Kunjung Hormat DBP Cawangan Sabah ke JPWPL

Labuan, 10 Oktober 2025 – Satu sesi kunjung hormat telah berlangsung antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) di Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL. Delegasi DBP diketuai oleh Puan Jennitah binti Noordin, Pengarah DBP Cawangan Sabah, diiringi Encik Ahmad Fazly bin Sahak, Ketua Unit Hal Ehwal Korporat DBP Cawangan Sabah.
 
Perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) peringkat negeri di W.P. Labuan serta penyelarasan program DMK bagi tahun 2026, termasuk perancangan Galakan Penulisan Kreatif dalam kalangan murid dan pelaksanaan Program Majalah Dalam Kelas.
 
Pihak DBP Cawangan Sabah menzahirkan komitmen untuk meneruskan kerjasama strategik bersama KPM dan JPWPL dalam memperkasa agenda DMK dan pemerkasaan budaya membaca murid di peringkat negeri. Sesi ini diharap dapat memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas inisiatif pembudayaan membaca di sekolah-sekolah W.P. Labuan.




MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM SEMARAK MERDEKA LABUAN 2025

Labuan, 7 Oktober 2025 – Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan W.P. Labuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Program Semarak Merdeka Labuan 2025, yang berlangsung dari 16 Ogos hingga 1 Oktober 2025 dan melabuhkan tirai dengan penuh semangat patriotisme pada 7 Oktober 2025 di Bilik Rafflesia, Ujana Kewangan Labuan yang telah dirasmikan oleh Ybrs En Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Program ini menjadi wadah memupuk semangat cintakan negara, menggalakkan kreativiti digital, dan menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah melalui pelbagai pertandingan seperti:
• Pertandingan Bicara Tokoh Kenegaraan
• Pertandingan Penulisan Cerpen Patrtiotisme (Sekolah Menengah)
• Kuiz Semarak Merdeka Secara Talian
• Kuzi Semarak Merdeka Secara Bersemuka (Sekolah Rendah)
• Program Bermalam di Muzium (Sekolah Rendah)
• Pertandingan Video TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) – “Keunikan & Keindahan W.P. Labuan”
• Pertandingan Koleksi Setempat
 
📊 Rumusan Keputusan Pertandingan:
Terima kasih kepada sekolah yang menyertai pertandingan ini, Tahniah kepada
• Kategori Sekolah Menengah: SMK Labuan dengan 8 Kemenangan
• Kategori Sekolah Rendah: SK Patau-Patau dengan 8 kemenangan
 
💐 Setinggi-tinggi penghargaan kepada:
• Jabatan Muzium Labuan atas kerjasama utama dalam menjayakan pameran dan aktiviti berasaskan sejarah serta warisan tempatan.
• Jabatan Penerangan Labuan sebagai Juri bagi pertandingan Vlogging TVPSS.
• Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA sebagai Juri bagi pertandingan Penulisan Cerpen Patriotisme.
 
SSTP Labuan juga menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta, guru pembimbing, serta sekolah-sekolah yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung.
💬 “Semoga semangat kemerdekaan, literasi dan digitalisasi terus subur dalam kalangan warga pendidikan Labuan.”
 
✨ Jumpa kami lagi dalam edisi seterusnya tahun hadapan! 🇲🇾




SHOWCASE KmR/PBL STEM BERSEPADU SEKOLAH DI BAWAH PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25)

Labuan, 3-4 Oktober 2025 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan sukacitanya melaporkan kejayaan penganjuran Showcase Kefahaman melalui Reka Bentuk (KmR) / Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) STEM Bersepadu di Kompleks Darul Kifayah, MAIWP Labuan.
 
Program berprestij ini merupakan inisiatif kolaboratif yang kuat antara Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Pembelajaran. Penghargaan istimewa turut dirakamkan kepada Sektor Pembangunan Murid atas sokongan padu yang diberikan, memastikan kelancaran dan kejayaan showcase ini.
 
Showcase dua hari ini berjaya menghimpunkan penyertaan seramai 140 orang yang melibatkan 28 buah institusi pendidikan di Labuan, terdiri daripada 17 sekolah rendah, 10 sekolah menengah, dan Labuan International School. Ia menjadi platform utama bagi guru-guru dan murid-murid untuk mempamerkan produk inovasi dan penyelesaian masalah yang dihasilkan melalui pendekatan pembelajaran KmR/PBL.
 
Kepentingan Utama KmR/PBL STEM dalam Pendidikan Showcase ini menegaskan komitmen berterusan terhadap transformasi pendidikan melalui pendekatan KmR/PBL STEM Bersepadu, yang penting untuk:
Melestarikan Pendidikan STEM: Memberikan murid peluang untuk mengalami dan menghayati pembelajaran kontekstual yang relevan dengan kehidupan harian, seterusnya meningkatkan minat dan kesedaran mereka terhadap bidang STEM.
 
Meningkatkan Kemahiran Global: Pendekatan ini menggalakkan Pemikiran Kritis, Kreativiti, dan Penyelesaian Masalah dalam kalangan murid, melengkapkan mereka dengan kemahiran penting Abad ke-21 yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
 
Literasi dan Kolaborasi: KmR/PBL meningkatkan keberhasilan murid dalam literasi STEM dan memupuk semangat kerjasama (kolaborasi) dalam pasukan, iaitu aspek kritikal dalam dunia pekerjaan moden.
Tahniah diucapkan kepada semua sektor yang terlibat, sekolah-sekolah, guru pembimbing, dan para murid atas komitmen dan projek-projek inovatif yang cemerlang! Sama-sama kita terus memacu kecemerlangan pendidikan Labuan.




EduSummit ’25: Exploring the Potential of Google Gemini in Education Zon Sabah dan WP Labuan

Labuan, 6 Oktober 2025 – EduSummit ’25 menghimpunkan pemimpin dan pendidik digital seluruh negara bagi meneroka potensi Google Gemini dalam memperkasa ekosistem pendidikan. Program ini menampilkan sesi bersama BPM, SSTP, Google Malaysia dan MOE, termasuk perkongsian projek Google Workspace for Education (GWS) serta aplikasi NotebookLM dan Gemini Class Tools dalam PdP.
 
Usaha ini memperkukuh transformasi pendidikan digital seiring Dasar Pendidikan Digital (DPD) ke arah ekosistem pembelajaran berasaskan AI, kolaboratif dan inklusif.




Kunjung Hormat Google, BPM KPM & Awantec ke JPWPL

Labuan, 6 Oktober 2025 – Satu sesi kunjung hormat telah diadakan antara Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) Kementerian Pendidikan Malaysia, Google Malaysia, dan Awantec Berhad bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini.Kunjung hormat tersebut diketuai oleh Dr Azlena binti Harun, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat KPM.
 
Perbincangan memberi fokus kepada:
-Pelaksanaan dan pengukuhan Dasar Pendidikan Digital (DPD);
-Pemantapan platform DELIMa dan Google Workspace for Education;
-Program AI for Educators dan pensijilan digital guru;
 
Pihak Google dan Awantec turut menzahirkan komitmen untuk meneruskan kerjasama strategik bersama KPM dan JPWPL dalam memperkasa transformasi pendidikan digital di peringkat negeri.
Sesi ini juga diharap dapat memperkukuhkan kerjasama strategik dalam memperluas inisiatif pendigitalan pendidikan dan memperkasa transformasi ICT di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan.




KEM CENDIKIA AL QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN ZON BORNEO TAHUN 2025

Labuan, 7 Oktober 2025 – Kem Cendekia al-Quran telah menghimpunkan penyertaan murid dari tiga buah sekolah menengah yang menawarkan subjek Kelas Khas al-Quran (KKQ) iaitu SM MAIWPL, SMK Rancha-Rancha dan SMK Mutiara.
 
Seramai 246 murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 terlibat dalam kem ini dengan diiringi oleh Guru KKQ sekolah masing-masing. Kem Cendikia Al Quran diadakan di Dewan Darul Kifayah, dengan SMA MAIWPL selaku sekolah pengelola.
 
Menariknya, program ini dilaksanakan secara hibrid, berlintas langsung daripada SMK Benoni Papar melibatkan penyertaan dari tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Kem ini diselaras oleh Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim, Urus Setia Sektor Pendidikan Islam, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran program ini.
 
Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program yang menyatukan murid KKQ dari pelbagai negeri dalam satu wadah ilmu dan tarbiah.
 
Beliau menegaskan bahawa Kem Cendekia al-Quran bukan sekadar platform hafazan atau bacaan semata-mata tetapi medan membina pemikiran Qurani, akhlak mulia serta kepimpinan berasaskan nilai al-Quran.
 
Beliau turut menyeru agar murid KKQ menjadi cerminan akhlak al-Quran di sekolah dan masyarakat, manakala guru pula terus memainkan peranan sebagai murabbi dan qudwah hasanah dalam membimbing generasi Qurani.
 
Beliau menutup ucapannya dengan harapan agar kem ini melahirkan Cendekiawan al-Quran yang berilmu, berakhlak dan berjiwa dakwah – generasi yang mampu berfikir dengan hikmah, beramal dengan ilmu, dan menyebarkan kebaikan di mana sahaja mereka berada.
 
Moga al-Quran terus menjadi cahaya penerang dalam kehidupan dan sumber kekuatan untuk membina generasi Madani yang berjiwa Rabbani.




KURSUS KEJURULATIHAN AKAR UMBI 2025

Labuan, 4 Oktober – 30 peserta sertai Kursus Kejurulatihan Akar Umbi 2025 yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dengan kerjasama Kelab Marlin FC dan PTPS Bola Sepak MSSWPL.
Kursus itu yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 Oktober lalu diadakan Kompleks Sukan Labuan.
Pengerusi pengelola Ramlae Abd Rashid zahir rasa syukur kerana kursus ini berjaya dilaksanakan.
Beliau yakin bahawa kejayaan kursus ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan bola sepak di Labuan.
 
Majlis penutupan kursus dirasmikan oleh Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPWP Labuan, Ak Mohd Fitri Awangku Kalong. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada SAFA sebagai penganjur serta kelab MARLIN FC dan PTPS Bola Sepak MSSWPL atas kerjasama yang erat.
Dalam pada itu, kursus ini telah dikendalikan oleh Jurulatih Educator Zahiruddin Amiruddin dari FAM dan dibantu oleh Jurulatih Roney Asmadul Bakar dari SAFA.
 
Sementara itu, penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kejurulatihan di kalangan peserta.Di samping menggalakkan pengembangan bakat muda dalam sukan bola sepak.
Selain itu, memberikan peserta teknik dan strategi terkini dalam kejurulatihan.
 
Pihak penganjur berharap penganjuran kursus ini dapat melahirkan lebih ramai jurulatih berkualiti yang mampu membimbing generasi akan datang dalam sukan bola sepak serta meningkatkan mutu permainan di Labuan.
 
Sumber Berita : FB BES Labuan




LIBAT URUS KARNIVAL HADIS 40 IMAM NAWAWI DAN INOVASI PENDIDIKAN TAHUN 2025

Labuan, 7 Oktober 2025 – Sesi Libat Urus Karnival Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dan Inovasi Pendidikan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Botanikal.
 
Majlis ini telah menghimpunkan barisan jawatankuasa pelaksana daripada sekolah ShowCase Hadis 40, bersama SK Bukit Kalam selaku jawatankuasa hiasan pentas, dalam usaha memperkemas persiapan dan penyelarasan program secara menyeluruh demi memastikan penganjuran karnival berjalan lancar dan berimpak tinggi.
 
Taklimat utama telah disampaikan oleh Ustaz Syahnon Othman, Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, yang telah memberikan penerangan terperinci berkenaan aturcara pelaksanaan, pembahagian bidang tugas, serta strategi pelaksanaan yang menyeluruh dan sistematik.
 
Karnival ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari, bermula 9 Oktober hingga 11 Oktober 2025, dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirangka bagi menyemarakkan penghayatan terhadap Hadis 40 Imam Nawawi serta memperkasa inovasi pendidikan. Antara aktiviti yang bakal berlangsung termasuk:
• Pertandingan Nasyid
• Dai Cilik
• Minbar Dai
• TikTok Challenge
• Hadis 40@School
 
Penganjuran karnival ini diharap dapat menjadi platform berkesan dalam menyuburkan nilai-nilai murni, memperkukuh kefahaman hadis dalam kalangan murid, serta mencetuskan kreativiti dan inovasi dalam pendidikan.




MESYUARAT JAWATANKUASA TATAKELOLA (JTK) JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN BILANGAN 3 TAHUN 2025

LABUAN, 30 September 2025 – Mesyuarat JTK JPWP Labuan Bil.3 Tahun 2025 yang telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan bertempat di Bilik Persidangan, Mahkamah Syariah W.P. Labuan.
 
Mesyuarat tersebut telah dihadiri seramai 46 orang ahli Mesyuarat yang terdiri daripada Pegawai Pengurusan Tertinggi Jabatan Pendidikan W.P. Labuan serta Pengetua dan Guru Besar sekolah di W.P. Labuan.
 
Selain itu, Mesyuarat pada kali ini turut menjemput YM. Tengku Addidudin Shah bin YM. Tengku Aristonsyah, Penolong Pengarah Kanan, Unit Integriti Kementerian Pendidikan sebagai pembentang.




KEM FITRAH KASIH SEKOLAH RENDAH 2025: Menyemai Nilai Ibadah dan Jati Diri Murid

Labuan, 4 Oktober 2025 – Kem Fitrah Kasih Sekolah Rendah telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Masjid Jamek An Nur, WP Labuan, melibatkan penyertaan seramai 62 murid Tahun Enam dari tiga buah sekolah bantuan kerajaan: SK St Anne, SJKC Chi Wen, dan SJKC Chung Hwa.
 
Program ini dikelolakan oleh SK St Anne dengan kerjasama jawatankuasa dari sekolah-sekolah terlibat serta sokongan tiga jurulatih dakwah negeri iaitu ustazah Nur Salma Syafikah Sahaluddin dan ustazah Nur Nazihah Hanapi daripada SMK Lajau manakala Ustazah Norlinda Suhut daripada SK Sungai Bedaun.
 
Antara pengisian utama Kem Fitrah Kasih SR ialah slot pemantapan solat yang dikendalikan oleh Ustaz Syahnon Othman serta latihan tasmik bacaan solat secara berkumpulan yang memberi ruang kepada murid untuk memperbaiki bacaan dan memahami maksud solat dengan lebih mendalam.
 
Kem turut menampilkan slot kesedaran Salah Laku Gangguan Seksual yang disampaikan oleh ASP Dzulkiflee Emmanuel Abdullah dari Ibu Pejabat Polis WP Labuan yang bertujuan meningkatkan kefahaman murid terhadap isu keselamatan diri dan hak sebagai kanak-kanak.
 
Salah satu aktiviti yang mencuri perhatian ialah Flip Bottle Quiz di mana peserta diuji dengan soalan kuiz berkaitan solat secara interaktif sambil mengasah kemahiran berfikir dan semangat berpasukan. Aktiviti ini berjaya mencetuskan keterujaan dan suasana ceria sepanjang kem berlangsung.
 
Sebagai penghargaan, seramai 15 orang peserta terbaik telah dipilih menerima anugerah atas penglibatan aktif dan pencapaian cemerlang sepanjang program.
 
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim dan turut dihadiri oleh Guru Besar SK St Anne, Mr Julius Voon yang menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
 
Secara keseluruhannya, kem ini berjaya memupuk nilai sahsiah, memperkukuh amalan ibadah serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan murid pelbagai latar belakang selaras dengan aspirasi pendidikan berteraskan nilai Malaysia Madani.