Kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan










Alor Setar, 11 Ogos 2025 — Pertandingan Ihtifal Lughawi Sekolah-sekolah (ILSS) Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat kebangsaan tahun 2025 telah melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Universiti Antarabangsa Al Bukhary, Alor Setar, Kedah.
Acara tahunan yang berlangsung pada 8 dan 9 Ogos di SMKA Jerlun, Kedah itu menghimpunkan seramai 384 peserta dari seluruh negara dalam pelbagai pertandingan seperti Dai Cilik, Mimbar Dai, Kalam Arabi, Kalimatussobah, Hiwar dan Kalam Jamai.
Nor Hanan Nadhirah binti Ahmad Aizuddin dari Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) berjaya merangkul tempat ketiga dalam acara Mimbar Da’i. Beliau bersaing dengan 15 peserta lain dari pelbagai negeri seluruh negara.



Dengan tajuk “Islam”, Hanan berjaya menyampaikan mimbar daie dengan penuh penghayatan, pengolahan isi yang mantap serta interaksi yang berkesan bersama penonton.
Majlis penutupan ILSS secara rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad pada 11 Ogos 2025 yang menandakan berakhirnya ILSS 2025 yang bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga platform memperkukuh penguasaan bahasa Arab dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah.














Labuan, 5 Ogos 2025 – Kontinjen Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan Labuan mencatat kejayaan membanggakan dengan membawa pulang beberapa anugerah dalam Karnival Pendidikan Khas sempena ulang tahun ke-30 penubuhan Jabatan Pendidikan Khas Brunei Darussalam. Acara gilang-gemilang itu berlangsung pada 2 hingga 3 Ogos 2025 di One City Shopping Centre, Kampung Sungai Hancing, Brunei Darussalam.
Penyertaan delegasi dari WP Labuan ini dilihat sebagai satu inisiatif cemerlang dalam memupuk hubungan silaturahim serta pertukaran budaya antara dua negara melalui bidang pendidikan khas.
Dalam pertandingan yang sengit itu, para peserta dari Labuan menunjukkan bakat yang luar biasa dan semangat juang yang tinggi, sekali gus berjaya meraih beberapa kedudukan teratas:
Johan Peragaan Pakaian Tradisional Kategori Sekolah Rendah Perempuan: Kemenangan ini menonjolkan kreativiti dan keindahan warisan budaya yang dipersembahkan dengan penuh yakin oleh peserta.
Johan Kolaj Kertas Kategori Sekolah Rendah: Hasil seni kolaj yang kemas dan kreatif berjaya menambat hati juri, membuktikan bakat seni yang tersendiri.
Johan Kolaj Manik Kategori Sekolah Menengah: Kerja tangan yang halus dan teliti dalam menghasilkan kolaj manik ini mengukuhkan dominasi kontinjen dalam kategori seni visual.
Tempat Ketiga Nyanyian Solo Kategori Sekolah Rendah: Persembahan vokal yang mantap dan merdu berjaya menempatkan peserta Labuan di kedudukan ketiga, membuktikan bakat mereka bukan sahaja dalam bidang seni visual, tetapi juga dalam seni persembahan.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada kontinjen Pendidikan Khas WP Labuan, tetapi juga kepada seluruh warga pendidikan di Malaysia. Ia membuktikan bahawa pelajar berkeperluan khas mempunyai potensi yang besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa jika diberi platform dan bimbingan yang betul.
Penglibatan dalam karnival seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak pendedahan dan peluang kepada pelajar-pelajar istimewa ini untuk menonjolkan bakat mereka.



















LABUAN, 1 Ogos 2025 – Suasana meriah menyelubungi Dewan Surapit SK Layang-Layangan hari ini apabila Pertandingan Robotik Kebangsaan (National Robotic Competition) Peringkat W.P. Labuan telah berjaya dianjurkan. Acara yang merupakan kolaborasi antara Kementerian Pendidikan dengan Sasbadi Holdings Sdn Bhd selaku rakan strategik ini, telah menarik penyertaan memberangsangkan daripada 39 pasukan robotik dari pelbagai sekolah di Labuan.
Pertandingan ini merupakan platform penting bagi menggalakkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta memupuk kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Para peserta telah menunjukkan semangat kesukanan dan keupayaan inovasi yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.
Pasukan yang berjaya merangkul gelaran johan pada peringkat negeri ini akan diberi penghormatan untuk mewakili W.P. Labuan ke pertandingan di peringkat kebangsaan. Ini merupakan peluang keemasan bagi mereka untuk menguji kemahiran di pentas yang lebih besar dan bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negara.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta atas usaha dan dedikasi mereka. Semoga wakil Labuan akan terus cemerlang dan mengharumkan nama W.P. Labuan di peringkat kebangsaan!






Labuan, 31 Julai 2025 — Satu kunjungan hormat telah diadakan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal pada jam 2.30 petang.


Pertemuan ini bertujuan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi, khususnya dalam hal ehwal pendidikan Islam. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pendaftaran Sekolah Integrasi Rendah Agama (SIRAJ) Saidina Umar Al-Khattab sebagai langkah memperluas akses pendidikan agama secara sistematik di Labuan.
Rombongan daripada JAWI diketuai oleh Us Muhd Najib bin Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pelajaran JAWI Labuan.



Turut hadir Ustzh Juwita bt Jimi, Penolong Pegawai, Cawangan Pelajaran JAWI Labuan, Ustaz Radzizam bin Ag Damit, Guru Besar SIRAJ Saidina Umar Al-Khattab.
Perbincangan dua hala ini telah dipengerusikan oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan WP Labuan.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan Islam dan memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan keagamaan di Wilayah Persekutuan Labuan.


