi model pementoran cemerlang di peringkat nasional.
Selain itu, JPWP Labuan turut mengharumkan nama organisasi apabila Pn. Salihah Yusoff, selaku penyelaras Program Pementoran, menerima Anugerah Organisasi Pementoran Terbaik Peringkat KPM Tahun 2025. Pengiktirafan ini sekaligus menzahirkan komitmen tinggi JPWP Labuan dalam memperkasakan budaya pementoran yang berkesan di kalangan warga pendidik dan kakitangan.
Majlis penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua penerima anugerah atas sumbangan besar mereka dalam membudayakan pementoran sebagai tonggak kecemerlangan perkhidmatan pendidikan.
Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha berterusan JPWP Labuan dalam memperkukuh amalan bimbingan dan pementoran bukan sahaja memberi impak positif kepada warga kerja, malah mampu menjadi contoh teladan di peringkat Kementerian.



























































